Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guardiola: Zaman gemilang City telah berakhir

Feb 20, 2025 | 2:37 PM
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata Real Madrid layak menang selepas pasukannya kalah 1-3 dalam perlawanan kedua pusingan kalah mati  Liga Juara-Juara pada 19 Februari, sekali gus tersingkir daripada pertandingan itu dengan agregat 6-3.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata Real Madrid layak menang selepas pasukannya kalah 1-3 dalam perlawanan kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara pada 19 Februari, sekali gus tersingkir daripada pertandingan itu dengan agregat 6-3. - Foto AFP

MADRID: Pengurus Pep Guardiola berkata zaman kegemilangan Manchester City sudah berakhir apabila juara Liga Perdana England (EPL) itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara pada 19 Februari, selepas mereka tewas dengan agregat 6-3 kepada Real Madrid pada pusingan kalah mati.

Hat-trick Kylian Mbappe membawa juara bertahan Liga Juara-Juara itu ke pusingan 16 terakhir dan membuat pasukan Guardiola terus berduka dalam musim yang suram, dengan mereka ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu EPL di tempat keempat.

“Kami pernah menjadi luar biasa pada masa lalu, tetapi tidak lagi.

“Kami akan ada masa untuk memikirkan (tentang membangunkan semula pasukan kami). Mudah untuk membuat kesimpulan seperti itu sekarang,” kata Guardiola dalam sidang media.

“Kekalahan di tempat sendiri sukar diterima, dan yang ini lebih sukar lagi. Tetapi Real Madrid memang sebuah pasukan yang sangat handal dan kami sedar akan hal itu. Dengan masa, kami semua akan menerima keadaan seperti seadanya.

“Tetapi sekarang kami masih ada 14 perlawanan lagi hingga akhir musim, dan kami akan menghadapinya seperti sepatutnya. Mari kita fokus pada Liga Perdana England dan Piala FA.

“Kami akan cuba kembali ke pertandingan ini musim depan,” tambahnya selepas kekalahan 3-1 di Madrid, yang menyusuli kekalahan 3-2 di tempat sendiri pada perlawanan pertama.

Guardiola berkata pasukannya terasa kehilangan penyerang Erling Haaland, yang mengalami kecederaan lutut pada hujung minggu lalu.

“Erling cuba menjalani latihan, tetapi beliau masih mengalami kesakitan akibat perlanggaran semasa menentang Newcastle. Beliau berasa sakit ketika berjalan dan ketika menaiki atau menuruni tangga,” kata Guardiola.

“Pagi ini, beliau beritahu saya bahawa beliau belum bersedia, bahawa beliau tidak sihat. Rancangannya ialah untuk mencuba, berusaha mendapatkan keputusan lebih baik daripada di Manchester, tetapi dalam keadaannya, itu bukan pilihan terbaik.”

Pengurus City itu memuji pasukan lawan mereka.

“Kami tidak mampu menghentikan Mbappe, dan pasukan yang lebih baik menang. Madrid memang layak. Kami beraksi dengan baik dalam musim-musim sebelum ini, tetapi tahun ini kami tidak bermula dengan baik. Kami perlu belajar,” katanya.

“Fizikal sangat penting di Bernabeu, dan, di samping itu, sekarang mereka lebih baik kerana mereka berlari lebih banyak. Mereka mengenakan lebih banyak tekanan dan sangat dinamik. Tidak ada apa lagi yang boleh dikatakan, mereka memang layak menang. Terima sahaja, dan itu sahaja.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg