SYDNEY: Aryna Sabalenka jelas berada dalam kedudukan baik untuk menjuarai Terbuka Australia buat kali ketiga berturut-turut.
Sungguhpun dinobatkan sebagai pemain nombor satu dunia dan kerap menjadi tumpuan pasukannya, perjalanan pemain tenis asal Belarus itu tidak selalu berjalan lancar dan dirinya jauh daripada bersikap sambil lewa.
Tidak dikalahkan di Melbourne Park sejak ditewaskan Kaia Kanepi di pusingan keempat Terbuka Australia 2022, pemain berusia 26 tahun itu memulakan musim 2025 ini dengan meraih gelaran Persatuan Tenis Wanita (WTA) ke-18 dalam kerjayanya di kejohanan Brisbane pada 5 Januari.
Bagaimanapun, Sabalenka tahu bahawa rentak kemenangan dan kedudukannya tidak bermakna bagi 127 pemain tenis wanita lain dalam undian itu.
Meraih gelaran utama keempat pada 25 Januari akan memerlukan satu lagi usaha sangat keras.
“Setiap kali anda berada di luar sana, anda perlu bersaing, anda perlu berjuang,” katanya pada 5 Januari selepas menewaskan pemain Russia, Polina Kudermetova, dalam perlawanan akhir di Brisbane.
“Anda perlu menunjukkan mengapa anda berada di tempat nombor satu dunia atau mengapa anda berada dalam kelompok 10 teratas.
“Tidak kisah apa pun alasannya. Anda perlu membuktikan kehebatan anda dan anda perlu berjuang untuk itu.”
Kekuatan dan senjata yang dimilikinya kini di dalam gelanggang bukanlah sesuatu yang beliau dapatkan dengan mudah.
Perjalanan Sabalenka ke puncak permainan sangat jauh daripada lancar.
Beliau terpaksa menguatkan cara melakukan servis, selepas kes buruk ‘yips’, atau kekejangan otot pergelangan tangan secara tidak sengaja yang menjejaskan banyak atlet akibat perasaan gementar pada 2021.
Saat itu, Sabalenka terkenal sebagai pemain tenis yang sering membuat kesilapan luar biasa dan sering mengamuk di dalam gelanggang.
Tidak seperti bekas juara Grand Slam Australia, Ash Barty, kejayaan Sabalenka datang hanya selepas mengelilingi dirinya dengan sokongan yang kuat.
Jurulatih, Anton Dubrov; jurulatih kecergasan, Jason Stacy; dan rakan latihan, Andrei Vasilevski, kini menemaninya di setiap kejohanan.
Kesan positif mereka terbukti dengan ucapan terima kasih Sabalenka yang penuh emosi kepada mereka selepas kejayaannya.
“Saya mempunyai orang-orang hebat di sekeliling saya. Saya boleh berseronok di luar gelanggang dan fokus pada permainan di dalam gelanggang,” kata Sabalenka.
“Saya fikir ia adalah keseimbangan (daripada) kehidupan di dalam dan di luar gelanggang, keupayaan untuk bekerja keras, memberi tumpuan pada matlamat anda, tetapi pada masa yang sama, bergembira supaya tidak berasa tertekan.”
Sabalenka, yang memenangi kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat pertamanya pada 2024, hanya tewas sekali dalam 28 perlawanan terakhirnya di kejohanan peringkat akhir WTA.
Setelah memulakan musim 2025 dengan menjuarai Brisbane, kini Sabalenka siap untuk meraikan kemenangan berikutnya di gelanggang biru Melbourne Park.
“Saya berasa sangat yakin dengan permainan saya. Saya hanya teruja. Saya suka bermain di sana,” tambahnya ketika ditanya di Brisbane.
“Saya amat suka berjuang untuk (meraih) impian saya. Itulah di mana saya berasa selesa. Saya tidak sabar untuk (bertanding dalam) Terbuka Australia.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg