Sedia ambil risiko, Carrick catat prestasi cemerlang selepas sebulan pimpin Man Utd
Sedia ambil risiko, Carrick catat prestasi cemerlang selepas sebulan pimpin Man Utd
Semangat juang, sikap tidak mudah serah kalah bantu pasukan raih keputusan memuaskan
LONDON: Selepas tersingkir awal daripada kedua-dua piala domestik England, Manchester United kini melalui musim dengan jumlah perlawanan paling sedikit sejak musim 1914-15.
Keadaan itu menjadikan baki kempen mereka terbahagi kepada beberapa blok, sebelum berdepan tempoh tanpa perlawanan yang lebih panjang daripada kebiasaan.
Ketika ini, mereka berada dalam blok pertama dan United hanya akan kembali beraksi menentang Everton pada 23 Februari.
Bagi ketua jurulatih, Michael Carrick, 44 tahun, yang baru mengambil alih peranan tersebut pada 13 Januari, ini merupakan peluang baik untuk pasukannya “menyegarkan diri”.
Ia turut membolehkan beberapa pemain “memulihkan kecederaan kecil dan ketegangan otot” serta “berehat seketika”.
Namun, ia juga peluang untuk pasukan menilai semula prestasi mereka di padang.
Carrick tidak mengaitkan gol penyamaan jaringan Benjamin Sesko pada masa kecederaan dalam keputusan seri 1-1 menentang West Ham pada 10 Februari kepada rentetan empat kemenangan berturut-turut mereka.
Sebaliknya, beliau mengakui keputusan itu menamatkan siri kemenangan tersebut.
Namun, beliau berkata secara keseluruhan, prestasi pasukan sepanjang sebulan lalu tetap boleh dinilai sebagai baik.
“Secara keseluruhan, kami menerima keputusan seri itu, cuba bangkit semula dan menilai prestasi pasukan,” kata Carrick.
“Jika dilihat dalam tempoh lima perlawanan, mendapat hanya satu keputusan seri boleh dianggap sebagai satu pencapaian positif.”
Kemenangan awal Carrick ke atas pasukan lawan Manchester City (2-0) dan Arsenal (3-2), agak mengejutkan.
Manakala kemenangan menentang Fulham (3-2) dan Tottenham Hotspur (2-0) bukan di luar jangkaan, namun, ia bukan satu kemenangan yang mudah.
Dengan prestasi kurang memberangsangkan oleh Chelsea dan Liverpool, United kini berada di tangga keempat dalam Liga Perdana England (EPL).
Kedudukan ini memberi kelebihan berguna, namun bukanlah penentu dalam usaha mereka untuk kembali ke Liga Juara-Juara (Eropah).
Keadaan itu sukar dibayangkan selepas pemecatan bekas pengurus, Ruben Amorim, susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada 4 Januari.
“Kami tahu betapa sukarnya untuk mengekalkan prestasi dalam liga ini,” kata Carrick yang pasukannya kini belum ditewaskan dalam sembilan perlawanan liga, merangkumi tiga pengurus termasuk pengurus sementara pertama, Darren Fletcher.
“Kadangkala ia datang secara semula jadi, semuanya lancar dan semuanya berjalan dengan sempurna.
“Pasukan nampak sangat agresif dan menyerlah (di padang). Kadangkala pula, permainan agak hambar.”
Persoalannya sekarang, adakah pasukan kendalian Carrick mampu meraih kemenangan ke atas pihak lawan yang sepatutnya mereka mampu tewaskan?
Ramai menganggap West Ham termasuk dalam kategori itu, meskipun mereka sedang mencari kemenangan keempat dalam lima perlawanan liga dan berjaya mendahului Chelsea 2-0 dalam perlawanan pada 1 Februari, sebelum akhirnya tewas 2-3 dengan pasukan yang dikenali sebagai ‘The Blues’ itu.
Sebaliknya, Carrick tidak berjaya membawa pulang kemenangan dalam perlawanan dengan West Ham.
Namun, beliau berani mengambil risiko untuk mendapatkan peluang kemenangan dalam perlawanan yang kelihatan sudah tidak menyebelahi pasukannya.
Menyingkap perlawanan sebelum ini, apabila United seri 1-1 menentang West Ham di Old Trafford pada Disember 2025, Amorim hanya membuat satu pertukaran pemain penyerang, menggantikan Joshua Zirkzee, dengan Mason Mount, 12 minit sebelum perlawanan tamat.
Pertukaran terakhir yang dilakukan melibatkan seorang pemain pertahanan, Lisandro Martinez, yang digantikan dengan Luke Shaw.
Sementara itu, pemain tengah, Kobbie Mainoo, dan penyerang muda, Shea Lacey, kekal di bangku simpanan.
Berbeza dengan strategi Carrick di Stadium London, pengurus baru itu berani mengambil risiko.
Langkah itu tidak begitu menonjol apabila Sesko diturunkan ke padang untuk menggantikan Matheus Cunha yang kurang berkesan – satu masalah sama yang turut dialami semua pemain serangan United dalam perlawanan itu.
Risiko sebenar muncul apabila beliau memasukkan Zirkzee bagi menggantikan pemain pertahanan sayap, Diogo Dalot, lapan minit sebelum tamat perlawanan.
Carrick menukar susunan pasukan kepada tiga pertahanan di belakang dan menggerakkan pemain ke posisi menyerang.
Beliau sedar terdapat kemungkinan West Ham menjaringkan gol kedua.
Mujur, ia tidak berlaku, hasil dua halangan tepat pada masanya oleh seorang lagi pemain gantian, Leny Yoro, serta reaksi cemerlang penjaga gol Senne Lammens yang menghalang percubaan gol pihak lawan.
Ini bermakna, walaupun jam sudah melepasi lima minit masa kecederaan daripada tambahan tujuh minit, pasukan Carrick masih berpeluang untuk menjaringkan gol.
Jaringan penamat cemerlang Sesko memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.
“Ia sentiasa berbaloi untuk cuba dapatkan sesuatu daripada perlawanan,” kata Carrick mengenai strategi pertukaran pemainnya.
“Kita semua mahukan prestasi yang sempurna, menjadi pasukan terbaik semampunya. Kadangkala ia tidak berlaku, tetapi itu tidak bermakna kita harus berputus asa.
“Jelas sekali, kami membuat usaha terbaik, dengan tiga pertahanan di belakang dan pemain lain semuanya ke depan untuk cuba menjaringkan gol. Begitulah cara yang sepatutnya kita lakukan.”
Ini adalah sikap sama yang diamalkan mantan pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.
Beliau sentiasa bersedia untuk mengambil risiko demi mencapai keputusan yang diingini, dan itulah antara sebab beliau menikmati begitu banyak kejayaan pada akhir perlawanan sepanjang kerjayanya.
Begitu juga yang dilihat dengan corak kemenangan pasukan kendalian Carrick, dengan gol kemenangan pada minit ke-87 menentang Arsenal, gol kemenangan pada minit ke-90 menentang Fulham, dan kini gol penyamaan pada minit ke-95 menentang West Ham.
Carrick berpuas hati dengan keputusan 13 mata daripada 15 mata dalam blok perlawanan pertamanya.
Sambil beliau mengatur semula pasukan sebelum tiga perlawanan berikutnya, beliau jelas gembira dengan semangat juang dan sikap tidak mudah menyerah kalah yang membantu pasukannya meraih keputusan cemerlang itu. – Agensi berita.
“
Ia sentiasa berbaloi untuk cuba dapatkan sesuatu daripada perlawanan. Kita semua mahukan prestasi yang sempurna, menjadi pasukan terbaik semampunya. Kadangkala ia tidak berlaku, tetapi itu tidak bermakna kita harus berputus asa. Jelas sekali, kami membuat usaha terbaik, dengan tiga pertahanan di belakang dan pemain lain semuanya ke depan untuk cuba menjaringkan gol. Begitulah cara yang sepatutnya kita lakukan.
