Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors, Tampines sasar permulaan baik dalam kempen ACL2

Sep 17, 2025 | 5:40 PM
Penyerang Lion City Sailors (LCS), Shawal Anuar (kanan), yakin bahawa pasukannya mampu mengulangi kejayaan musim lalu dalam Liga Juara-Juara Asia AFC 2 (ACL2) dengan suntikan kualiti dan pengalaman baru dalam skuad. Sailors akan memulakan kempen ACL2 mereka menentang Persib Bandung pada 18 September.
Penyerang Lion City Sailors (LCS), Shawal Anuar (kanan), yakin bahawa pasukannya mampu mengulangi kejayaan musim lalu dalam Liga Juara-Juara Asia AFC 2 (ACL2) dengan suntikan kualiti dan pengalaman baru dalam skuad. Sailors akan memulakan kempen ACL2 mereka menentang Persib Bandung pada 18 September. - Foto LCS

Selepas meraih kemenangan meyakinkan dalam Liga Perdana Singapura (SPL), dua pasukan tempatan – Lion City Sailors dan BG Tampines Rovers– kini bersedia untuk memulakan kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) mereka dengan kemenangan.

Bagi Sailors, yang merupakan finalis pertandingan tersebut musim lalu, matlamat utama adalah untuk mengulangi pencapaian cemerlang mereka dalam kejohanan itu.

Namun, mereka dijangka berdepan cabaran getir pada 18 September dalam perlawanan pembukaan menentang juara Indonesia, Persib Bandung, yang pernah menewaskan mereka musim lalu.

Dalam dua pertemuan terdahulu, Sailors tewas tipis 3-2 pada 7 November dan hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 pada 24 Oktober dalam kempen ACL2 musim lepas.

“Kami lakukan banyak kesilapan dalam perlawanan tersebut, terutamanya di stadium sendiri di mana kami mendahului perlawanan tetapi akhirnya dibolosi dua gol lewat,” kata penyerang Sailors, Shawal Anuar.

“Cabaran di Bandung pasti hebat sekali dan kami perlu berada di tahap yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan,” tambahnya.

Shawal juga yakin bahawa pasukannya kini mempunyai kualiti dan pengalaman yang diperlukan untuk melangkah jauh dalam pertandingan tersebut.

Sailors telah membawa masuk pemain tengah dari pasukan Switzerland, Grasshopper, dan juga penjaring gol kedua terbanyak ACL Elite (pertandingan tahap atas ACL2), Anderson Lopes, dari pasukan Jepun, Yokohama F. Marinos.

Walaupun Lopes masih belum menemui sentuhan gol, Sailors masih mempunyai bintang-bintang lain seperti Lennart Thy yang merupakan penjaring terbanyak Sailors musim lalu dengan 28 gol, dan juga Shawal yang merupakan penjaring kedua terbanyak ACL2 musim lepas dengan 13 gol.

“Perjalanan musim lepas telah memberikan kami kepercayaan bahawa kami boleh cemerlang di pentas benua,” kata penyerang berusia 34 tahun itu.

“Kami akan berusaha sedaya upaya sebagai satu pasukan dengan harapan untuk menghasilkan satu lagi kempen yang tidak boleh dilupakan bagi penyokong bola sepak Singapura,” tambahnya.

Bagi pasukan Tampines pula, perlawanan menentang juara Filipina, Kaya FC, merupakan ujian terbesar buat jurulatih baru mereka, Noh Rahman.

Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Akbar Nawas yang meninggalkan kelab tersebut secara mengejut pada 11 September.

Noh berhadapan cabaran kerana Akbar telah meninggalkan kelab tersebut dalam kedudukan yang baik selepas permulaan mengagumkan tanpa kalah.

Kelab itu menewaskan juara bertahan SPL, Sailors, dengan keputusan 4-1 di Perisai Masyarakat, dan menumpaskan wakil Filipina di Piala Shopee, Cebu FC, dengan keputusan 3-1. Ia juga mendapat keputusan seri 0-0 bersama Geylang International dalam perlawanan pembukaan SPL.

Jurulatih berusia 45 tahun itu berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah pasukannya apabila membimbing mereka sebagai ketua jurulatih buat kali pertama menentang Tanjong Pagar pada 13 September, dengan kemenangan 3-0.

Bagi kempen ACL2 musim lepas, mereka tersingkir di peringkat kumpulan selepas mengakhiri peringkat tersebut di tempat ketiga dalam kumpulan G, di bawah wakil Thailand, Bangkok United, dan wakil Vietnam, Nam Dinh.

Namun, mereka juga telah memperkukuhkan skuad mereka dengan bakat-bakat asing seperti pemain sayap, Trent Anthony Buhagiar, dari pasukan Azerbaijan, Kapaz, yang telah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan untuk Tampines.

Selain itu, mereka juga telah mendapatkan khidmat pemain pertahanan, Dylan Fox, dari pasukan Finland, FC Lathi.

Beliau telah memainkan peranan penting dalam memastikan kubu Tampines teguh, dengan hanya dibolosi sebanyak dua kali dalam empat perlawanan.

Dylan kekal tenang apabila ditanya tentang persiapan mereka menentang Kaya FC.

“Kami akan menghadapi perlawanan demi perlawanan dan kekal bersatu sebagai satu pasukan,” kata pemain pertahanan berusia 31 tahun itu.

“Kami agak berpuas hati dengan permulaan kami dan seperti anda lihat, kami percaya satu sama lain.

“Kami akan terus berikan segalanya untuk kelab dan penyokong kami,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg