Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelepas panggilan skuad Singa pertama, Haziq Kamarudin buru kejayaan bersama
Penantian sedekad dalam skuad belia buat pemain sayap FC Jurong sedia lakukan yang terbaik
Selepas panggilan skuad Singa pertama, Haziq Kamarudin buru kejayaan bersama
Selama bertahun-tahun, Haziq Kamarudin hanya mampu memerhati sedang beberapa pemain yang membesar bersamanya dalam sistem bola sepak belia Singapura melangkah ke skuad kebangsaan senior.
Sesetengah daripada mereka menjadi pemain tetap.
Ada juga yang meraih penampilan pertama mereka sementara pemain sayap FC Jurong itu terus membina namanya dalam pertandingan dalam negeri sambil menanti peluangnya sendiri.
Kini, pada usia 25 tahun, penantian itu berakhir.
Haziq menerima panggilan pertama ke skuad senior Singapura bagi saingan Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengejutkan tetapi juga kemuncak kepada perjalanannya yang panjang selama lebih sedekad.
“Saya sebenarnya sudah lama menunggu kerana saya memang sentiasa mahu berada di sini. Jadi, apabila akhirnya dapat berada di sini, ia agak sukar dipercayai.
“Musim-musim sebelum ini saya hanya bekerja keras ke arah matlamat ini, dengan banyak pengalaman turun naik sepanjang perjalanan. Justeru, saya gembira akhirnya dapat berada di sini,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).
Beliau pernah mewakili Singapura di peringkat belia, bermula daripada skuad Bawah 18 dan Bawah 19 Tahun sebelum menganggotai pasukan Bawah 23 Tahun.
Antara pemain yang meningkat naik bersamanya ialah Harhys Stewart, Nur Adam Abdullah, dan Farhan Zulkifli.
Namun, ketika sesetengah rakan sepasukannya itu akhirnya membuat penampilan sulung di peringkat senior, peluang untuk Haziq sendiri tetap sukar dicapai.
Perkara itulah yang menjadikan panggilan ke skuad Singa akhirnya lebih bermakna buat dirinya.
“Orang pertama yang saya beritahu ialah teman wanita saya dan ibu bapa saya.
“Ibu saya ketika itu tidak berada di Singapura, jadi kami tidak dapat meraikannya dengan baik,” kata pemain sayap itu.
Haziq mengakui beliau tidak melalui perjalanan ini seorang diri.
Ibu bapa dan teman wanitanya menjadi antara penyokong utama sepanjang kerjayanya, termasuk hadir menyaksikan dan memberikan pandangan selepas setiap perlawanan.
“Kededua ibu dan bapa sentiasa datang menonton perlawanan saya dan setiap perlawanan, pasti ada seseorang yang berada di sana untuk menyokong saya.
“Kadang-kadang selepas perlawanan, mereka akan memberikan nasihat tentang apa yang boleh saya lakukan dengan lebih baik berdasarkan perspektif mereka,” katanya.
Perjalanan Haziq ke bola sepak senior juga bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata.
Beliau mula membina namanya di Liga Perdana Singapura (SPL) bersama Young Lions pada 2023 sebelum meneruskan kerjayanya bersama Albirex Niigata Singapura, yang kini dikenali sebagai FC Jurong pada 2024 hingga sekarang.
Ketekalan yang Haziq pamerkan di SPL turut menarik perhatian ketua jurulatih Singapura, Gavin Lee, yang memuji kesungguhan Haziq untuk memberikan yang terbaik dalam setiap latihan dan perlawanan.
Bagi Haziq, pujian daripada jurulatih itu cukup bermakna kerana memberikan segala-galanya merupakan sebahagian daripada prinsip dirinya sebagai pemain.
“Ia sangat bermakna kerana beliau menyedari perkara-perkara itu.
“Ia memang sebahagian daripada diri saya sebagai pemain dan sebagai individu, untuk sentiasa memberikan segala-galanya untuk apa sahaja yang saya mahu,” cerita Haziq.
Kini, selepas bertahun-tahun menanti, Haziq akhirnya berada dalam bilik persalinan bersama beberapa pemain sepasukan belianya dahulu.
Beliau mengakui rakannya banyak membantu untuk memastikan proses menyesuaikan diri dengan skuad senior berjalan lancar.
“Sebenarnya semua rakan daripada kumpulan saya. Harhys (Stewart), (Nur) Adam (Abdullah), Farhan (Zulkifli), malah Raoul (Suhaimi) juga. Mereka membantu saya menyesuaikan diri,” tambah beliau.
Haziq turut berkongsi bahawa Harhys sering mengikuti perkembangannya.
“Harhys mengucapkan tahniah kepada saya dan beliau juga kadangkala menonton perlawanan saya.
“Beliau akan memuji saya apabila saya menjaringkan gol atau membuat bantuan jaringan, atau apabila saya bermain dengan baik,” katanya.
Haziq turut berkata peluang untuk berkongsi padang dengan pemain lebih berpengalaman seperti Song Ui-young, Safuwan Baharudin dan kapten Singa, Hariss Harun sebagai satu penghormatan.
Untuk pengalaman antarabangsa pertamanya, Haziq tidak meletakkan sasaran yang terlalu rumit.
“Matlamat saya hanya untuk memberikan yang terbaik untuk pasukan dan berharap dapat memenangi kejohanan ini bersama mereka,” ujarnya.
Namun, bagi Haziq, beliau tekad menjadikan panggilan pertama ini sebagai permulaan kebangkitannya.
“Saya sedang menikmati detik ini dan seperti semua orang, sudah tentu saya mahu mendapat panggilan lagi.
“Saya hanya bekerja dan berusaha ke arah itu setiap hari, memberikan yang terbaik dalam latihan dan berharap saya akan mendapat peluang sekali lagi,” katanya.
Terdapat satu lagi sasaran yang sudah berada dalam fikirannya – Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.
“Saya juga inginkan peluang untuk berada dalam Piala Asia pada Januari nanti,” tambahnya.
“
“Saya sedang menikmati detik ini dan seperti semua orang, sudah tentu saya mahu mendapat panggilan lagi. Saya hanya bekerja dan berusaha ke arah itu setiap hari, memberikan yang terbaik dalam latihan dan berharap saya akan mendapat peluang sekali lagi.”