Topik diikuti
Pergi ke BHkuNgumoha semarak semangat Liverpool untuk bangkit atasi Villarreal dalam pertarungan penuh dramatik
Ngumoha semarak semangat Liverpool untuk bangkit atasi Villarreal dalam pertarungan penuh dramatik
Kejayaan itu letakkan namanya sebagai pemain termuda Liverpool catat bantuan gol dalam sejarah Liga Juara-Juara pada usia 18 tahun
Ngumoha semarak semangat Liverpool untuk bangkit atasi Villarreal dalam pertarungan penuh dramatik
LIVERPOOL: Pemain sayap Liverpool, Rio Ngumoha, yang dianggap antara bakat muda paling menyerlah di kelab itu, membuktikan potensi besarnya pada usia 18 tahun menerusi aksi cemerlang dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah yang mendebarkan di Anfield pada 20 Oktober.
Ketika Liverpool ketinggalan dua gol kepada Villarreal dan amat memerlukan inspirasi, pemain sayap Ngumoha mencetuskan kebangkitan menerusi dua assist atau bantuan gol untuk membantu The Reds meraih kemenangan dramatik 4-3.
“Saya sendiri sangat menikmati perlawanan malam ini.
“Semakin meningkat usia, semakin penting bagi saya untuk memberi kesan dalam perlawanan. Hari ini, saya mencatat dua bantuan gol dan membantu pasukan meraih tiga mata. Apa lagi yang boleh saya harapkan?” kata Ngumoha.
Pemain muda itu turut mencipta rekod sebagai pemain termuda Liverpool yang berjaya melakukan bantuan gol dalam Liga Juara-Juara.
“Ini kelab terbesar di dunia dan mencipta rekod itu amat istimewa bagi saya,” katanya.
“Sudah tentu saya gembira. Saya akan sentiasa menghargainya.”
Tampil penuh yakin di pentas terbesar bola sepak Eropah, Ngumoha mempamerkan ketenangan.
Beliau melakukan hantaran lambung pendek yang cantik kepada pemain pertahanan Liverpool, Ronald Araujo, untuk menyamakan kedudukan menjelang rehat, selepas pemain tengah Alexis Mac Allister merapatkan jurang gol.
Jika gerakan itu menyerlahkan bakatnya, aksi Ngumoha selepas rehat pula membuktikan kematangannya.
Ngumoha memperdaya pertahanan Villarreal, Sergi Cardona, sebelum membuat hantaran tepat kepada Mac Allister untuk menolak bola ke gawang sekali gus meletakkan Liverpool di hadapan buat kali pertama.
Sepanjang setengah jam pertama, penyokong di Anfield menyaksikan Liverpool melakukan kesilapan demi kesilapan, sebelum pemain berusia 18 tahun itu mula menguasai permainan.
“Pemain muda ini memiliki kemahiran luar biasa ketika menguasai bola,” kata bekas penyerang Liverpool, Daniel Sturridge, menerusi siaran Amazon Prime.
“Kemahiran seperti ini tidak boleh diajar. Kehebatannya mengawal bola merupakan bakat semula jadi anugerah Tuhan.”
Pemain tengah Liverpool, Florian Wirtz, menjaringkan gol keempat, yang juga gol pertamanya bersama kelab itu musim ini.
Jaringan lewat penyerang Villarreal, Tani Oluwaseyi, mencetuskan detik cemas, namun Liverpool bertahan untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Eropah.
Ngumoha sebelum ini mencipta sejarah sebagai penjaring termuda Liverpool dalam Liga Perdana England (EPL) di Anfield pada April lalu, ketika berusia 17 tahun.
Beliau juga memegang rekod penjaring termuda kelab itu menerusi golnya menentang Newcastle pada Ogos 2025, ketika berusia 16 tahun.
Di sebalik aksi mendebarkan dalam perlawanan tujuh gol itu, Ngumoha tetap menjadi tumpuan utama.
Selepas wisel penamat, penyokong meraikan kemenangan Liverpool diiringi laungan irama lagu bertajuk Rio nyanyian kumpulan Duran Duran yang bergema di seluruh stadium. – Agensi berita.