Pada 14 November 2024, Shah Shahiran meraikan ulang tahunnya yang ke-25 dengan membantu skuad Lions menang 3-2 ke atas Myanmar di Stadium Nasional.
Setahun kemudian, beliau berharap ulang tahunnya yang ke-26 diraikan dengan pencapaian yang lebih besar, iaitu membantu Singapura menewaskan Hong Kong pada 18 November untuk mengesahkan penyertaan bersejarah di Piala Asia.
Menjelang aksi persahabatan 13 November menentang Thailand di Pathum Thani, pemain BG Tampines Rovers itu berkata:
“Kelayakan Piala Asia akan menjadi sesuatu yang besar bagi generasi kami dan generasi seterusnya. Ia wadah terbaik untuk kami menunjukkan bakat di pentas lebih besar.”
“Perlawanan menentang Thailand amat genting untuk persiapan kami menghadapi Hong Kong, dan saya berharap dapat menjadikan ulang tahun ini bermakna dengan satu lagi kemenangan.”
Bagi Shah, dipanggil menyertai skuad negara dan dijadikan kapten ketika pasukan hampir melakar sejarah adalah satu impian.
Cintanya pada bola sepak bermula ketika berusia tujuh tahun, selepas sering menemani bapanya bermain, sebelum menyertai Akademi Sukan Junior (JSA), kemudian Sekolah Sukan Singapura (SSS) dan Akademi Bola Sepak Kebangsaan (NFA).
Beliau menyertai Tampines pada 2018 dan berkembang menjadi tonggak kelab dan negara dengan gaya permainan berani dan visinya mengatur hantaran yang mampu menembusi lawan.
Posisi asalnya ialah pemain tengah, namun bekas jurulatih Stags Gavin Lee menempatkannya di pelbagai posisi kerana kecerdikan taktikal dan kemampuan fizikalnya.
Shah, yang sudah 36 kali mewakili negara dan menjaringkan satu gol antarabangsa, berkata:
“Saya bersyukur setiap kali berada dalam kesebelasan utama yang memulakan perlawanan. Jika jurulatih mahu saya bermain di mana-mana posisi demi pasukan, saya bersedia.”
Kini sebagai jurulatih sementara skuad Lions, Lee terus memanfaatkan kepelbagaian Shah dengan menurunkannya sebagai bek kiri dalam aksi menentang Malaysia dan India.
Beliau berkata Shah mampu menyesuaikan diri dalam situasi mencabar dan memahami permainan dengan sangat baik.
Lee turut mempertahankan Shah susulan penggantungannya, iaitu kad merah dalam final Piala Singapura dan kad kuning yang menyebabkan beliau terlepas kemenangan 2-1 ke atas India pada Oktober.
Shah berkata: “Saya kecewa. Bila emosi memuncak, saya perlu lebih kawal diri. Ini pengajaran besar kerana perkara kecil boleh membawa kesan besar.”
Lee akan menyambut semula kehadiran Shah dan Ryhan Stewart, selain memanggil semula Faris Ramli, Joshua Pereira dan Akram Azman, sambil menggugurkan beberapa pemain muda seperti Raoul Suhaimi, Ong Yu En and Jonan Tan.
Sementara Hong Kong, pasukan ranking dunia ke-148, bersedia untuk perlawanan penentuan kelayakan Piala Asia dengan aksi persahabatan menentang Kemboja pada 13 November.
Pasukan Lions di ranking ke-155 bakal berdepan ujian lebih sukar menentang Thailand di ranking ke-96, yang menggantikan Masatada Ishii dengan Anthony Hudson sebagai ketua jurulatih pada Oktober.
Sementara itu, tiket aksi Hong Kong-Singapura di Stadium Kai Tak habis dalam tempoh 80 minit pada 7 November, dengan ‘ulat tiket’ menjualnya semula sehingga HK$4,000 ($670), lebih 16 kali ganda harga asal HK$240, lapor The Straits Times (ST).
Sesetengah penyokong Hong Kong cuba mendapatkan sebahagian daripada 2,000 tiket khas penyokong pelawat melalui Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg