Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia tabah hadapi kanser sambil jaga ibu yang senasib

Feb 6, 2025 | 5:30 AM
Pada 2016, Cik Puteri Nur Afiqah Abdul Latiff, disahkan menghidap barah kelenjar atau tiroid dan terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di kerongkong sebesar bola tenis meja.
Pada 2016, Cik Puteri Nur Afiqah Abdul Latiff, disahkan menghidap barah kelenjar atau tiroid dan terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di kerongkong sebesar bola tenis meja. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bak pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah yang dirasakan Cik Puteri Nur Afiqah Abdul Latiff, 22 tahun, apabila disahkan menghidap barah kelenjar atau tiroid pada 2016.

Bagi Cik Puteri yang berusia 13 tahun ketika itu, diagnosis barah tiroid telah mengubah kehidupannya secara mendadak. 

Sejak didiagnosis, Cik Puteri sukar menghadirkan diri di sekolah dek keadaan kesihatannya yang mulai merosot di samping kehilangan ramai teman dalam mengharungi kegetiran hidup.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di Pusat Jagaan Barah Wira Muda (YHCC), kendalian Persatuan Ain di Eunos Crescent, sempena Hari Barah Sedunia yang disambut pada 4 Februari, Cik Puteri berkata:

“Dulu, saya suka meluangkan masa dengan bersukan, terutamanya berbasikal.

“Setelah didiagnosis dengan barah tiroid, kehidupan saya musnah dan saya banyak meluangkan masa di rumah.

“Saya juga kehilangan ramai rakan di sekolah. Mereka mula mengasingkan diri kerana berfikir bahawa saya seorang pelajar nakal yang sengaja tidak hadir ke sekolah.

“Mereka menganggap saya membawa pengaruh yang buruk. Sebaliknya, keadaan kesihatan saya waktu itu benar-benar tidak sihat.”

Sebelum ini, Cik Puteri mengalami demam panas setinggi 40 darjah Celsius dan merasakan denyutan di bahagian kerongkong.

Disebabkan ketumbuhan atau tumor sebesar bola tenis meja (sekitar lapan sentimeter) yang telah tumbuh berdekatan pita suara, Cik Puteri terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Beliau kini menjalani rawatan di Hospital Besar Singapura (SGH).

Antara kesan lain penyakitnya itu adalah dirinya yang kian hiperaktif, mengalami tahap metabolisme tinggi dan kitaran haid yang tidak menentu.

Setahun selepas diagnosis (2017), beliau mengalami skoliosis – lengkung ke sisi yang berlaku pada tulang belakang – akibat kesan daripada pembedahan barah.

“Doktor tidak membenarkan saya untuk menjalani pembedahan atau menggunakan pendakap tulang belakang kerana saya lewat setahun untuk melakukannya.

“Ini kerana tulang saya sudah kian besar dan sukar melakukan pembedahan bagi membetulkannya semula.

“Saya tahu hal ini dapat dielak jika saya masih lagi melakukan kegiatan bersukan,” singkapnya.

Cik Puteri kini bergantung kepada ubat tiroksina untuk mengawal barah yang dihadapi.

Beliau tinggal bersama ibunya, Cik Rahmah Adrus, 64 tahun, di rumah sewa dua bilik di kawasan Marine Parade.

Ibunya pula merupakan pesakit barah buah dada dan mengalami masalah untuk bergerak.

Selain menjaga ibunya, Cik Puteri bertanggungjawab membeli barang keperluan dan menguruskan perbelanjaan harian di rumah.  

Dalam keadaan mereka yang serba kekurangan, anak bongsu lima beradik itu gigih mencari pekerjaan untuk membantu menyara kehidupan mereka anak-beranak. 

Namun, keadaan kesihatan Cik Puteri turut membatas dirinya untuk mendapatkan pekerjaan sepenuh masa.

Berbekal semangat wajanya, beliau kekal aktif bercampur gaul bersama belia lain yang sebaya dengannya di YHCC.  

Selain itu, Cik Puteri juga kerap menyertai kegiatan anjuran Persatuan Ain seperti sesi membuat kek dan menonton filem beramai-ramai. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg