Tiga jaringan penyerang BG Tampines Rovers, Hide Higashikawa, menjadi penyelamat apabila pasukan itu berjaya menundukkan BG Pathum United 3-2 dalam Piala Shoppee pada 3 Disember.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar yang baru dibuka semula, Tampines ketinggalan 1-2 dalam babak separuh masa pertama.
Keinginan BG Pathum untuk mengubah rekod kalah mereka menentang Tampines jelas dilihat sejak permulaan perlawanan.
Namun, Tampines menemui rentak perlawanan pada separuh masa kedua dan bangkit untuk mengekalkan rekod kemenangan mereka menentang BG Pathum.
Pertahanan rapuh pasukan tuan rumah memberi ruang kepada penyerang BG Pathum, Tomoyuki Doi, untuk menjaringkan gol pertama pasukan pelawat pada minit ketujuh.
Tampines berpeluang menyamakan kedudukan, namun tendangan penalti oleh Shah Shahiran pada minit ke-11 berjaya ditepis keluar penjaga gawang BG Pathum, Saranon Anuin.
Gawang Tampines sekali lagi bolos pada minit ke-27, selepas penyerang BG Pathum, Raniel Santana, berjaya menanduk bola masuk ke gawang lawan bagi gol kedua, hasil umpanan pemain sepasukannya, Gakuto Notsuda.
Tampines kelihatan semakin gelisah untuk cuba menemui rentak perlawanan dan merapatkan jurang.
Namun, dalam kegelisahan itu, Irfan Najeeb dilayangkan kad kuning akibat kekasaran sekali gus memberikan BG Pathum satu lagi peluang menggandakan kelebihan mereka.
Tendangan percuma oleh Doi hampir menghasilkan gol ketiga bagi BG Pathum, namun percubaannya terkena palang gol.
Pemain sayap Tampines, Glenn Kweh, hampir merapatkan jurang pada minit ke-40 namun percubaanya dibatalkan kerana ofsaid.
Tampines akhirnya berjaya merapatkan jurang seminit sebelum wisel separuh masa ditiup.
Umpanan cerdik pemain Tampines, Trent Buhagiar, berjaya memperdaya penjaga gol BG Pathum, lalu membolehkan Hide Higashikawa menjaringkan gol mudah ke gawang yang terbuka.
Separuh masa pertama berakhir dengan BG Pathum mendahului 2-1.
Tampines tampil lebih tenang pada separuh masa kedua, dengan lebih banyak penguasaan bola.
Pada minit ke-52, hantaran silang bek kiri Tampines, Takeshi Yoshimoto, berjaya menembusi benteng BG Pathum, namun ditangkap oleh penjaga gawang
Seminit kemudian, umpanan ke arah Hide turut melepasi pertahanan lawan, tetapi percubaannya dihalang sekali lagi oleh Saranon.
Usaha Tampines akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-61.
Hide terus menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan apabila beliau menyamakan kedudukan 2-2, hasil rembatan jarak dekat yang masuk ke gawang lawan.
Namun, ketua jurulatih Tampines, Noh Rahman, terpaksa menggantikan Shah Shahiran akibat kecederaan kepada kakinya.
Ketegangan meningkat selepas gol penyamaan oleh Tampines, dan kedua-dua pasukan saling mengancam gawang lawan dalam usaha mencari kelebihan.
Namun, Hide menyelamatkan Tampines dengan menjaringkan gol ketiganya pada minit ke-78.
Gerakan lincah oleh Hide setelah mengawal umpanan Trent mengelirukan benteng BG Pathum, dan rembatan hebatnya mengatasi Saranon buat kali ketiga.
Tampines semakin yakin dan terus mengancam benteng BG Pathum untuk melenyapkan harapan lawan.
Namun, BG Pathum tidak berputus asa mencari gol penyamaan. Percubaan pemain tengah BG Pathum, Thiraphat Puethong, dari luar kotak penalti diselamatkan oleh Syazwan dengan tenang.
Wisel terakhir ditiup, dan Tampines berjaya menewaskan BG Pathum 3-2.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg