Juara Masters Thailand yang baru dinobatkan, Jason Teh kembali ke Singapura pada 3 Februari dengan sambutan hangat daripada Persatuan Badminton Singapura (SBA).
Setibanya di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, Jason dan Vega Nirwandawas yang merupakan rakan latihan serta jurulatihnya, disambut oleh presiden SBA, Lawrence Leow serta pegawai badminton lain.
Pada 2 Februari, pemain berusia 24 tahun itu akhirnya menamatkan kemarau gelarannya apabila berjaya menewaskan pemain China, Wang Zhengxing (21-18, 15-21, 21-19) di Stadium Nimibutr, Bangkok untuk merangkul trofi Masters Thailand.
Pemain badminton Singapura itu telah kalah dalam tujuh final berturut-turut sebelum akhirnya bertahan untuk meraih kemenangan pertama dalam final di acara Super 300 bernilai AS$240,000 ($325,000), lapor The Strait Times.
Dalam laluan ke peringkat akhir, beliau menewaskan pemain ke-64 dunia dari Israel, Misha Zilberman, pemain kedudukan ke-159 asal Indonesia, Zaki Ubaidillah, pemain ke-35 dunia dari Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin serta Nhat Nguyen, yang merupakan pemain dalam kedudukan ke-42 dari Ireland.
Beliau akan berehat selama seminggu sebelum beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Badminton Asia pada 11 hingga 16 Februari di Qingdao, China, dan selepas itu memulakan pertandingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia di Eropah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg