Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors gagal guna peluang, kini mungkin tersingkir

Tewas 1-2 kepada Bangkok United bagi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 pada 6 Nov
Nov 7, 2025 | 12:39 PM
bola sepak, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Lion City Sailors, Bangkok United
Penyerang Lion City Sailors, Lennart Thy (dua dari kanan), berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Bangkok United di Stadium Bishan. Namun, gol tersebut hanya merupakan gol sagu hati dengan Sailors kalah 1-2 kepada pasukan Thailand itu. - Foto LION CITY SAILORS

Dalam pertandingan elit, tidak ada ruang bagi melakukan kesilapan.

Itulah pelajaran yang diperoleh pasukan Lion City Sailors yang sekali lagi terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 di Stadium Bishan kepada Bangkok United dalam aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada 6 November.

Sailors tampak lebih berani dan mengawal permainan dalam beberapa tempoh penting, namun kelekaan di bahagian serangan terus menghantui mereka.

Jurulatih, Aleksandar Rankovic, mengakui anak didiknya gagal memanfaatkan peluang yang dicipta oleh mereka.

“Ada masa kami terlalu gopoh,” ujar Rankovic.

“Apabila ketinggalan 0-1, memang naluri mahu segera membalas, tapi kami sepatutnya lebih tenang.”

“Kami juga patut guna ruang di bahagian sayap, bukan asyik cuba menembusi bahagian tengah di mana kapten (Bangkok United), Everton (Saturnino), sangat kuat.”

Gol pertama yang dibolosi Sailors boleh dikatakan akibat kecuaian di bahagian pertahanan mereka.

Satu hantaran jauh terlalu mudah melepasi barisan pertahanan Sailors, dan memandangkan mereka berdepan pasukan seperti Bangkok, peluang sebegitu pasti dimanfaatkan mereka sepenuhnya.

Selain itu, Bangkok juga bijak mengekang kekuatan utama Sailors iaitu serangan balas pantas.

Struktur pertahanan mereka kemas, dan mereka berjaya menutup ruang untuk Sailors bergerak bebas.

Malah, mereka pula yang memanfaatkan serangan balas untuk menjaringkan gol kedua mereka.

Namun, Rankovic tidak rasakan bahawa kekurangan sentuhan penyudah sahaja yang menyumbang kepada kekalahan mereka.

Beliau menyoal beberapa keputusan yang telah dilakukan pengadil perlawanan, Shiekh Ahmad Alaeddin.

Terdapat satu kejadian yang mana bek kanan Sailors, Diogo Costa, kelihatan seperti beliau dikasari pemain pertahanan Bangkok di dalam kotak penalti, tetapi pengadil hanya mengisyaratkan supaya teruskan perlawanan.

Dalam beberapa kejadian lain, Bangkok diberikan tendangan percuma walaupun pemain Sailors berjaya memenangi bola semula dengan adil.

Menyusuli insiden-insiden itu, Rankovic berpendapat sudah tiba masanya teknologi video pembantu pengadil (VAR) digunakan juga di peringkat kumpulan dalam kejohanan elit.

“Bagi saya, memang sukar dipercayai apabila perlawanan sebegini masih lagi tidak menggunakan VAR,” katanya.

“Ini tetap pertandingan Liga Juara-Juara, dan ada detik-detik penting yang boleh mengubah permainan.”

“Separuh masa pertama tadi, sepatutnya kami mendapat sepakan penalti, seratus peratus.”

Jurulatih Bangkok, Totchtawan Sripan, sendiri mengakui pasukannya bernasib baik dan menambah, keputusan mungkin berbeza jika Sailors lebih tajam di depan gol.

Kekalahan itu meletakkan Sailors di tangga ketiga Kumpulan G, enam mata di belakang pendahulu Persib Bandung dari Indonesia, dan lima mata di belakang Bangkok United.

Setakat ini, perjalanan mereka turun naik – kemenangan mengagumkan 4-2 ke atas Selangor (1 Oktober) kemudian seri 1-1 menentang Persib (18 September) dan dua kekalahan berturut-turut kepada Bangkok (23 Oktober & 6 November).

Namun, ini bukan kali pertama Sailors berada dalam situasi sebegini.

Musim lalu, mereka juga tewas dua kali di peringkat kumpulan tetapi akhirnya muncul juara kumpulan, dan itu sebabnya Rankovic kekal optimis.

“Selagi ada peluang secara matematik, kami akan terus berjuang,” katanya.

“Kami akan terus lawan sampai habis. Kalau tenaga dan semangat ini dikekalkan, saya yakin nasib akan berubah.”

Walaupun keputusan tidak menyebelahi mereka, persembahan Sailors tidak sepenuhnya mengecewakan.

Mereka bermain dengan intensiti dan keinginan tinggi, cuma perlu lebih tenang dan tajam ketika membuat keputusan di depan gawang.

Sailors kini perlu menghidupkan kembali semangat dan prestasi yang pernah membawa mereka ke final pada 2024.

Jika tidak, penyingkiran di peringkat kumpulan akan menjadi tamparan hebat – satu kemerosotan ketara berbanding perjalanan luar biasa mereka musim lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg