Topik diikuti
Pergi ke BHkuSentuhan berbisa Isak bantu Liverpool benam Brighton 2-0
Sentuhan berbisa Isak bantu Liverpool benam Brighton 2-0
LIVERPOOL: Alexander Isak meneruskan sentuhan berbisanya ketika membantu Liverpool menundukkan Brighton 2-0 pada 25 Oktober, sekali gus mengukir senyuman buat pengurus The Reds, Andoni Iraola, yang menikmati kemenangan sulung Liga Perdana England (EPL) beliau di Anfield.
Skuad kendalian Iraola menjaringkan dua gol dalam tempoh singkat pada separuh masa pertama, bermula dengan gol sendiri Pascal Gross pada minit ke-17 sebelum jaringan Isak menyusul empat minit kemudian.
“(Saya) amat gembira hari ini, amat berpuas hati secara keseluruhan dengan kemenangan ini... kami perlukan permulaan yang mantap, bermain secara agresif, merampas bola, memenangi perebutan, melancarkan serangan balas berbisa dan saya rasa kami berjaya melakukannya,” kata Iraola kepada media.
Isak kini telah menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan liga musim ini, termasuk tiga gol dalam empat penampilan terakhirnya.
Selepas melalui musim sulung penuh cabaran menyusuli perpindahan dari Newcastle, penyerang Sweden itu kini mula membuktikan perpindahnnya yang bernilai £125 juta ($213 juta) itu berbaloi.
Ia merupakan suntikan kejayaan liga utama yang amat dinanti-nantikan di Anfield buat Iraola, yang sebelum ini gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga aksi liga pertamanya di padang sendiri sejak berpindah dari Bournemouth pada Jun 2026.
Pengurus asal Sepanyol itu – yang sebelum ini pernah mencatat kemenangan Liga Juara-Juara dan Piala Liga di Anfield – kini membimbing Liverpool meraih empat kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan sejak kekalahan memalukan 3-0 di padang sendiri kepada Manchester City pada 11 Oktober.
Liverpool kini menduduki tangga keempat dengan 16 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang Brighton di tempat ketiga selepas memberi kekalahan kedua pada liga musim ini kepada skuad Seagulls berkenaan.
The Reds kini ketinggalan enam mata di belakang peneraju liga, Manchester City, tatkala mereka mula mengintai peluang dalam perebutan takhta kejuaraan.
Liverpool sebelum ini gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima aksi liga di padang sendiri sejak musim lalu, dengan rekod empat seri dan satu kekalahan.
Namun, aksi tenang tuan rumah berjaya mematahkan Brighton di samping menyekat kehebatan skuad lawan itu yang hadir selaku pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam EPL setakat ini.
Brighton kelihatan menguasai perlawanan pada permulaan apabila hantaran Diego Gomez memperdayakan kapten Liverpool, Virgil van Dijk, sebelum Gross melorongkan bola kepada Yasin Ayari, namun percubaannya tersasar meskipun pintu gol sudah terbentang luas.
Liverpool memanfaatkan sepenuhnya kelekaan itu untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-17.
Gol pertama itu hadir menerusi rembatan Florian Wirtz hasil hantaran Ronald Araujo, yang terbias pada Gross sebelum menerjah masuk ke gawang.
Cody Gakpo hampir menggandakan kedudukan buat Liverpool beberapa minit kemudian menerusi rembatan deras yang berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen.
Usaha berterusan Liverpool akhirnya membuahkan hasil apabila Isak menyudahkan jaringan kedua perlawanan pada minit ke-21.
Iraola memilih meletakkan Bradley Barcola dan Gakpo di bahagian sayap, meskipun Rio Ngumoha mempamerkan aksi memukau ketika membantu pasukan menewaskan Villarreal 4-3 dalam aksi Liga Juara-Juara pada 21 Oktober.
Barcola tidak mensia-siakan kepercayaan itu apabila beliau memecut mengejar hantaran jauh penjaga gol The Reds, Alisson Becker, sebelum membuat hantaran lintang kemas yang disempurnakan Isak.
Liverpool terus mengasak dan rembatan deras Araujo hampir menghasilkan gol, namun sempat ditepis kemas Verbruggen sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan.
Liverpool terus mempertahankan kelebihan gol pada separuh masa kedua meskipun terpaksa beraksi tanpa Wirtz akibat kecederaan.
“Kami memperoleh banyak peluang pada separuh masa pertama apabila berjaya merampas bola dan melancarkan serangan balas. Kami sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol, tetapi Bradley beraksi sangat cemerlang, dan saya hanya berada di posisi yang tepat untuk menjaringkannya,” kata Isak kepada media. – AFP, Reuters.