Kesetiaan dan semangat peminat Singapura yang selalu mengikut pasukan Singa ke gelanggang lawan tidak pernah pudar, terutamanya bagi Faizal Zain, yang kekal setia mengembara bersama Singa sejak zaman LionsXII.

Kini, bertahun-tahun selepas zaman tersebut berakhir, Jakarta menjadi destinasi terbarunya apabila beliau sanggup mengembara ke Indonesia untuk menyaksikan Singapura memulakan kempen Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2026 menentang tuan rumah, Indonesia, di Stadium Gelora Bung Karno pada 25 September.

“Saya memang minati bola sepak dan memang selalu sokong pasukan negara dari dulu, sejak zaman LionsXII dan sebelum itu lagi,” kata pegawai perkhidmatan penumpang berusia 49 tahun itu.

Bagi Faizal, mengikuti pasukan Singa ke luar negara bukanlah sesuatu yang baru.

Beliau juga hadir sewaktu Singa menewaskan Thailand 2-1 di Bangkok dalam saingan Piala Asean Hyundai sebulan lalu pada 18 Ogos.

Kini beliau tidak sabar untuk melihat pasukan negara mencabar kemampuan mereka sekali lagi.

Antara pengalaman yang paling diingatinya ialah ketika skuad LionsXII pimpinan Fandi Ahmad beraksi di Kelantan dengan penyokong Singapura ditempatkan berhampiran kelompok penyokong tegar tuan rumah.

Bagi Faizal, pengalaman sebagai penyokong pasukan pelawat memberikan kenangan tersendiri.

Namun, perjalanan ke Jakarta kali ini hadir dengan suasana berbeza.

Menurutnya, Indonesia mempunyai kelompok penyokong yang besar dan jangkaan terhadap pasukan tuan rumah juga tinggi, manakala beliau melihat Singapura memasuki perlawanan sebagai pasukan underdog (bukan favorit).

Baginya, keadaan itu boleh menjadi satu kelebihan.

“Tiada siapa bercakap mengenai Singapura. Saya rasa itu perkara yang baik kerana kita sedang bersedia secara senyap-senyap.

“Kita bermain permainan kita sendiri. Dari sudut penyokong, kita juga rasa seperti underdog... tiada siapa beri kita peluang. Jadi itu sebenarnya satu pemikiran yang baik untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya.

Faizal berkata cabaran untuk hadir ke Jakarta, termasuk menguruskan keperluan perjalanan dan tiket, tidak pula mengurangkan semangatnya.

Sebaliknya, ia membuatkan beliau lebih teruja untuk berada di stadium dan menyaksikan Singa beraksi.

Pemain sayap Singa, Farhan Zulkifli (dua dari kiri), menarik perhatian penyokong Singa, Faizal Zain, dengan prestasi baiknya di dalam padang.
Pemain sayap Singa, Farhan Zulkifli (dua dari kiri), menarik perhatian penyokong Singa, Faizal Zain, dengan prestasi baiknya di dalam padang. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Di sebalik sokongan dari luar padang, Faizal turut mengikuti perkembangan pemain muda Singapura dan secara khusus menaruh harapan kepada pemain sayap Singa, Farhan Zulkifli.

Beliau tertarik dengan persembahan Farhan ketika diberi peluang dalam kesebelasan utama ketika Singapura beraksi di Bangkok, terutama peningkatan keyakinan pemain itu sepanjang perlawanan.

“Sebagai pemain muda, sangat baik untuk jurulatih (skuad nasional) Gavin (Lee) memberinya peluang. Kemudian beliau dapat beraksi dengan baik dalam perlawanan itu.

“Itu antara perkara yang saya nantikan untuk perlawanan ini juga, kesinambungan pemain baharu atau new blood,” katanya.

Keyakinan Faizal terhadap Singapura juga cukup tinggi sehingga beliau meramalkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia, dengan Ilhan Fandi, Farhan Zulkifli dan Safuwan Baharudin sebagai pilihan penjaringnya.

Lebih daripada sekadar perlawanan pembukaan, beliau percaya Singa mampu menjadi pasukan kejutan dalam kejohanan itu.

“Saya ada perasaan yang baik mengenai perlawanan ini dan seluruh kejohanan. Saya percaya kita akan menjadi pakej kejutan,” ujarnya.

Dan selepas menempuh perjalanan dari Singapura ke Jakarta, mesej Faizal kepada pasukan Singa cukup mudah.

“Terus bekerja keras. Kami sebagai penyokong berada di sini untuk kamu semua. Kami mahu lihat kamu terus bekerja keras dan bermain dengan sebaik mungkin, dalam apa jua keadaan,” ujarnya.