Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saka tekad leburkan Real Madrid selepas bangkit daripada kecederaan

Apr 8, 2025 | 2:39 PM
Pemain Arsenal, Bukayo Saka, menghadiri sidang akhbar di London, Britain, pada 7 April 2025.
Pemain Arsenal, Bukayo Saka, menghadiri sidang akhbar di London, Britain, pada 7 April 2025. - Foto EPA-EFE

LONDON: Tempoh rehat akibat kecederaan jarang dialu-alukan oleh pemain tetapi pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka, percaya ia boleh memberi manfaat kepada beliau dan kelabnya ketika mereka bersiap sedia menentang juara bertahan Real Madrid pada suku akhir Liga Juara-Juara pada 8 April.

Saka muncul sebagai pemain yang boleh dikatakan paling tidak boleh diganti dalam skuad Mikel Arteta dan ketika kepulangannya daripada kecederaan otot paha yang serius mungkin sudah terlambat untuk menyelamatkan harapan Arsenal merangkul gelaran Liga Perdana England (EPL), kejayaan di pentas Eropah adalah matlamat yang realistik.

“Saya fikir secara mental ia sangat bagus untuk saya,” kata Saka, 23 tahun, yang terlepas beraksi selama lebih tiga bulan selepas mengalami kecederaan sebelum Krismas.

“Jelas sekali ia amat sukar bagi saya apabila diberitahu saya perlu menjalani pembedahan. Tetapi apabila ia selesai dan berjaya, saya kini hanya fokus untuk kembali lebih kuat dan saya mempunyai banyak masa.”

Saka terlepas dua perlawanan pembukaan England dalam kelayakan Piala Dunia pada Mac tetapi menjaringkan gol selepas pulih untuk membantu Arsenal menewaskan Fulham dalam EPL minggu lepas.

Jika Arsenal mahu mengejutkan Real Madrid, mereka memerlukan Saka untuk melancarkan semua serangan dan beliau yakin kesegarannya akan memberinya kelebihan menentang gergasi Sepanyol itu.

“Sejak lima tahun saya menyertai perlawanan, ini adalah rehat kali pertama yang saya alami. Ia benar-benar baik untuk saya dan saya perlu melakukan banyak perkara yang tidak biasa saya lakukan. Ia benar-benar menggembirakan untuk kembali, dan saya berasa segar dari segi mental.

“Saya hanya menumpukan perhatian pada perkara positif, dan saya tidak boleh meminta untuk kembali pada masa yang lebih baik musim ini daripada sekarang,” tambahnya dengan nada ceria.

Kepentingan Saka kepada Arsenal digariskan oleh statistiknya musim ini - 10 gol dan 14 bantuan merintis jaringan dalam 26 perlawanan dalam semua pertandingan, termasuk empat gol dalam Liga Juara-Juara.

Arsenal tersekat pada peringkat suku akhir tahun lalu oleh Bayern Munich ketika mereka masih bergelut dengan Manchester City dalam perebutan kejuaraan EPL.

Saka berkata perlawanan pertama pada 8 April boleh menjadi salah satu acara terbaik yang pernah disaksikan di Stadium Emirates.

“Ia adalah malam yang sangat besar dan pertaruhannya tinggi menentang salah satu pasukan terbaik dalam pertandingan itu,’’ tambah Saka. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg