MANCHESTER: Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, telah dipecat.
Pihak United telah mengeluarkan kenyataan di laman web mereka pada 5 Januari, mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau.
“Dengan kedudukan Manchester United di tempat keenam dalam Liga Perdana England (EPL), kepimpinan kelab dengan berat hati telah membuat keputusan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk membuat perubahan,” ujar laman web rasmi kelab tersebut.
“Ini akan memberi pasukan ini peluang terbaik untuk menamatkan saingan EPL di kedudukan setinggi mungkin.”
Kelab tersebut turut mengumumkan ketua jurulatih pengurus pasukan bawah 18 tahun United, Darren Fletcher, akan membimbing pasukan dalam perlawanan EPL mereka menentang Burnley pada 7 Januari.
Amorim dipecat menyusuli komen-komen beliau mengenai lembaga pengarah United selepas keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada 4 Januari.
Amorim mencabar kepimpinan Manchester United supaya memberinya kebebasan penuh untuk menjalankan tugas tanpa gangguan.
Beliau berulang kali menegaskan dirinya bersedia untuk berundur apabila kontraknya tamat dalam tempoh 18 bulan, satu isyarat jelas beliau berdepan gangguan yang tidak diingini daripada anggota kanan kelab – sesuatu yang menurutnya tidak akan diterima di kelab lain.
Amorim turut menyebut nama tiga bekas pengurus terkenal Liga Perdana England (EPL) dan mencadangkan bahawa mereka tidak akan dilayan dengan cara yang sama seperti yang dialaminya kini.
“Saya datang ke sini sebagai pengurus, bukan sekadar jurulatih,” katanya.
“Setiap jabatan, pencari bakat, pengarah sukan, perlu menjalankan peranan masing-masing. Saya akan lakukan kerja saya selama 18 bulan, selepas itu kita semua akan meneruskan haluan masing-masing.”
“Saya sudah jelaskan dengan terang saya adalah pengurus pasukan ini, bukan sekadar jurulatih. Perjanjian ini akan tamat dalam 18 bulan dan kemudian semua pihak akan bergerak ke hadapan. Itu tugas saya.”
Amorim juga memberi gambaran United kini terlalu mudah terkesan dengan kritikan luar.
“Jika kelab tidak mampu menerima suara seperti Gary Neville dan segala kritikan yang datang, maka kelab ini perlu berubah,” katanya.
Neville merupakan antara beberapa bekas pemain ternama United yang lantang mengkritik kelab sejak kebelakangan ini.
Beliau menyifatkan keputusan seri di stadium sendiri menentang Wolves yang berada di tangga terbawah liga pada 30 Disember sebagai “paling teruk antara yang paling teruk”.
Rakan sepasukan Neville dalam kumpulan ‘Class of 92’, Paul Scholes, berkata Amorim “tidak memahami” United kerana kecenderungannya menggunakan sistem pertahanan tiga pemain dengan bek sayap, yang bercanggah dengan tradisi kelab menggunakan pemain sayap semula jadi.
Amorim pernah menukar susunan pasukan kepada empat pemain pertahanan ketika menewaskan Newcastle pada 27 Disember, namun kembali menggunakan susunan tiga pemain pertahanan dalam perlawanan seterusnya, termasuk menentang Leeds.
Satu laporan terbaru mendakwa ketua perekrutan United, Christopher Vivell, menggesa Amorim agar menyesuaikan sistemnya selepas pengurus Fulham, Marco Silva, menerangkan secara terperinci bagaimana beliau menentang pendekatan tersebut dalam keputusan seri 1-1 di Craven Cottage pada 24 Ogos lalu.
Amorim sebelum ini mengakui wujud perbezaan pandangan dengan kelab mengenai sasaran pemindahan pemain, dan tanda ketegangan dengan pengarah bola sepak, Jason Wilcox, semakin ketara.
Beliau juga tegaskan beliau tidak akan meletak jawatan kecuali ada yang menggantinya.
Ketika itu, Amorim masih percaya United masih menuju ke arah yang betul walaupun pasukan itu hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir dan tiga kemenangan daripada 11 perlawanan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg