Topic followed successfully
Go to BHkuSailors raih kemenangan ke-15, Young Lions pamer aksi boleh dibanggakan
Sailors raih kemenangan ke-15, Young Lions pamer aksi boleh dibanggakan
Tampines turut catat kemenangan untuk terus saing bagi gelaran SPL
Sailors raih kemenangan ke-15, Young Lions pamer aksi boleh dibanggakan
Lion City Sailors meneruskan penguasaan mereka dalam Liga Perdana Singapura (SPL) dengan kemenangan ke-15 musim 2025/26 selepas menewaskan pasukan Young Lions 2-0 pada 20 April.
Namun, dalam keadaan hujan lebat di Stadium Jalan Besar, pemain muda Young Lions mengejutkan juara bertahan itu dengan persembahan yang mantap, memaksa Sailors bekerja keras untuk meraih tiga mata dalam usaha menjulang kejuaraan.
Berbekal keyakinan daripada kemenangan pertama minggu lalu, anak didik Firdaus Kassim menunjukkan prestasi baik dengan hantaran tepat dan pergerakan lincah, menguji benteng Sailors pada separuh masa pertama.
Namun, Sailors tetap menyerlahkan kualiti mereka.
Gol lewat daripada Lennart Thy dan Anderson Lopes memastikan kemenangan, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak SPL serta mengehadkan peluang Tampines Rovers untuk merapatkan jurang dalam perebutan kejuaraan musim ini.
Sailors menguasai rentak permainan sepanjang permainan, namun hampir dibolosi oleh Young Lions yang melakukan beberapa serangan balas yang berbahaya.
Pemain sayap Young Lions, Harry Spence, kerap memberi tekanan kepada Nur Adam Abdullah dengan aksi gelecek yang pantas.
Sailors hampir mencapai kelebihan sebelum tamat babak pertama, namun dihalang oleh pemain pertahanan Young Lions, Abdil Qaiyyim Mutalib, yang menendang bola keluar daripada garisan gol.
Namun, Sailors mendapat kelebihan tambahan apabila pemain tengah Young Lions, Ajay Robson, dilayangkan kad merah akibat kekasaran pada minit ke-62.
Thy akhirnya memberi kelebihan untuk Sailors apabila percubaannya melepasi gawang Izwan Mahbud pada minit ke-73.
Young Lions kemudian bertungkus-lumus mencari gol penyamaan, namun terpaksa menerima kekalahan apabila Lopes menjaringkan gol kedua pada minit ke-99.
Kemenangan itu meletakkan Sailors dalam kedudukan selesa tangga teratas SPL dengan 47 mata.
Tampines pula memastikan perjuangan mereka untuk merebut kejuaraan terus hidup, selepas menewaskan Balestier Khalsa 2-1 pada 17 April.
Balestier memberikan tentangan hebat, dengan penjaga gawang Mario Mustapic menafikan beberapa percubaan bahaya untuk memastikan pasukannya dapat terus bersaing.
Yuki Kobayashi mempamerkan ketajaman apabila sepakan percuma beliau menemui sudut gawang pada minit ke-47 memberi kelebihan satu gol kepada Tampines.
Balestier kemudian menyamakan kedudukan menerusi Daniel Goh, hasil hantaran Jakov Katusa pada minit ke-64.
Namun, Seiga Sumi muncul wira dengan gol kemenangan pada minit ke-80 menerusi tandukan daripada sepakan sudut Koya Kazama.
Kemenangan itu juga yang pertama bagi Tampines di bawah kendalian William Phang, selepas Katsuhito Kinoshi meletakkan jawatan hanya 12 hari selepas mengambil alih.
“Kami berjaya menguasai perlawanan sepanjang malam dan menghasilkan banyak percubaan, namun, kami hanya mampu menjaring dua gol,” kata Phang selepas perlawanan.
Pasukan bergelar The Stags itu menghasilkan sebanyak 24 percubaan – sembilan menemui sasaran.
Walaupun Phang bangga dengan kemenangan itu, beliau menekankan bahawa setiap perlawanan begitu penting dalam usaha mengejar Sailors demi merebut gelaran SPL.
Tampines kini berada di tangga kedua dengan 39 mata, di belakang Sailors, dengan kelebihan satu perlawanan.
Dalam aksi lain, Albirex Niigata menundukkan Hougang United 4-0 di Stadium Bishan pada 19 April.
Shingo Nakano sekali lagi membuktikan dirinya sebagai pemain tonggak Albirex dengan menyumbang dua gol.
Pemain tengah, Ryang Hyon Ju, memastikan tiga mata penuh bagi pasukannya dengan dua lagi gol dalam babak kedua.
Sementara itu di Our Tampines Hub (OTH), Geylang International bangkit untuk menewaskan Tanjong Pagar United 2-1.
Junior Djile memberi Tanjong Pagar kelebihan pada minit ke-27. Namun, Riku Fukashiro menyamakan kedudukan untuk Geylang tidak lama kemudian pada minit ke-31.
Kaisei Ogawa akhirnya menemui gol kemenangan pada minit ke-83, hasil tandukan Ryoya Taniguchi setelah menerima hantaran sempurna dari Kaisei Ogawa.
PERLAWANAN AKAN DATANG
Dengan sekurang-kurangnya empat perlawanan untuk setiap pasukan sebelum saingan SPL 2025/26 tamat, Tampines perlu memenangi kesemua perlawanan seterusnya untuk mempunyai peluang merampas gelaran daripada Sailors.
Menyusuli persembahan Young Lions, Tampines mungkin perlu berhati-hati apabila kededua pasukan itu berentap di Stadium OTH pada 24 April dalam usaha mengejar Sailors.
Sailors pula akan menentang Geylang – lawan yang telah mereka atasi dalam dua pertemuan sebelum ini – pada 26 April di stadium yang sama.
Albirex pula akan menyambut Tanjong Pagar di Stadium Jurong East pada 25 April, manakala Balestier dan Hougang akan bersaing pada 27 April.
KEDUDUKAN SPL SETAKAT INI
- Lion City Sailors: 47 mata
- Tampines Rovers: 39 mata
- Albirex Niigata: 32 mata
- Balestier Khalsa: 26 mata
- Geylang International: 23 mata
- Hougang United: 15 mata
- Young Lions: 8 mata
- Tanjong Pagar United: 4 mata

