LONDON: Cristiano Ronaldo berlatih semula bersama Manchester United kelmarin, lepas berbincang dengan pengurus kelab, Erik ten Hag.
Bintang Portugal itu diketepikan daripada skuad Red Devils yang seri 1-1 di Chelsea Sabtu lalu. Tindakan itu diambil lepas pemain berusia 37 tahun itu enggan masuk dari bangku simpanan ketika berdepan Tottenham minggu lalu.
Beliau memasuki terowong pemain sebelum tamat perlawanan yang dimenangi United 2-0 itu.
Ten Hag memaksa Ronaldo berlatih sendirian sebelum melarangnya menyertai perlawanan di Stamford Bridge. Ronaldo juga dikenakan denda kira-kira dua minggu gaji, atau hingga £720,000 ($1.17 juta), kerana menunjukkan tindakan tidak berdisiplin.
Beliau tiba di pusat latihan United dekat Carrington pagi kelmarin dan berdepan pengurusnya serta keseluruhan skuad yang diberi cuti Isnin lalu.
Pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu dilihat kembali beraksi dalam pasukan utama United bersama Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka dan Donny van de Beek sedadng mereka bersiap bagi perlawanan Liga Europa awal pagi Jumaat ini menentang Sheriff Tiraspol.
Menurut laporan SunSport, difahamkan bahawa Ronaldo boleh diketepikan bagi pertembungan dengan Sheriff jika beliau tidak menyesali tindakannya. Namun, menyertai latihan menunjukkan petanda baik beliau bersedia merebut kembali tempatnya dalam pasukan.
Dilaporkan juga bahawa Ronaldo dan ten Hag mengadakan banyak perbincangan sejak beberapa hari lalu. Ten Hag percaya Ronaldo sudah menerima hukuman dan mahu terus menyumbang kepada United bagi matlamat sama. - Agensi berita.