Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors pamer kehebatan pada minggu ketiga Liga Perdana S’pura

Aksi bermula dengan pertembungan sengit Geylang International, Hougang United
Sep 23, 2025 | 3:15 PM
bola sepak, Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, Anderson Lopes
Penyerang baru Lion City Sailors, Anderson Lopes (kiri), menjaringkan gol pertamanya dalam kemenangan 7-0 Sailors ke atas Tanjong Pagar dalam perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) pada 22 September. - Foto INSTAGRAM LION CITY SAILORS

Juara bertahan Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, terus mempamerkan kehebatan mereka pada minggu ketiga musim SPL.

Pasukan kendalian Aleksandar Rankovic menutup minggu dengan kemenangan meyakinkan ke atas Tanjong Pagar United.

Hougang United 0-2 Geylang International

Aksi minggu ketiga SPL bermula dengan pertembungan sengit antara Geylang International dengan Hougang United, yang menyaksikan Geylang muncul pemenang 2-0 pada 19 September di Our Tampines Hub (OTH).

Pertembungan penuh semangat itu menyaksikan dua pemain Hougang dilayangkan kad merah, menambah lagi ketegangan dalam perlawanan yang sudah sengit.

Jaringan awal pemain sayap kiri Geylang, Riku Fukashiro, tidak cukup untuk mematahkan semangat Hougang, yang terus mengasak gawang Geylang untuk mencari gol penyamaan.

Namun kebangkitan Hougang menjadi lebih sukar apabila kapten mereka, Anders Aplin, dilayangkan kad merah pada minit ke-31 kerana mengasari pemain tengah Geylang, Vincent Bezecourt, yang cuba menjaringkan gol.

Hanya tujuh minit kemudian, Geylang memanfaatkan kelebihan pemain mereka untuk menjaringkan satu lagi gol melalui Ryoya Taniguchi.

Keadaan menjadi lebih buruk untuk Hougang apabila Yita Kikuchi turut dilayangkan kad merah kerana menghantukkan kepalanya kepada Fukashiro setelah mengasari pemain tersebut.

Dengan hanya sembilan pemain, harapan Hougang untuk terus bangkit terpadam, sekali gus memberikan kemenangan yang diinginkan Geylang, setelah mereka kalah di tangan Albirex Niigata pada 12 September.

Young Lions 1-2 Balestier Khalsa

Jaringan lewat pemain tengah Balestier, Elijah Lim, berjaya memastikan pasukannya memperoleh kemenangan pertama dalam musim SPL 2025/26 di OTH pada 21 September.

Pasukan kendalian Firdaus Kassim itu memulakan perlawanan dengan hebat apabila pemain importnya dari Brazil, Sergio Mendonca, menjaringkan penalti untuk meletakkan pasukannya di hadapan pada awal perlawanan.

Namun, kelebihan tersebut tidak bertahan lama, kerana hanya lima minit kemudian, pemain tengah Balestier, Masahiro Sugita, menyamakan kedudukan.

Perlawanan agak sengit dengan kededua pasukan menghasilkan beberapa percubaan, tetapi hanya usaha Balestier membuahkan hasil pada masa tambahan.

Lim menerima bola dengan baik di luar kotak penalti, dan melepaskan rembatan jarak jauh yang melepasi penjaga gawang Young Lions, Benjamin Zerak.

Tanjong Pagar 0-7 Lion City Sailors

Setelah menewaskan Balestier 5-0 dengan selesa pada 14 September, Sailors sekali lagi mempamerkan kehebatan mereka apabila menentang Tanjong Pagar pada 22 September di Stadium Jurong East.

Ketajaman Sailors mendedahkan kelemahan barisan pertahanan pasukan kendalian Noh Alam Shah, dan separuh masa pertama berakhir 5-0 memihak kepada Sailors.

Penyerang Jerman, Lennart Thy, membuka tirai jaringan pada minit ke-14 apabila menerima hantaran silang dalam kotak penalti Tanjong Pagar.

Diogo Costa menggandakan kedudukan pada minit ke-28 dengan jaringan kemas selepas satu gerakan hebat.

Pada masa tambahan separuh masa pertama, Sailors meledak dengan tiga gol pantas dalam masa enam minit. Thy menambah satu lagi gol peribadinya tujuh minit dalam masa tambahan.

Kemudian Rui Pires menyempurnakan satu lagi peluang tiga minit kemudian, diikuti jaringan Song Ui-young sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.

Kelebihan dan penguasaan Sailors memadam segala harapan Tanjong Pagar untuk mengecap kemenangan seawal separuh masa pertama lagi.

Dalam separuh masa kedua, Sailors terus mengawal permainan dan menambah dua lagi jaringan menerusi penyerang Brazil, Anderson Lopes, pada minit ke-84 dan masa tambahan perlawanan.

Keputusan tersebut mengukuhkan lagi aspirasi awal musim Sailors untuk memburu semua kejuaraan domestik, dan menjadi amaran jelas kepada pencabar lain dalam SPL.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg