Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerangan Chelsea bakal diuji apabila berdepan benteng kebal Arsenal
Pasukan kendalian Xabi Alonso tajam dalam menjaringkan gol namun beri pasukan lawan peluang untuk bangkit
Pertembungan menentang Arsenal merupakan ujian awal penting buat Chelsea.
Selepas dua perlawanan pembukaan dengan jumlah jaringan yang tinggi menentang Fulham dan Brighton, Chelsea membuktikan bahawa ia mempunyai kualiti serangan untuk menyukarkan Arsenal pada 6 September, khususnya menerusi serangan balas.
Namun, kekuatan terbesar Arsenal kekal pada keteguhan pertahanan mereka, yang menjadi salah satu asas utama kejayaan pasukan tersebut pada musim lalu semasa menjadi juara Liga Perdana England (EPL).
Legenda Arsenal, Thierry Henry, memberi amaran bahawa Chelsea bakal berdepan kesukaran menentang Arsenal jika terus bertahan seperti dalam dua perlawanan pertama.
Walaupun berbahaya menerusi serangan balas, kecenderungan Chelsea meninggalkan ruang di bahagian tengah dan sayap boleh memakan diri.
Bagi Arsenal, walaupun antara tonggak utama mereka, William Saliba mengalami kecederaan, kekuatan pertahanan pasukan itu nampaknya tidak terjejas.
The Gunners berjaya mencatatkan ‘clean sheet’ atau gawang tidak dibolosi dalam dua perlawanan terakhir mereka – kemenangan 3-0 ke atas Coventry City, diikuti kemenangan 1-0 menentang Aston Villa.
Keputusan itu menunjukkan Arsenal masih mempunyai ciri yang menjadi antara asas kejayaan EPL mereka – kekuatan pertahanan dan keupayaan mengawal permainan.
Ketika menewaskan Villa, Arsenal menguasai perlawanan dan mengekang tuan rumah, sebelum Bukayo Saka menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-59.
Kemenangan itu turut menyaksikan Arsenal mengekalkan rekod tanpa gawang dibolos dalam dua perlawanan liga pertama mereka.
Chelsea sudah menghasilkan tujuh gol dalam dua perlawanan liga pertama – tiga ketika menewaskan Fulham 3-2 dan empat ketika menundukkan Brighton 4-3 – tetapi pada masa sama melepaskan lima gol.
Kemenangan ke atas Brighton khususnya memperlihatkan pasukan kendalian Xabi Alonso cukup tajam untuk menjaringkan gol, tetapi masih memberikan lawan ruang dan peluang untuk bangkit dalam permainan.
Itulah yang menjadikan perlawanan di Stadium Emirates pada Ahad 6 September, 11.30 malam (waktu Singapura) nanti begitu menarik.
Chelsea mempunyai kepantasan dan kreativiti untuk menyakiti Arsenal dalam situasi transisi.
Dengan pemain seperti Cole Palmer, Pedro Neto dan João Pedro, mereka mampu bergerak pantas apabila berjaya memenangi bola dan ruang terbuka di hadapan.
Tetapi keberanian menyerang itu perlu disertai disiplin.
Sistem Alonso yang dinamik, termasuk penggunaan formasi 3-4-2-1, memberikan Chelsea lebih banyak variasi ketika menyerang, tetapi pada masa sama boleh menyebabkan mereka terdedah apabila kehilangan bola.
Berdepan Arsenal, kesilapan kecil boleh membawa padah.
Arteta mempunyai pasukan yang cukup matang untuk mengambil kesempatan daripada ruang yang ditinggalkan lawan.
Arsenal tidak semestinya perlu menghasilkan banyak peluang untuk mendapatkan keputusan, dengan kemenangan 1-0 di Villa Park menjadi contoh terbaru.
Malah, Arsenal turut mempunyai lebih banyak pilihan selepas memperkukuhkan skuad mereka pada musim panas.
Untuk membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Leandro Trossard, Arsenal mendapatkan khidmat pemain sayap daripada Liga Belgium, Christos Tzolis.
Beliau menyertai Arsenal dengan reputasi cukup menarik selepas menghasilkan 17 gol dan 23 bantuan gol dalam 36 penampilan liga musim lalu.
Pemain Greece itu memikul harapan besar sebagai pengganti Trossard dan menjadi salah satu pilihan utama Arsenal di sebelah kiri.
Tzolis pula belum sepenuhnya menemui rentaknya dalam EPL.
Beliau diturunkan sebagai kesebelasan utama ketika menentang Villa tetapi digantikan pada separuh masa, menjadikan perlawanan menentang Chelsea peluang penting untuk mengukuhkan tempatnya di kesebelasan utama Arteta.
Namun, Chelsea juga mempunyai senjata sendiri.
Joao Pedro sudah menunjukkan impak segera sejak menyertai Chelsea pada 2025 dan menjaringkan gol dalam kemenangan 4-3 ke atas Brighton.
Beliau kelihatan tajam dan mengancam dalam kededua perlawanan pertama.
Penyerang itu bakal menjadi pemain penting jika Chelsea mahu mengeksploitasi ruang di belakang pertahanan Arsenal.
Pergerakannya yang bijak membolehkan Chelsea mencipta ruang untuk Palmer dan pemain lain untuk turut menyerang.
Jika Chelsea mampu mencuri bola daripada Arsenal dan pantas melancarkan serangan balas, Pedro mempunyai kemampuan untuk mengubahnya menjadi peluang jaringan.
Tetapi persoalannya ialah berapa banyak risiko yang sanggup diambil Chelsea.
Jika terlalu berhati-hati, mereka mungkin memberikan Arsenal terlalu banyak masa untuk mengawal permainan.
Jika terlalu agresif pula, ruang yang ditinggalkan boleh dimanfaatkan oleh Saka, Tzolis dan barisan serangan Arsenal.
Maka, pertembungan ini mungkin ditentukan oleh keseimbangan – pasukan mana yang mampu mempertahankan benteng mereka sambil menunggu saat terbaik untuk menyambar peluang yang ada.
Berdasarkan prestasi semasa, Arsenal dilihat lebih berkeupayaan untuk melakukannya.
Ramalan wartawan: Arsenal 2-1 Chelsea
