Sejak mula bersahabat semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada 1973, Encik Fadzuli Yek dan Encik Abdul Latiff Suratman telah menjalin persahabatan serta mengumpul pelbagai kenangan manis selama lebih lima dekad.

Namun, selepas 53 tahun bersahabat, pada pagi 20 Julai, mereka dapat duduk bersama-sama untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia Fifa buat julung kalinya, menerusi program Beyond The Final anjuran Masjid Sultan.

Bagi Encik Fadzuli, 71 tahun, pengalaman tersebut bukan sekadar menonton perlawanan bola sepak semata-mata, malah menjadi peluang keemasan untuk merasakan pendekatan unik yang mengimbangi sukan dengan nilai kerohanian.

“Ini kali pertama saya dengar ada program yang menggabungkan sukan dengan kerohanian. Itulah yang buat saya datang.

“Dapat qiamullail, kemudian tengok bola dan akhirnya sambung dengan solat subuh berjemaah. Mana lagi nak dapat peluang macam ini? Alhamdulillah,” kata pesara itu.

Program tersebut menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia bagi menghidupkan malam final Piala Dunia dengan qiamullail, sesi memperbetulkan bacaan surah Al-Fatihah, refleksi ringkas sebelum menyaksikan siaran langsung perlawanan dan diakhiri dengan solat subuh berjemaah.

Kedua-dua sahabat itu turut berkongsi kegembiraan apabila pasukan pilihan mereka, Sepanyol, muncul juara dunia.

Menurut Encik Fadzuli, keputusan itu tidak mengejutkan berdasarkan corak permainan yang dipamerkan.

“Sejak awal lagi memang Sepanyol menguasai permainan. Argentina banyak bertahan sahaja.

“Bagi saya, keputusan pertarungan seharusnya lebih besar lagi... ada gol yang dibatalkan dan beberapa peluang terbaik yang terlepas. Tetapi alhamdulillah, akhirnya Sepanyol tetap menang,” katanya.

Encik Latiff, seorang artis bebas, berkata beliau memilih menghadiri program di Masjid Sultan itu walaupun menerima pelawaan untuk menyaksikan final di lokasi lain.

“Kawan saya ada ajak tengok di tempat lain, tetapi saya pilih datang ke Masjid Sultan kerana saya nak buat qiamullail terlebih dahulu,” katanya.

Beliau kata minatnya terhadap Sepanyol bermula sejak awal kejohanan, didorong oleh barisan pemain muda yang disifatkannya sebagai penuh semangat dan dahagakan kejayaan.

Beliau turut menyifatkan pengalaman menonton bersama ratusan penyokong lain di Masjid Sultan sebagai lebih menyeronokkan berbanding menonton sendirian di rumah.

“Kalau tengok di rumah, kita tak dapat suasana sebegini... di sini, semua orang bersorak, sama-sama teruja melihat setiap gerakan pemain.

Bagi Encik Fadzuli, apa yang paling meninggalkan kesan bukan sekadar kemenangan Sepanyol, tetapi mesej yang disampaikan sepanjang program tersebut.

“Majoriti yang hadir ialah orang muda, dan itu satu petanda yang sangat baik.”

“Sukan itu urusan dunia, tetapi kita juga perlukan bekalan untuk akhirat. Seperti yang dikatakan dalam perkongsian ustaz tadi, bola sepak hanya berlangsung 90 minit, tetapi agama adalah sepanjang hayat.”

“Pada saya, ini satu idea yang sangat baik untuk menggabungkan kedua-duanya dan menarik lebih ramai golongan muda datang ke masjid,” ujar Encik Fadzuli.