Topik diikuti
Pergi ke BHkuDana perlawanan amal hampiri sasaran, bantu Rezal Hassan bangkit
Dana perlawanan amal hampiri sasaran, bantu Rezal Hassan bangkit
Sehingga 19 April, jumlah keseluruhan dana lebih $10,000, hampiri sasaran $15,000
Dana perlawanan amal hampiri sasaran, bantu Rezal Hassan bangkit
Dalam tempoh kurang satu jam selepas bermulanya acara Perlawanan Amal Rezal Hassan pada 18 April bagi mengumpul dana untuk bekas penjaga gol kebangsaan Singapura itu, jumlah dana telah melonjak daripada $2,300 kepada $4,000.
Sehingga 19 April, jumlah keseluruhan dana telah melebihi $10,000, menghampiri sasaran yang dijangkakan sebanyak $15,000.
Isteri Rezal Hassan, Suhaila Mohamad Sahari, menyifatkan acara itu sebagai “sesuatu yang menyentuh hati dan emosi” buat suaminya yang sedang menghidapi penyakit angin ahmar, membuatkan beliau sekeluarga rasa diingati oleh sahabat handai dan orang tersayang di sekelilingnya.
Sewaktu berkongsi dengan Berita Harian (BH) pada 19 April, Suhaila, 49 tahun, berkata:
“Acara semalam (18 April), terasa sungguh luar biasa, apabila kami melihat ramai sanak saudara dan teman rapat mahupun teman yang sudah lama tidak jumpa berkumpul dan bersatu.
“Mereka semua datang untuk memberikan sokongan moral kepada suami saya, Rezal, dan ini sangat menggembirakan beliau.
“Melihat suasana sebegitu, Rezal berasa sungguh terharu kerana rasa masih diingati. Malah, air matanya mula mengalir apabila ingin menyampaikan ucapan penghargaan sewaktu acara perlawanan amal itu.”
Beliau turut berkongsi bahawa ramai yang menghampiri beliau dan suaminya pada acara itu untuk memberikan kata-kata semangat dan dorongan.
“Ramai yang datang dan memberi kata-kata dorongan.
“Antaranya ialah bekas jurulatih Rezal iaitu Narong Saiket, yang turut pernah mengalami angin ahmar.
“Beliau memberi motivasi yang kuat dan turut menawarkan bantuan untuk bantu proses pemulihan suami saya.
“Kata-kata sebegini sangat memberikan semangat kepada Rezal untuk kembali pulih seperti sedia kala,” tambah beliau.
Perlawanan Amal antara Kelab Sporting Tampines dengan Kelab Sukan Dramatis Singapura itu telah dianjurkan oleh Kelab Sporting Tampines dan disokong oleh Kelab Masyarakat (CC) Tampines North.
Wakil penganjur perlawanan amal tersebut, Yazrul Rahman Mohamed Yassin, berkongsi bahawa mereka akan terus mengekalkan momentum dalam mendekati orang ramai bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan sumbangan berterusan.
Presiden Sporting Tampines itu turut berkata:
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah menyumbang setakat ini. Sokongan mereka amat bermakna.
“Sporting Tampines berharap agar sumbangan ini akan berterusan selepas ini, dan kami mendoakan agar Rezal Hassan dikurniakan proses pemulihan yang lancar serta kuat.
“Justeru, Sporting Tampines sentiasa komited untuk terus menyumbang dan berkhidmat kepada masyarakat.”
Acara yang berlangsung di stadium Our Tampines Hub itu menyaksikan kehadiran sekitar 250 orang, termasuk legenda bola sepak Singapura seperti Fandi Ahmad, Rafi Ali, Noor Ali dan Nazri Nasir, bersama anggota keluarga serta rakan-rakan Rezal daripada pelbagai latar belakang.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, selaku tetamu terhormat.
Menurut Yazrul, ada juga yang menghulurkan sumbangan wang terisi dalam sampul surat tapi mereka tidak kenali.
Sementara itu, Suhaila melahirkan penghargaannnya kepada para teman, keluarga dan peminat Rezal kerana telah berkumpul bersama untuk memberikan sokongan dan sumbangan.
“Sumbangan yang telah dihulurkan ini pasti dapat meringankan perbelanjaan bagi kos rawatan dan perubatan Rezal yang akan datang.
“Namun, doa dan sokongan moral daripada semualah yang akan terus menguatkan semangatnya untuk sembuh dan agar boleh ‘kembali beraksi’,” jelas Suhaila.

