CAMEROON: Presiden Persekutuan Bola Sepak Cameroon (Fecafoot), Samuel Eto’o dilarang daripada menghadiri perlawanan bola sepak kebangsaan mereka untuk selama enam bulan selepas didapati melanggar peraturan tatatertib Fifa, kata badan induk bola sepak itu pada 30 September.
Bekas penyerang Barcelona itu merupakan presiden Fecafoot sejak 2021 dan kini beliau dilarang daripada kesemua perlawanan wanita dan lelaki daripada semua kategori usia.
“Sekatan itu dikenakan berkaitan perlawanan pusingan 16 Piala Dunia Wanita Bawah 20 tahun (U-20) Fifa antara Brazil dan Cameroon yang berlangsung di Bogota, Colombia, pada 11 September 2024,” kata Fifa dalam satu kenyataan.
Butiran mengenai insiden itu tidak didedahkan oleh jawatankuasa disiplin Fifa.
Kenyataan itu menyatakan bahawa Eto’o didapati bersalah atas “tingkah laku yang menyinggung perasaan dan pelanggaran prinsip permainan adil,” serta “salah laku” yang melibatkan pegawai perlawanan.
Larangan itu berikutan denda yang dikenakan ke atas bekas pemain berusia 43 tahun itu oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) kurang tiga bulan lalu, berpunca daripada siasatan atas dakwaan pelanggaran piawaian etika dan integriti. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg