Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Salah gesa bantuan ke Gaza dibenarkan segera

Oct 19, 2023 | 4:21 PM
SERU UTAMAKAN PERIKEMANUSIAAN: Bintang bola sepak Liverpool yang berasal dari Mesir, Mohamed Salah, antara lain menyeru pemimpin dunia supaya bersama-sama mencegah pembunuhan jiwa tidak berdosa, dalam video di Instagram.
SERU UTAMAKAN PERIKEMANUSIAAN: Bintang bola sepak Liverpool yang berasal dari Mesir, Mohamed Salah, antara lain menyeru pemimpin dunia supaya bersama-sama mencegah pembunuhan jiwa tidak berdosa, dalam video di Instagram. - Foto EPA-EFE

LIVERPOOL: Bintang bola sepak Liverpool yang berasal dari Mesir, Mohamed Salah, menggesa bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza pada Rabu, sambil merayu agar “pembunuhan beramai-ramai” dihentikan dalam konflik antara Israel dengan kumpulan Hamas.

Penduduk Gaza menghadapi kekurangan yang teruk kerana wilayah itu ditutup menyusuli serangan 7 Oktober oleh Hamas ke atas tentera Israel.

Israel kemudian bertindak balas. Ribuan nyawa terkorban dalam krisis itu.

Pada Selasa, Hamas menuduh Israel bagi serangan roket ke atas hospital di Gaza.

Bagaimanapun, Israel menafikan bertanggungjawab, malah mendakwa kejadian itu disebabkan oleh roket tersasar yang dilepaskan oleh kumpulan Palestin.

Salah, pemenang Liga Juara-Juara dan Liga Perdana bersama Liverpool, dan juga kapten Mesir, adalah antara atlet paling popular di Dunia Arab.

“Bukan mudah untuk bercakap dalam masa seperti ini. Terlalu banyak keganasan dan terlalu banyak kesedihan dan kekejaman,” kata Salah, 31 tahun, dalam sebuah video yang dimuat naik kepada 62.7 juta pengikutnya di Instagram.

“Keadaan yang semakin buruk beberapa minggu kebelakangan ini sukar untuk disaksikan. Semua jiwa adalah suci dan mesti dilindungi. Pembunuhan beramai-ramai perlu dihentikan, keluarga menjadi berpecah-belah.”

Selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, ke Tel Aviv pada Rabu, Israel berkata ia telah bersetuju dengan permintaan beliau untuk membenarkan bantuan ke Gaza, yang terkepung, melalui Mesir akibat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai bekalan yang semakin berkurang dan amaran bencana kemanusiaan.

“Yang jelas sekarang, bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti dibenarkan segera. Penduduk di sana berada dalam keadaan teruk,” tambah Salah.

“Keadaan di hospital... sangat menyayat hati. Penduduk Gaza memerlukan makanan, air dan bekalan perubatan dengan segera.

“Saya menyeru pemimpin dunia supaya bersama-sama mencegah pembunuhan jiwa yang tidak berdosa – perikemanusiaan mesti diutamakan.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg