Selepas 14 tahun bermain bola sepak dalam liga asing, tonggak pasukan Singapura, Safuwan Baharudin, kembali ke tanah air untuk bermain dalam Liga Perdana Singapura (SPL) sebagai pemain pinjaman bersama Lion City Sailors (LCS) untuk satu musim.
Ini mengakhiri desas-desus dan ketidakpastian yang melanda pemain tinggi lampai berusia 33 tahun itu setelah beliau diberitahu beliau tidak lagi dalam perancangan pasukan Liga Super Malaysia (MSL), Selangor FC, jelas laporan The Straits Times (ST).
Kali terakhir beliau bermain dalam liga tempatan adalah ketika SPL masih dikenali sebagai Liga-S, iaitu sekitar 2011 bersama pasukan Young Lions.
Kata Safuwan: “Sejujurnya, saya tidak mengira tahun (yang telah berlalu).
“Tetapi memang tidak disangka-sangka apabila mengetahui ia telah berlalu selama itu.
“Saya teruja untuk kembali dan saya ingin memberi penghargaan kepada Selangor kerana bersetuju dengan perjanjian ini.”
Beliau menambah LCS memberikan tawaran kukuh dan mengadakan perbincangan baik, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai “penting baginya”.
Safuwan membuat penampilan sulung profesional pada 2009 bersama pasukan Young Lions dan membuat 58 penampilan dalam pertandingan domestik sebelum menyertai LionsXII – pasukan Singapura yang kini tidak lagi bermain dalam MSL – dari 2012 hingga 2015.
Beliau turut mempunyai pengalaman yang singkat bermain dalam Liga Australia sebagai pemain pinjaman bersama Melbourne City pada 2015.
Setahun kemudian, perjalanannya sebagai pemain asing di Malaysia bermula.
Beliau menyertai PDRM pada 2016 dan menghabiskan dua musim di sana, pada mulanya di MSL sebelum semusim di peringkat kedua Liga Perdana Malaysia selepas PDRM tersingkir.
Beliau kemudian menyertai Pahang FA untuk musim 2018 dan memenangi Piala FA Malaysia sebelum berpindah ke Selangor FC bagi musim 2020.
Safuwan meninggalkan Selangor FC untuk menyertai Negeri Sembilan bagi musim 2023, tetapi menyertai semula Selangor FC lewat tahun itu.
Dalam dua musim bersama Selangor, beliau tampil sebanyak 71 kali bersama pasukan itu, menggalas peranan sebagai kapten dan menjadi kegemaran peminat tegar pasukan itu.
Ketidakpastian yang menyelubungi kerjayanya memberi kesan kepada Safuwan, yang sejak dua minggu lalu, terpaksa berlatih dengan skuad bawah 23 tahun kelab tersebut.
“Ia sangat sukar dari segi mental. Selepas tempoh rehat yang lalu bagi pasukan kebangsaan, masih terdapat banyak ketidakpastian dan saya tidak pasti apa yang akan berlaku dari segi kerjaya kelab bola sepak.
“Tetapi saya gembira kerana kini segala-galanya sudah berlalu dan saya gembira berpeluang menyertai kelab yang berkaliber iaitu Sailors,” kata pemain yang lumrahnya bermain di bek tengah itu.
Sambil mengimbas pengalamannya dalam bola sepak Malaysia, Safuwan bersyukur tempoh itu telah membentuknya sebagai pemain di padang bola sepak.
Walaupun mengakui bahawa beliau tidak pasti jika itu menandakan berakhirnya kerjaya di Malaysia, beliau tidak sabar untuk mempamerkan keupayaannya kepada peminat bola sepak setempat secara lebih kerap serta memikat hati peminat baru.
Pengarah Eksekutif Sailor, Bruce Liang, berkata: “Safuwan adalah pemain terbaik yang terbukti di rantau ini.
“Kehadirannya (di padang) memberikan ketenangan kepada pasukan... beliau membawa mentaliti kemenangan dan serba boleh... beliau akan meningkatkan kekuatan dan kematangan yang berharga kepada skuad kami.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg