Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

JDT mengaum, tenggelamkan Sailors dalam Piala Shopee 

Dua gol pantas kecewakan Sailors yang akhirnya terpaksa akur kepada juara M’sia yang menang 3-1
Aug 21, 2025 | 7:51 PM
Penjaga gawang Lion City Sailors, Ivan Susak, hanya mampu melihat percubaan penyerang JDT, Joao Figueiredo, membolosi gawangnya.
Penjaga gawang Lion City Sailors, Ivan Susak, hanya mampu melihat percubaan penyerang JDT, Joao Figueiredo, membolosi gawangnya. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kelab gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), menunjukkan kehebatan mereka selepas menundukkan wakil Singapura, Lion City Sailors, 3-1 dalam perlawanan Kejohanan Kelab Asean (ACC), juga dikenali sebagai Piala Shopee, di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos.

Dua jaringan pantas penyerang JDT, Joao Figueiredo, pada separuh masa pertama cukup untuk mengecewakan pasukan pelawat, sekali gus mencetuskan kegembiraan sebahagian besar 13,143 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Anak didik Xisco Munoz bermula dengan garang apabila penyerang berbisanya, Joao, meledak dua gol pantas pada minit ke-11 dan ke-16 untuk meletakkan tuan rumah selesa di depan pada awal permainan.

Gol pertama beliau tiba melalui sepakan penalti apabila pemain pertahanan Sailors, Safuwan Baharudin, didapati mengasari penyerang JDT, Jairo Da Macedo Da Silva, di dalam kotak penalti, dan dilayangkan kad kuning.

Joao tampil dan menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk membuka tirai jaringan.

Hanya lima minit kemudian, barisan pertahanan Sailors gagal mengawal hantaran lintang bintang tempatan pasukan tuan rumah, Arif Aiman, dan bola akhirnya jatuh kepada Joao, yang sekali lagi memanfaatkan peluang untuk menggandakan kelebihan juara bertahan Liga Super Malaysia itu.

Jaringan tersebut membantu JDT mengawal rentak perlawanan yang menyaksikan pasukan bergelar Harimau Selatan itu terus menguasai perlawanan, dan mengatur serangan demi serangan ke atas benteng Sailors.

Sailors yang dipimpin Aleksandar Rankovic, cuba bangkit pada minit ke-40, melancarkan serangan balas dengan gabungan pemain tengah, Bart Ramselaar, dan penyerang baru, Anderson Lopes, tetapi penjaga gawang JDT, Andoni Zubiaurre Dorronsoro, pantas mematahkan gerakan kededua pemain itu.

Sailors cuba bangkit pada masa tambahan separuh masa pertama apabila Lopes bijak melepasi pemain pertahanan JDT, tetapi bola percubaannya mudah diselamatkan Dorronsoro.

Separuh masa kedua berakhir dengan kelebihan dua gol untuk JDT. 

Rentak bertenaga Harimau Selatan diteruskan pada separuh masa kedua, dan hanya dua minit perlawanan permainan dimulakan hantaran lintang Arif mengancam gawang Sailors sekali lagi, tetapi gagal menemui rakan sepasukannya.

Namun, Sailors enggan mengalah dan kekal berusaha bangkit apabila pada minit ke-54 Ramselaar mempamerkan gerakan dan kekuatan fizikal untuk melepasi beberapa pemain pertahanan JDT, tetapi malangnya percubaan beliau nyaris tersasar.

JDT kekal memburu gol, dan usaha mereka hampir membuahkan ganjaran apabila pemain tengah Sailors, Rui Pires, hilangkan bola di depan kotak penalti kepada Da Silva, tetapi Susak berjaya menafikan percubaan tersebut.

Sailors akhirnya menembusi gawang JDT pada minit ke-79 perlawanan, tetapi tandukan Ramselaar dibatalkan akibat ofsaid.

Malang bagi Sailors apabila Arif berjaya menyumbatkan satu lagi gol, menyempurnakan kemenangan pasukannya pada masa tambahan apabila JDT dengan bijak mengambil tendangan percuma mereka dengan pantas.

Juara bertahan Liga Perdana Singapura (SPL) memperolehi gol sagu hati melalui pemain gantian, Shawal Anuar, pada masa tambahan.

Pasukan bimbingan Rankovic kini bangkit dalam perlawanan seterusnya apabila turun beraksi bagi perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) menentang Hougang United di Our Tampines Hub pada 25 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg