Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA TCHOUK

Sekeluarga jatuh cinta dengan sukan bola tchouk

Abang, pemain pasukan nasional, cemerlang; adik-adik juga terdorong hingga jaya
Mar 27, 2023 | 05:30 AM



BERMULA dengan seorang, kini sekeluarga 'kemaruk' bola tchouk.



Pemain pasukan lelaki nasional bola tchouk, Shah Rykal Abdul Wazid, 24 tahun, orang pertama dalam keluarganya diperkenalkan kepada sukan itu.



Beliau mula berjinak-jinak dalam bola tchouk semasa di Sekolah Rendah New Town atas ajakan gurunya.



Seawal usia 11 tahun, bakat Rykal menyerlah hingga terpilih mewakili Singapura ke Kejohanan Belia Dunia Bola Tchouk 2011 yang dianjurkan di Austria.



Beliau dan rakan-rakannya menduduki tempat ketiga di kejohanan itu.



Pada usia 16 tahun, Rykal berpeluang beraksi di Kejohanan Dunia Bola Tchouk 2015 di Taiwan , di mana Singapura muncul naib juara di belakang negara tuan rumah, yang merupakan pasukan gergasi sukan ini.



Lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu kemudian menjadi sebahagian pasukan Singapura yang memenangi pingat emas di Kejohanan Bola Tchouk Belia Dunia 2015 dan Kejohanan Bola Tchouk Asia Tenggara 2019.



Pencapaian Rykal yang mengagumkan itu menjadi inspirasi kepada adik-adiknya hingga mereka turut terdorong bergiat dalam sukan itu.



Tiga daripada empat adik Rykal mengikuti jejak langkahnya.



Ning Rynisari Abdul Wazid, 23 tahun, yang sebelumnya menceburi tarian Melayu bertukar ke bola tchouk ketika di menengah satu, manakala Fiqqo Anaqi Abdul Wazid, 19 tahun, memilih sukan itu sebagai kegiatan kokurikulumnya (CCA) di sekolah rendah.



Kedua-duanya kini pemain pasukan nasional bola tchouk Singapura.



Adik bongsu mereka, Dang Nur Rasyidah Daeng Masri, 12 tahun, bermain bola tchouk di sekolah.



Rykal berkata pelibatan beliau dan dua adiknya dalam pasukan nasional menunjukkan minat mendalam mereka pada bola tchouk.



"Tidak ramai orang mempunyai adik-beradik bermain sukan sama dan bersama-sama mewakili Singapura pada peringkat antarabangsa, jadi saya rasa sangat bertuah.



"Ia juga mengeratkan hubungan kami sebagai sebuah keluarga," ujar anak sulung daripada lima adikberadik itu.



Kelebihan itu bermakna tiga adik-beradik itu dapat bergantung pada satu sama lain untuk menempuh segala cabaran dalam sukan yang mereka minati.



"Kami semua mempunyai perwatakan berbeza dan kami belajar daripada kekuatan dan kelemahan satu sama lain.



"Mereka dapat lihat kelemahan saya dalam permainan yang saya tidak dapat lihat, dan dari situ, saya dapat memperbaiki diri," ujar Ning, seorang lulusan pelajar Politeknik Temasek.



"Mempunyai adik-beradik bermain dalam sukan sama bagus sebab kami dapat memahami cabaran satu sama lain," kata beliau, yang meraih pingat emas dalam Kejohanan Belia Asia Bola Tchouk 2018.



Fiqqo pula berseloroh bahawa ada kalanya beliau "berasa jemu" kerap berkongsi ruang sama di rumah dan gelanggang bola tchouk bersama adik-beradiknya.



"Apabila kami ke luar negara untuk kejohanan, saya selalu berharap abang saya bukan rakan sebilik saya. Di rumah, kami tidur di katil bertingkat dalam bilik yang sama," gurau pelajar ITE itu.



"Tetapi, saya suka kekariban ini. Malah, saya sekarang bermain dalam kategori terbuka yang sama dengan abang saya. Tahap permainannya lebih tinggi dan saya banyak belajar daripadanya."



Dang Nur Rasyidah, murid Sekolah Rendah Fern Green berusia 12 tahun, pula berkata:



"Setiap kali abang-abang dan kakak saya ada pertandingan di Malaysia, saya akan ikut dan tengok mereka bertanding.



"Saya melihat sukan ini 'cool' dan menyaksikan mereka mewakili Singapura memberi saya inspirasi. Jadi, saya mahu ikut jejak langkah mereka."



Ibu mereka, Cik Dewi Sharaini Ahmad, 45 tahun, penyokong kuat anak-anaknya.



"Walaupun sukan ini kurang mendapat pendanaan dan kami ibu bapa perlu bantu menampung kos latihan dan pertandingan mereka, saya tetap menggalak anak-anak saya bermain bola tchouk dan menyokong cita-cita mereka.



"Malah, saya juga mengeluarkan wang sendiri untuk pergi menyokong mereka bertanding di luar negara. Tetapi tidak mengapa sebab saya melihat sukan ini membawa nilai baik dalam diri anak-anak saya," kata pegawai eksekutif kanan di Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) itu.



Pasukan bola tchouk nasional Singapura antara yang terbaik di dunia.



Pasukan wanita nasional baru-baru ini merampas ranking nombor satu dunia daripada Taiwan, manakala pasukan lelaki menghuni tangga ketiga dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >