Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan Arsenal ‘tiada taring’, Newcastle langkah ke final

Piala Carabao
Feb 6, 2025 | 2:21 PM
Jika Newcastle memenangi Piala Carabao, pengurus Eddie Howe (kanan) dan anak buahnya, termasuk Alexander Isak (kiri), akan menyandang status legenda kerana menamatkan kemarau pila panjang kelab itu.
Jika Newcastle memenangi Piala Carabao, pengurus Eddie Howe (kanan) dan anak buahnya, termasuk Alexander Isak (kiri), akan menyandang status legenda kerana menamatkan kemarau pila panjang kelab itu. - Foto REUTERS

NEWCASTLE: Impian peminat melihat Newcastle United menjulang sebuah trofi setelah kemarau panjang akhirnya hampir menjadi kenyataan. Trofi domestik terakhir Newcastle ialah Piala FA pada 1955, manakala trofi utama terakhir kelab itu adalah Piala Pesta Antara Bandar pada 1969, pertandingan yang mendahului Piala UEFA dan kini Liga Europa.

Kini, kemenangan agregat 4-0 ke atas Arsenal mengesahkan tempat mereka di final Piala Carabao, yang juga dikenali sebagai Piala Liga Bola Sepak England (EFL), menentang sama ada Liverpool atau Tottenham Hotspur pada 16 Mac. Jika Newcastle memenangi Piala Carabao, pengurus Eddie Howe dan pemainnya akan menyandang status legenda.

Walaupun pertandingan itu mungkin bukanlah trofi berprestij tinggi – ia masih bermakna buat kelab itu, serta bandar tersebut, lapor BBC Sports. Walaupun mempunyai kelebihan agregat 2-0 daripada perlawanan pertama di Arsenal, masih ada kebimbangan tentang keupayaan mereka disebabkan dua kekalahan Newcastle di tempat sendiri, kepada Bournemouth dan Fulham.

Ia ditambah dengan kemenangan 5-1 Arsenal ke atas juara Liga Perdana England (EPL) musim lalu, Manchester City, pada 2 Februari (waktu tempatan).

Tetapi semua kebimbangan itu lenyap apabila pemain bintang perlawanan pertama mereka – Alexander Isak – bangkit sekali lagi. Rembatan Isak terkena tiang gol, namun Jacob Murphy berada di posisi yang baik untuk menjaringkan bola yang terpelanting.

Penjaga gol Arsenal, David Raya, pula tanpa sengaja memberi bola kepada Declan Rice, yang sedang dikejar oleh Fabian Schar, selepas 52 minit. Bola itu akhirnya sampai ke Anthony Gordon untuk menjaringkan gol dengan mudah.

Bagi Arsenal, impian mereka memenangi trofi pertama mereka musim ini dihancurkan dek ketumpulan serangan mereka. Gunners hanya ada Kai Havertz – yang lebih merupakan pemain tengah menyerang – sebagai satu-satunya penyerang utama.

Havertz telah beraksi dengan baik dengan 15 gol dalam semua pertandingan, tetapi itu masih tidak banyak untuk menjadi penjaring terbanyak bagi pasukan yang sedang bersaing untuk memenangi pelbagai trofi. – Agensi berita.

Namun, skuad Mikel Arteta masih dalam saingan untuk kejuaraan Liga Perdana England (EPL), dengan enam mata di belakang Liverpool, dan juga ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Jika gagal memenangi sebarang trofi musim ini, ia akan menjadi musim keenam mereka ‘menghisap jari’ sejak menjulang Piala FA 2020, trofi terakhir mereka.

Penyerang legenda Newcastle, Alan Shearer, memberikan pendapatnya di X, dengan menyatakan: “Ini persembahan hebat. Arsenal tidak mampu bersaing dalam (permainan) penuh semangat itu. Mereka lebih baik daripada Arsenal malam ini pada setiap posisi.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg