AGADIR (Maghribi): Mohamed Salah mempamerkan ketajaman serangannya apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk membantu Mesir bangkit menewaskan Zimbabwe 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2025.
Walaupun koleksi piala kejuaraan Salah bersama Liverpool sudah sarat, bintang berusia 33 tahun itu masih memburu gelaran Afcon pertamanya bersama skuad Mesir.
Untuk sebahagian besar perlawanan di Agadir, kempen Mesir kelihatan seakan bermula dengan langkah salah.
Zimbabwe terlebih dahulu mengejutkan juara tujuh kali itu apabila penyerang Zimbabwe, Prince Dube menjaringkan gol pembukaan pada separuh masa pertama.
Namun, Mesir menguasai perlawanan, tetapi kegagalan memanfaatkan peluang serta aksi cemerlang penjaga gol veteran Zimbabwe, Washington Arubi, mengekalkan kelebihan pasukan Zimbabwe.
Kebuntuan akhirnya dipecahkan pada minit ke-64 apabila penyerang Manchester City, Omar Marmoush, meledak gol penyamaan.
Namun, saat perlawanan tampak berakhir dengan keputusan seri apabila Salah muncul wira apabila menyambar bola terlepas dalam kotak penalti pada masa kecederaan untuk memastikan tiga mata penuh buat Mesir.
Salah menjadi nadi serangan Mesir sejak awal permainan, termasuk membuat beberapa hantaran lintang bahaya yang gagal dimanfaatkan rakan sepasukan.
Marmoush juga beberapa kali mengancam gawang Zimbabwe sebelum akhirnya menemui sasaran.
Gol kemenangan itu menjadi penamat pahit buat Zimbabwe yang beraksi penuh disiplin, namun penyokong Mesir pastinya berharap jaringan saat akhir tersebut menjadi permulaan kepada perjalanan gemilang pasukan mereka menuju kejuaraan Afcon.
Mesir seterusnya akan berdepan Afrika Selatan di Agadir pada 26 Disember, manakala Zimbabwe akan menentang Angola di Marrakesh.
Berusia 33 tahun dan pernah tewas dalam dua final sebelum ini, Salah berharap aksinya di Maghribi kali ini dapat meningkatkan peluangnya untuk akhirnya menjulang trofi.
Beliau menjadi nadi utama kepada hampir semua gerakan terbaik Mesir pada separuh masa pertama, melayangkan dua hantaran lintang bahaya yang gagal dimanfaatkan oleh Trezeguet dan Emam Ashour.
Marmoush juga sangat aktif, menguji kecekapan Arubi dengan rembatan padu jarak jauh, memaksa penjaga gol itu menepis bola keluar, sebelum mensia-siakan satu peluang keemasan apabila sepakannya dari luar kotak penalti melambung tinggi.
Detik paling mencuri tumpuan pada separuh masa pertama berlaku pada minit ke-20 apabila Dube mempamerkan kawalan bola cemerlang dan kemudian mencipta ruang sendiri dalam kotak penalti, sebelum menjaringkan gol dengan tenang buat Zimbabwe.
Zimbabwe kemudian banyak bertahan sambil cuba menyerap asakan, ketika gandingan serangan Liga Perdana England (EPL), Marmoush dan Salah, terus mencipta peluang demi peluang untuk Mesir.
Pemain Zimbabwe dan penyokong mereka hampir mula mengimpikan rekod tanpa bolos pertama dalam sejarah Piala Negara-Negara Afrika sebelum Marmoush akhirnya menemui sasaran, melepaskan rembatan kencang menjaringkan gol penyamaan perlawanan.
Apabila suasana di stadium seolah-olah reda dengan jangkaan keputusan seri, Salah menunjukkan kepekaan dan kekuatan fizikalnya untuk berada di posisi tepat dalam kotak penalti, menahan asakan lawan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit pertama masa kecederaan.
Ia merupakan ganjaran yang pahit buat usaha luar biasa Zimbabwe, namun Salah dan penyokong Mesir tidak akan menghiraukannya jika ini menjadi permulaan kepada kisah yang berakhir dengan kejayaan Afcon di Rabat pada Januari ini. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg