Dengan hanya berketinggian sekitar 1.6 meter berbanding pemain import dari negara Balkan pasukan Balestier yang lebih besar, Ong Yu En tampil ‘tinggi’ dalam mengawal bahagian tengah padang.
Daripada skil ‘roulette’ untuk mengatasi Tin Matic, sehinggalah kepada larian bertenaga membawa bola dari tengah padang ke kawasan serangan, beliau memiliki semua kelebihan untuk muncul sebagai bintang muda pasukan kebangsaan pada masa depan.
Di bahagian pertahanan pula, Aqil Yazid beraksi tanpa mengenal penat ketika bertahan. Teguh dan kental dalam setiap asakan, beliau cekal sehingga minit terakhir perlawanan.
Kedua-dua pemain itu antara lain merupakan pemain tempatan yang menyerlah untuk Young Lions dalam kalangan empat pemain import yang diturunkan Ketua Jurulatih Firdaus Kassim apabila tewas 1-2 kepada Balestier Khalsa dalam perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 pada 21 September.
Perlawanan yang berlangsung di Our Tampines Hub itu merupakan pembukaan kempen liga untuk pasukan muda itu, dengan misi yang lebih besar menanti mereka dalam Sukan SEA pada Disember nanti.
Jaringan Masahiro Sugita dan Elijah Lim menamatkan impian Young Lions mencatat kemenangan sulung selepas mendahului melalui sepakan penalti Sergio Mendonca seawal minit ketujuh.
Mengulas persembahan pemain import dan tempatan Young Lions kepada Berita Harian (BH), Firdaus berkata objektif membawa pemain asing ialah untuk meningkatkan mutu latihan serta cara bermain.
“Saya berharap, pada musim ini, pemain-pemain kita akan dapat mempelajari lebih banyak daripada pemain import ini.
“Selain itu, saya juga mengharapkan keputusan akan datang dapat mencerminkan mutu sebenar pemain-pemain yang kita miliki,” ujarnya.
Berikut empat pengajaran yang boleh dibawa pulang anak buah Firdaus sebelum perlawanan menentang Tanjong Pagar United pada 25 September.
Dua pemain yang menarik perhatian peminat ialah Ong dan Aqil, yang beraksi cemerlang di posisi mereka.
Kehadiran Ong di bahagian tengah memperkukuhkan lagi enjin pasukannya dengan kebolehan mengawal bola dengan tenang serta larian pintarnya.
Sementara itu, bek tengah, Aqil, mempamerkan semangat tidak menyerah kalah apabila terus memberi tekanan kepada pemain Balestier, dan cuba mengawal bola hingga ke wisel penamat.
Kehadirannya secara tidak langsung membataskan jumlah jaringan.
“Pengajaran utama untuk kami bagi perlawanan seterusnya ialah kami perlu kekal bersemangat kerana ini baru perlawanan pertama.
“Namun, ia juga menunjukkan aspek yang perlu diperbaiki, terutamanya fokus, kerana bola sepak bukan hanya tentang 90 minit permainan ditambah masa tambahan, ia berterusan sehingga wisel penamat,” kata Aqil kepada BH.
Antara pemain yang menyerlah ialah pemain sayap, Harry Spence, yang lincah, serta ketajaman penyerang, Sergio Mendonca.
Spence memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila memberikan pelbagai masalah di sayap kanan pada separuh masa pertama.
Beliau tidak gentar mencabar lawannya dan melakukan hantaran leret berbahaya.
Sementara itu, selepas merantau sejauh 16,000 kilometer dari Brazil, peminat mengharapkan Mendonca dapat membawa bersamanya sentuhan ‘Brazilian flair’.
Meskipun baru berusia 21 tahun, pemain yang mempunyai fizik yang tegap itu sudah menunjukkan kekuatannya dalam mengawal bola.
Young Lions juga perlu meningkatkan persefahaman antara pemain import dengan tempatan.
Walaupun ini perlawanan pertama, kegagalan memperbaiki persefahaman dengan segera berpotensi menjejas prestasi pasukan muda itu.
Ketika menentang Balestier, kapten yang beraksi di tengah padang, Lucas Agueiro, kerap hilang bola akibat kurang persefahaman dengan barisan pertahanan dan pemain tengah lain.
Terdapat beberapa situasi yang menyaksikan kekurangan persefahaman ini membuka ruang dan peluang jaringan kepada Balestier.
Satu yang pasti, Young Lions tidak akan bertemu Balestier setiap minggu.
Terdapat pasukan bermutu tinggi lain yang mampu menghukum jika mereka lalai mengawal permainan.
Walaupun perlawanan menentang Balestier kelihatan seimbang, dengan Young Lions mempunyai 42 peratus penguasaan bola dan 11 percubaan ke arah gol, mereka tidak boleh berpuas hati.
Anak didik Firdaus perlu berusaha gigih untuk mengawal perlawanan agar dapat melangkah lebih jauh, terutamanya dalam Sukan SEA 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg