Topik diikuti
Pergi ke BHkuSailors atasi Tai Po, Tampines tewas detik akhir
Gol tunggal beri Sailors kemenangan sulung ACL2, manakala Tampines dibolosi pada masa kecederaan
Sailors atasi Tai Po, Tampines tewas detik akhir
Gol Matthias Phaeton menjadi pemisah penting apabila Lion City Sailors menewaskan Tai Po FC dari Hong Kong 1-0 pada 15 Oktober, sekali gus meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2).
Pemain dari Guadeloupe, Perancis, itu menjaringkan gol pada awal separuh masa kedua di Stadium Mong Kok untuk membawa Sailors ke tangga kedua Kumpulan F, selepas seri 1-1 dengan BG Pathum United dalam perlawanan pembukaan.
Ketua jurulatih Sailors, Mark Jackson, memuji ketahanan pasukannya dalam mempertahankan kelebihan tipis itu, meskipun mengakui pasukan tersebut masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pendekatan permainannya.
“Ini tiga mata penting bagi kami dalam pertandingan ini dan satu platform untuk kami membina sesuatu yang lebih baik.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pemain, walaupun saya memberitahu mereka bahawa sebenarnya ada cara yang lebih mudah untuk meraih tiga mata itu,” katanya.
Gol kemenangan perlawanan itu diraih melalui sepakan sudut Giovanni Haag, yang dilencongkan oleh Toni Datkovic sebelum Phaeton menjaringkan golnya dari jarak dekat.
Gol itu merupakan jaringan pertamanya dalam pertandingan kelab Asia buat Sailors, tetapi pemain berusia 26 tahun itu menegaskan kemenangan pasukan lebih penting daripada pencapaian peribadinya.
“Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol, tetapi yang paling penting ialah kami meraih tiga mata untuk pasukan dan kelab.
“Kami mahu terus berusaha seperti ini dan berharap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kejayaan,” ujarnya.
Sementara itu, Tampines Rovers mengalami kekecewaan apabila bolos pada masa kecederaan dan tewas 0-1 kepada kelab Jepun, FC Machida Zelvia, di Stadium Jalan Besar.
Berhadapan lawan yang mempunyai pengalaman luas di peringkat domestik dan antarabangsa, Tampines mempamerkan disiplin pertahanan yang baik dan berjaya mengekalkan kedudukan seri hampir sepanjang perlawanan.
Namun, ketika Tampines kelihatan hampir membawa pulang satu mata, Machida memecahkan kebuntuan pada minit keempat masa kecederaan.
Tete Yengi memenangi bola kedua di dalam kotak penalti sebelum menghantarnya kepada Henry Mochizuki, yang melepaskan rembatan melepasi penjaga gawang.
Kekalahan itu amat mengecewakan buat Tampines selepas mereka bertahan dengan baik sepanjang perlawanan.
Namun, keputusan tersebut turut menekankan betapa pentingnya mengekalkan tumpuan sehingga wisel penamat, terutama ketika berdepan lawan berpengalaman di pentas Asia.
Kedua-dua wakil Singapura itu kini kembali memberi tumpuan kepada Liga Perdana Singapura (SPL).
Sailors akan menentang FC Jurong pada 18 Oktober, manakala Tampines menerima kunjungan Young Lions pada hari yang sama di Our Tampines Hub (OTH), sedang mereka berusaha bangkit daripada kekalahan tipis itu.