Topik diikuti
Pergi ke BHkuSafuwan teruja dapat kembali ketika Singa bertarung dalam Piala Asean Fifa di Indonesia
Safuwan teruja dapat kembali ketika Singa bertarung dalam Piala Asean Fifa di Indonesia
Pemain pertahanan kembali selepas terlepas Kejohanan Asean; namun pasukan kebangsaan kehilangan penyerang, Ikhsan Fandi, yang alami kecederaan
Safuwan teruja dapat kembali ketika Singa bertarung dalam Piala Asean Fifa di Indonesia
JAKARTA: Selepas terlepas Kejohanan Asean baru-baru ini, pemain pertahanan pasukan Singa, Safuwan Baharudin, amat gembira dapat kembali bersama skuad kebangsaan ketika pasukan kendalian Gavin Lee itu bertarung dalam Piala Asean Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) buat julung kali di Indonesia.
Pemain berusia 35 tahun itu terlepas kejohanan pada 24 Julai hingga 26 Ogos itu kerana bertugas dengan kelabnya di Malaysia, iaitu Selangor.
Kelab-kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain memandangkan acara Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) itu tidak berada dalam tempoh antarabangsa Fifa.
Semasa satu temu bual di Hotel Mulia Senayan, Jakarta, pada 23 September, Safuwan meluahkan kekesalannya kerana terlepas kejohanan itu.
Kata beliau: “Ini fasa baharu dari segi kelayakan kami ke Piala Asia dan peminat mahu melihat pasukan ini dengan lebih kerap, tetapi saya ditinggalkan dan saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan Singapura yang baharu dirombak ini.
“Saya turut berasa kecewa kerana ini merupakan edisi kedua AFF yang saya terlepas, dan itu adalah sasaran peribadi saya, untuk bermain dalam pertandingan sebegini,” kata veteran yang mempunyai 133 penampilan kebangsaan itu.
Beliau turut terlepas edisi 2022 kerana tidak mendapat kelulusan perubatan ketika itu, selepas mengalami masalah gegaran otak.
Namun ketika pasukan Lee melangkah ke separuh akhir, Safuwan mengikuti aksi tersebut dengan teliti dari tempat duduk penonton di Stadium Jalan Besar.
“Saya menonton beberapa perlawanan secara langsung, saya berada di sana bagi perlawanan pertama (separuh akhir) menentang Thailand,” tambahnya.
Dengan edisi pertama kejohanan serantau yang diiktiraf Fifa kini berada dalam kalendar, Safuwan tidak sabar untuk kembali beraksi di peringkat antarabangsa, sambil menambah bahawa kepentingan detik ini tidak terlepas pandang oleh skuad tersebut.
Beliau berkata:
“Kami telah lama berbincang mengenai kejohanan ini selepas pengumuman besar itu, dan tidak ramai pemain yang akhirnya dapat bermain dalam kejohanan berprestij sebegini, terutamanya semasa tempoh jendela Fifa, dan pada usia ini, kami perlu merebut sebarang peluang (untuk bermain mewakili negara).
“Ia merupakan kejohanan yang baharu dan setiap pasukan pasti mahu menjadi yang pertama mengangkat piala ini. Ia adalah persaingan yang adil, dan kami ingin mencuba serta menguji diri kami.”
Singapura, yang berada di kedudukan ke-146 dunia, akan menentang Indonesia yang berada di kedudukan ke-118 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A mereka di Stadium Gelora Bung Karno pada 25 September.
Mereka kemudian akan menentang pasukan jemputan, Bangladesh (kedudukan ke-181), di padang yang sama pada 28 September, sebelum berdepan Malaysia yang berada di kedudukan dunia ke-136 di Bandung pada 1 Oktober.
Walaupun Safuwan telah kembali, pasukan Singa masih akan kehilangan penyerang, Ikhsan Fandi, yang mengalami kecederaan tulang rusuk ketika bermain untuk kelab Jepun divisyen ketiga, Thespa Gunma.
Berucap pada satu sidang media praperlawanan pada 24 September, Lee menganggap ketidakhadiran Ikhsan sebagai “amat malang”.
Jurulatih berusia 36 tahun itu berkata:
“Dalam bola sepak, kecederaan memang berlaku, dan pada akhirnya, apa yang kita boleh lakukan hanyalah mengawal perkara yang mampu dikawal, serta mencari formula dan penyelesaian terbaik berdasarkan pemain yang ada untuk pasukan.”
Abang Ikhsan yang turut berada dalam bentuk cemerlang, Ilhan Fandi, yang menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan di Kejohanan Asean, berkata:
“Beliau (Ikhsan) mendoakan yang terbaik untuk saya dan pasukan untuk kejohanan ini, namun agak mengecewakan kerana beliau tidak dapat berada di sini untuk bermain bersama kami.”
“Pasukan kebangsaan Indonesia adalah pasukan yang sangat kukuh dan bukan rahsia lagi bahawa mereka adalah calon kuat untuk memenangi kejohanan ini, tetapi sebagai Team Singapore, kami mahu tampil, memberikan mereka pertarungan yang baik dan menikmati detik ini,” tambah Ilhan.