LONDON: Penyerang Mesir, Mohamed Salah, berkata pasukannya bukanlah antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (Afcon).
Namun, beliau menegaskan mereka akan berikan yang terbaik demi mara lebih jauh dalam kejohanan yang berlangsung di Maghribi itu.
Penyerang Liverpool itu menjaringkan gol ketiga Mesir untuk menempah tempat dalam pusingan suku akhir setelah mencatat kemenangan sengit 3-1 atas Benin selepas masa tambahan pada 5 Januari.
Pasukan kendalian Hossam Hassan itu berhasrat menjulang kejuaraan berkenaan buat kali pertama sejak 2010, sekali gus mencatat rekod kemenangan kelapan secara keseluruhan.
“Saya sama sekali tidak fikir kami merupakan pasukan pilihan (untuk menjuarai kejohanan tersebut)”, kata Salah.
“Kami mempunyai ramai pemain muda dan kebanyakan mereka bermain di Mesir. Kami sekadar berjuang demi negara namun semua telah memberikan yang terbaik dan anda dapat melihatnya hari ini.”
Pemain berusia 33 tahun itu berkata tiada perlawanan yang mudah dalam Afcon.
“Taraf permainan agak sama. Saya memberitahu pasukan bahawa tiada pasukan yang tewas dengan empat atau lima gol. (Benin) mempunyai pasukan yang baik dan jurulatih yang bagus. Saya senang kami dapat mengakhiri perlawanan dengan kemenangan,” tambahnya.
Salah menjaringkan 10 gol dalam 22 perlawanan Afcon, kurang dua gol berbanding Hassan El-Shazly, penjaring terbaik Mesir sepanjang zaman dan kurang satu gol berbanding jurulatihnya sekarang, Hassan.
Mesir bakal menentang juara bertahan, Ivory Coast atau Burkina Faso dalam perlawanan suku akhir di Agadir pada Sabtu.
Sementara itu, Victor Osimhen menjaringkan dua gol ketika Nigeria mudah menewaskan Mozambique 4-0 pada Piala Negara-Negara Afrika, sekali gus melangkah selesa ke suku akhir menerusi kemenangan bergaya pada pusingan 16 terakhir.
Ademola Lookman, bekas pemenang anugerah Pemain Terbaik Afrika seperti mana Osimhen, membuka tirai jaringan selepas 20 minit di di Stadium Fez sebelum membantu mencipta tiga lagi gol Nigeria pada perlawanan itu.
Osimhen memulakan perlawanan tanpa memakai topeng ikoniknya, namun kembali menyarung pelindung muka itu sebelum menjaringkan gol kedua Nigeria pada minit ke-25.
Dia kemudian menambah satu lagi gol sejurus selepas rehat sebelum Akor Adams melengkapkan kemenangan.
Ia adalah margin kemenangan terbesar pada perlawanan kalah mati Afcon sejak Mesir membelasah Algeria 4-0 pada separuh akhir edisi 2010 di Angola. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg