Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shah Shahiran sedia bermain di mana-mana dalam pasukan nasional

Pemain serba boleh percaya masih boleh capai tahap lebih tinggi di peringkat nasional
Oct 7, 2025 | 9:57 PM
Pemain tengah Singa, Shah Shahiran, pernah beraksi di bek kiri untuk pasukan negara ketika menentang Malaysia pada September lalu.
Pemain tengah Singa, Shah Shahiran, pernah beraksi di bek kiri untuk pasukan negara ketika menentang Malaysia pada September lalu. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pemain tengah skuad Singapura, Shah Shahiran, merupakan antara pemain yang paling setia berbakti kepada kelab BG Tampines Rovers dan pasukan negara.

Apa saja posisi yang diberikan - sama ada di tengah padang atau di posisi bek kiri - Shah akan menyahut cabaran itu demi negara.

Selepas Singapura menentang India dalam dua perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2026 menentang India pada 9 dan 14 Oktober, posisi bek kiri tampak bak menjadi milik Shah.

Ketua Jurulatih sementara pasukan Singa, Gavin Lee, menurunkan Shah di posisi itu ketika menentang Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada September lalu, menimbulkan jangkaan bahawa beliau akan mengulangi keputusan sama menentang India.

Walaupun beliau hanya pernah beraksi di posisi tersebut sebanyak dua kali di Tampines – juga di bawah Lee pada beberapa musim lalu – Shah tidak memandang ke belakang.

“ (Jurulatih) Gavin memberitahu saya pada pagi (menentang Malaysia) bahawa beliau mahu saya beraksi sebagai bek kiri.

“Saya hanya perlu menyesuaikan diri dengan posisi itu. Apa sahaja posisi yang diberikan kepada saya, saya akan ambil peluang tersebut,” ujar beliau.

Walaupun posisi itu masih baru baginya, Shah mengakui pernah berhasrat untuk bermain dalam posisi itu kerana “seronok melihat rakan sepasukan beraksi di posisi itu,” katanya sambil berseloroh.

“Bek kiri ialah posisi pertahanan.

“Maka, dalam fikiran saya, saya perlu fokus pada aspek pertahanan terlebih dahulu selepas itu, saya akan perlahan-lahan menyesuaikan diri dan membantu pasukan untuk menyerang,” jelas pemain berusia 25 tahun itu.

Lee merupakan antara jurulatih yang telah meninggalkan kesan mendalam terhadap diri Shah.

Sejak mengendalikan Tampines dari 2019 hingga 2025, Lee telah membentuk Shah menjadi pemain tengah yang teguh dan bersedia menghadapi cabaran.

Sesuai dengan itu, Shah tidak teragak-agak untuk menamakan Lee sebagai individu penting dalam kerjayanya.

“Gavin seorang yang sangat penting untuk saya, beliaulah yang memberi saya peluang dan percaya saya.

“Tanpanya, saya tidak akan berada di tahap sekarang,” kata Shah.

Dengan Singa berhasrat untuk melakar sejarah untuk menempah tiket ke Piala Asia 2026 buat kali pertama, Shah percaya dengan kebolehan Lee.

Singapura tidak pernah layak ke Piala Asia secara merit, dengan satu-satunya penampilan mereka ialah sebagai tuan rumah pada 1984.

Anak didik Lee kini berada dalam Kumpulan C dengan lima mata selepas dua perlawanan, hasil kemenangan 2-1 ke atas Bangladesh pada Jun lalu dan keputusan seri 0-0 menentang Hong Kong pada Mac. Ia seri dua kali dengan India, pada 9 Oktober di Stadium Negara dan pada 14 Oktober di Goa.

Jika berjaya ke Piala Asia, ia adalah satu lagi pencapaian peribadi bagi Shah yang telah menyerlah sejak mula bermain bola sepak sebagai pemain profesional.

Pada awal 2022, beliau menandatangani kontrak lima tahun dengan The Stags, menzahirkan kepercayaan Tampines terhadap kebolehannya.

Walau baru berusia 22 tahun ketika itu, ia merupakan tiket untuk Shah bersinar di peringkat tertinggi.

Selain menjadi kapten pasukan Tampines, Shah turut beraksi secara kerap di Liga Perdana Singapura (SPL) dan kejohanan antarabangsa termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab Asean (ACC).

Shah kini bertekad untuk membawa pengalamannya di kelab ke peringkat negara.

Menyifatkan tempo perlawanan antara Kejohanan ACL 2 dan ACC sama seperti perlawanan antarabangsa, Shah berkata:

“Saya banyak belajar daripada pengalaman bersama pemain import, terutamanya tentang kualiti dan tempo permainan dan saya sentiasa akan bawa pengalaman itu kembali ke pasukan kebangsaan,” kata Shah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg