Dalam Liga 1 Thai, dua pemain Singapura yang mewakili Chiangrai United memberikan bayangan mengenai kelebihan yang boleh dibawa ke dalam skuad negara, apabila Harhys Stewart membuat hantaran cantik bagi membolehkan Jordan Emaviwe menjaringkan gol, meskipun pasukan mereka kalah 3-2 di tangan Bangkok United pada 8 Mac.
Walaupun kededua pemain itu belum membuktikan diri mereka sepenuhnya dalam pasukan Singa, mereka – kededuanya dilahirkan pada 2001 – telah mempamerkan prestasi yang cukup baik untuk mendapat panggilan daripada jurulatih nasional Tsutomu Ogura.
Sejak menyertai Chiangrai United pada 2024, pemain tengah Stewart telah menjaringkan lima gol dan merintis empat gol dalam 37 perlawanan, termasuk gol kemenangan 1-0 dalam perlawanan pusingan 16 Piala Liga ke atas Prachuap pada 26 Februari.
Pemain bek Emaviwe pula telah bermain dalam 12 perlawanan sejak menandatangani kontrak pada 2025, membantu mempertahankan bentengnya daripada dibolosi dalam enam perlawanan dan menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir mereka sebagai penyerang.
Menjelang kempen kelayakan Piala Asia Singapura menentang Hong Kong pada 25 Mac di Stadium Negara, kededuanya berkata pengalaman bermain di luar negara membantu mereka menjadi lebih matang dan bersedia mengambil alih tanggungjawab dalam pasukan Singa.
Emaviwe, yang pernah bermain dengan kelab Switzerland, Chiasso, dari 2017 hingga 2020, berkata: “Bermain di luar negara bersama pemain tempatan dan asing yang memiliki kemahiran teknikal telah membantu saya berkembang sebagai pemain.”
Dengan ketinggian 1.95 meter, Emaviwe menyerlah baik sebagai bek tengah, bek kiri, mahupun penyerang.
Permainannya mempunyai persamaan dengan pemain serba boleh, Safuwan Baharudin, pemain pertahanan yang pernah digunakan sebagai pemain penyerang, dan telah menjaringkan 13 gol dalam 120 penampilan antarabangsa.
Sementara beliau menimba pengalaman berganding dengan Safuwan dan kapten pasukan Hariss Harun, Emaviwe yakin dengan kebolehan dirinya sendiri dan dapat terus mewakili negara selepas membuat dua penampilan.
“Saya mempunyai gaya permainan sendiri, baik menggelecek bola mahupun kelajuan. Menjaringkan gol juga tak kurang seronoknya. Saya yakin dengan kemampuan saya, tetapi saya akan berikan yang terbaik di mana jua jurulatih letakkan saya,” kata beliau.
Begitu juga dengan Stewart, yang bertambah yakin selepas berpindah dari Young Lions ke Chiangrai, di mana beliau telah bermain sebagai pemain tengah, pemain sayap kanan dan bek kanan.
“Liga Thai mungkin merupakan liga yang paling kompetitif di Asia Tenggara dan terdapat banyak pemain yang sangat baik dari segi teknikal dan banyak saya pelajari daripada mereka.
“Kekuatan utama saya adalah tenaga saya dan kemampuan saya menggerakkan bola dari bawah ke atas serta membantu mencipta peluang.
“Bermain dalam pelbagai posisi juga membantu saya berfikir lebih pantas dan sedar betapa pentingnya untuk mengetahui langkah seterusnya dan meningkatkan tempo permainan,” tambah Stewart.
Beliau, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-24 pada 20 Mac, berharap dapat memberi impak dalam pasukan Singa selepas terlepas peluang menyertai Kejohanan Asean 2024, yang diadakan di luar tempoh antarabangsa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Ogura berkata beliau optimis mengenai masa depan pemain seperti Stewart dan Emaviwe, yang boleh bermain dalam pelbagai posisi.
“Mereka berada dalam lingkungan usia yang baik, mereka cergas dan berpengalaman, tetapi kami tidak menjamin tempat khusus untuk mana-mana pemain.
“Setiap orang perlu merebut tempat mereka, dan jika mereka menunjukkan prestasi yang baik, mereka boleh bermain,” kata Ogura dalam sidang media pada 20 Mac di Stadium Negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg