Topic followed successfully
Go to BHkuSailors kekal juara: Siapa mampu gugat dominasi mereka?
Sailors kekal juara: Siapa mampu gugat dominasi mereka?
Seri tanpa jaringan ke atas BG Tampines Rovers, cetus isu daya saing kelab lain
Sailors kekal juara: Siapa mampu gugat dominasi mereka?
Lion City Sailors berjaya mempertahankan kejuaraan liga mereka selepas seri tanpa jaringan menentang BG Tampines Rovers pada 3 Mei.
Keputusan di Our Tampines Hub (OTH) itu memastikan mereka meraih kejuaraan liga buat kali ketiga dalam tempoh enam tahun sejak penswastaan kelab itu pada 2020, sekali gus menonjolkan penguasaan mereka yang semakin kukuh dalam Liga Perdana Singapura (SPL).
Satu-satunya cabaran bagi Sailors kini adalah sama ada mereka mampu menyamai pencapaian pasukan Albirex Niigata pada 2018 dengan menamatkan kempen tanpa kalah.
Setakat ini, mereka telah mencatat 16 kemenangan dan tiga keputusan seri daripada 19 perlawanan.
“Untuk menyelesaikan musim ini tanpa kekalahan merupakan satu lagi cabaran bagi kami,” kata pengurus Sailors, Jesus Casas.
“Dalam sukan, anda selalu perlukan sasaran, dan perkara itu merupakan sasaran penting yang kami perlu capai.”
Namun, jika dilihat melangkaui musim ini, timbul juga persoalan lebih besar tentang tahap daya saing dalam liga itu.
Kelab lain perlu meningkatkan prestasi bagi mengelakkan situasi di mana satu pasukan, Sailors, menguasai liga itu tanpa saingan sengit.
Namun, usaha untuk merapatkan jurang ini bukanlah mudah, memandangkan kelebihan dari segi kewangan dan kemudahan yang dimiliki Sailors ketika ini.
Kebimbangan ini bukan sekadar andaian.
Di SPL, sudah wujud satu bentuk penerimaan terhadap jurang yang semakin melebar.
Sejak sebelum musim ini berlangsung, Berita Harian (BH) mendapati bahawa pasukan seperti Geylang International dan Balestier Khalsa secara praktis, meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan SPL di kelompok tiga teratas, berbanding mencabar kejuaraan itu secara langsung.
Pendekatan tersebut dilihat praktikal, tetapi pada masa yang sama mencerminkan betapa sukarnya untuk menyaingi kekuatan Sailors.
Kelab seperti Tampines dan Albirex Niigata masih kekal sebagai pencabar, namun sering berdepan kesukaran untuk mengekalkan rentak sepanjang musim.
Pasukan lain menunjukkan potensi dalam perlawanan tertentu, tetapi kekurangan dari segi kedalaman skuad untuk bersaing secara berterusan.
Akhirnya, jurang antara kelab semakin luas dan jelas – Sailors mendahului SPL dengan kelebihan lapan mata daripada pasukan tempat kedua (Tampines), dan pasukan terendah (Tanjong Pagar) mempunyai hanya empat mata.
Penguasaan Sailors tidak memeranjatkan jikalau kita ambil kira sumber dan kuasa kewangan mereka.
Mereka kekal sebagai satu-satunya kelab yang diswastakan sepenuhnya, dengan sokongan kewangan dan sistem pengurusan yang lebih profesional.
Pelaburan dalam kemudahan latihan, pembangunan pemain serta keupayaan menarik pemain import bermutu, memberi mereka kelebihan yang sukar ditandingi.
Sebagai contoh, mereka mendapatkan khidmat penyerang asing mereka, Anderson Lopes, yang mempunyai nilai pasaran $1.7 juta.
Nilai pasaran kesemua pemain kelab seperti Tanjong Pagar pula bernilai sekitar $1.7 juta.
Namun begitu, kehadiran kelab seperti Sailors juga mendatangkan banyak manfaat.
Mereka telah menetapkan satu standard baru dari segi profesionalisme dan pelaburan dalam bola sepak tempatan.
Dengan perjalanan mereka ke peringkat akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2), mereka menunjukkan apa yang boleh dicapai dengan perancangan jangka panjang dan sumber yang mencukupi.
Dalam jangka masa panjang, ini berpotensi menjadi pemangkin kepada kelab lain untuk meningkatkan struktur dan pendekatan masing-masing.
Pada masa yang sama, kelebihan ini datang bersama harapan lebih tinggi.
Kejayaan di peringkat domestik kini dilihat sebagai satu keperluan asas, bukan lagi pencapaian utama.
Tumpuan mula beralih kepada kemampuan Sailors untuk bersaing di peringkat serantau dan benua.
Justeru, masa depan SPL bergantung kepada bagaimana jurang ini ditangani.
Sama ada melalui pelaburan, pembaharuan struktur, atau pembangunan bakat yang lebih sistematik, kelab lain perlu mencari jalan untuk merapatkan perbezaan.
Buat masa ini, penguasaan Sailors mencerminkan kemajuan, tetapi pada masa yang sama menguji daya tahan dan keupayaan liga itu untuk kekal bersaing.
Tindak balas daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan kelab SPL lain dalam beberapa musim akan datang akan menentukan arah sebenar bola sepak tempatan.
