Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

COVID-19 & SUKAN

Semua sukan berkumpulan, kegiatan fizikal perlu dihentikan: SportSG

Apr 07, 2020 | 05:30 AM



SEMUA sukan dan kegiatan fizikal berkumpulan - tanpa mengira jenis, saiz atau lokasi - perlu dihentikan kecuali bagi sukan yang melibatkan mereka yang tinggal di bawah bumbung yang sama.



Ini termasuk sesi latihan peribadi yang berlangsung di dalam atau di luar rumah serta permainan sosial.



Demikian menurut agensi sukan kebangsaan Sport Singapore (SportSG) dalam satu nasihat kelmarin.



Garis panduan baru itu meliputi tempoh bermula sejak semalam hingga 4 Mei.



"Pencampuran antara isi rumah tidak dibenarkan, dan ini bermakna jurulatih privet tidak boleh hadir secara fizikal dengan pelanggan untuk menjalankan program individu atau kumpulan di rumah atau di luar, kecuali melalui saluran dalam talian," katanya.



Ini termasuk sesi bimbingan peribadi secara individu, "serta aktiviti fizikal kumpulan yang dikendalikan di luar (seperti latihan gaya 'boot-camp', latihan litar, larian atau berbasikal kumpulan, yoga berkumpulan, serta perhimpunan yang melibatkan latihan, senaman dan aktiviti fizikal pelbagai jenis)" .



Langkah itu diperkenalkan menyusuli langkah memastikan jarak selamat diamalkan di serata negara seperti yang diumumkan pemerintah minggu lalu.



Tempat-tempat sukan yang akan ditutup sepanjang tempoh ini termasuk kemudahan sukan dan rekreasi awam, seperti Pusat Sukan ActiveSG, studio, gimnasium, dewan sukan, kompleks berenang, Makmal Kesihatan Aktif, serta The Float dan The Rink@JCube.



Dalam makluman yang dikeluarkan itu, SportSG turut menjelaskan bahawa arahan untuk menutup kemudahan sukan dan rekreasi termasuk "yang dikendalikan oleh apartmen dan kondominium privet, kelab (golf) eksklusif, perniagaan dan persatuan sukan kebangsaan".



Semua kemudahan sukan yang dikongsi bersama di sekolah di bawah Skim Dwipenggunaan - yang popular di kalangan pemain bola sepak sosial yang menggunakannya untuk perlawanan hujung minggu - turut berada dalam senarai tersebut.



Walaupun ini menjadi satu tamparan kepada pemain bola sepak sosial seperti Shiam Jerome Ratnagopal, yang bermain setiap hujung minggu, pemain berusia 30 tahun itu akur bahawa langkah-langkah itu adalah untuk kebaikan semua.



Beliau yang dihubungi akhbar The Straits Times (ST) berkata: "Tentunya sebagai pemain rekreasi, ia berita yang menyedihkan, tetapi saya fikir ia adalah lebih penting untuk cuba untuk mengekang penularan virus ini.



"Kami berharap ia akan berakhir tidak lama lagi. Untuk memastikan langkah-langkah berjaya, setiap orang perlu memainkan peranan mereka."



Sementara itu, kemudahan sukan yang masih dibuka sepanjang tempoh ini ialah 15 stadium terbuka ActiveSG, termasuk Bedok, Home Athletics di Kallang, Jurong West dan Yishun.



Bagaimanapun, "bimbingan, latihan dan aktiviti kumpulan dilarang di dalam kemudahan ini" dan "perhimpunan dalam kumpulan dalam ruang ini mesti dielakkan" menurut SportSG lagi.



Mereka juga telah mengeluarkan garis panduan berikut untuk melakukan aktiviti di luar yang termasuk latihan bersendirian atau hanya dengan ahli keluarga tersendiri.



Ketika bersenam di kawasan kejiranan, orang ramai dinasihatkan untuk melakukannya di tempat yang tidak sesak dengan langkah jarak selamat perlu dipatuhi pada setiap masa.



Mereka juga perlu kembali ke rumah dengan segera setelah selesai bersenam dan tidak digalak untuk berlengah-lengah.



Untuk senaman yang dilakukan di dalam rumah, SportSG menasihatkan orang ramai untuk melungsuri laman dalam talian yang menawarkan akses kepada kelas maya dan tip mengenai cara untuk kekal aktif di rumah, seperti halaman Facebook ActiveSG.



Penyewa gerai di Pusat Sukan ActiveSG yang menawarkan perkhidmatan penting seperti cawangan makanan dan minuman (F&B) dan farmasi akan terus dibuka kepada orang ramai, dengan kedai-kedai F&B hanya menawarkan khidmat tempahan bungkus sahaja.



Mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghantarkan e-mel kepada SPORT_QSM@sport.gov.sg atau hubungi 1800-344-1177 dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >