BG Tampines Rovers dikejutkan pada awal perlawanan menyambut seteru dari Thailand, BG Pathum United, yang bersemangat memburu kemenangan pertama menentang pasukan Singapura itu pada 2025.
Luar daripada kebiasaan, pasukan tuan rumah kelihatan tidak teratur buat sebahagian besar separuh masa pertama.
Tampines bergelut untuk menguasai bola dan jarang menghasilkan serangan bermakna.
Namun jaringan penting oleh Hide Higashikawa sebelum wisel waktu rehat ditiup, menyalakan api semangat Tampines, dan momentum perlawanan berubah secara drastik.
Dalam separuh masa kedua, Tampines bangkit mengharungi perlawanan sengit untuk menewaskan BG Pathum 3-2 dalam aksi Kumpulan ‘A’ Kejohanan Kelab Asean (ACC), atau Piala Shopee, pada 3 Disember.
Persembahan itu sekali lagi menonjolkan sebab utama Tampines mampu mengekalkan prestasi mantap dalam semua pertandingan sejauh musim ini.
Ketua jurulatih Tampines, Noh Rahman, menonjolkan keupayaan anak didiknya untuk segera kembali tenang ketika ketinggalan, serta semangat juang mereka untuk bangkit pada saat yang diperlukan.
Bercakap kepada media selepas perlawanan dua kelab tersebut di Stadium Jalan Besar, Noh berkata: “Saya sedar pemain kami kurang bermotivasi pada permulaan perlawanan, jadi saya terpaksa menegur perkara itu pada waktu rehat.”
Walaupun Noh puas hati dengan kemenangan itu, beliau menekankan kepentingan untuk memulakan setiap perlawanan dengan tumpuan 100 peratus.
Beliau turut mengulas kembali perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Kaya FC dari Filipina, dengan Tampines hampir melepaskan kelebihannya akibat hilang tumpuan buat seketika.
Kekurangan itu turut menyerlah dalam 30 minit pertama perlawanan menentang BG Pathum.
Tomoyuki Doi, pemain penyerang berpengalaman yang menjaringkan 44 gol untuk Geylang International musim lalu, membuka tirai gol untuk BG Pathum pada minit ketujuh.
Kemudian, Raniel Santana menggandakan kelebihan BG Pathum dengan menanduk bola ke dalam gol pada minit ke-27.
Namun, penyerang berbisa Tampines, Higashikawa, muncul wira sekali lagi dengan menjaringkan tiga gol untuk membantu menggerakkan kebangkitan hebat.
Beliau berjaya meraikan hatrik pertamanya di Tampines, dan sudah menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan serantau sejauh ini.
Persembahan hebatnya itu turut dipuji oleh ketua jurulatih BG Pathum, Masatada Ishii.
Ishii berkata: “Tampines sangat tajam apabila mengancam gawang kami, dan mereka dapat memanfaatkan setiap serangan dengan lebih berkesan.”
Beliau menambah bahawa pasukannya perlu memperbaiki prestasi mereka dari aspek itu, sebelum pertemuan mereka yang seterusnya dalam pertandingan ACL2 pada 11 Disember.
Walaupun tidak menjaringkan gol, Trent Buhagiar mencatatkan dua assist (sepakan bantuan) penting untuk membantu Higashikawa mendapatkan hatriknya.
Apabila BG Pathum menggandakan tekanan demi mencari gol penyamaan, benteng Tampines tetap tenang dan mengawal ancaman lawan tanpa cemas.
Kejayaan menewaskan lawan berpengalaman seperti BG Pathum tiga kali berturut-turut, ditambah pula kemenangan ke atas gergasi Korea Selatan, Pohang Steelers, pada Oktober 2025, membuktikan ia bukan sekadar nasib.
Ia memerlukan kematangan, keyakinan dan keberanian – ciri-ciri yang sekali lagi dipamerkan oleh Tampines.
Ketabahan Tampines sekali lagi akan diuji dengan timbulnya masalah kecederaan beberapa pemain utama.
Pemain tengah, Shah Shahiran, terpaksa dibawa keluar dengan pengusung selepas terkena hentakan pada kakinya.
Noh akur situasi itu lebih mencabar dek jadual perlawanan mereka pada Disember padat.
Dari segi mental, kemenangan dalam Piala Shopee mampu menjadi dorongan bagi mengekalkan prestasi cemerlang.
Setelah mengatasi BG Pathum, Tampines kini mendahului Kumpulan ‘A’ dalam Piala Shopee dengan enam mata.
Tampines akan bertandang ke kubu BG Pathum pada 11 Disember untuk perlawanan terakhir ACL2.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg