Dengan impian memenangi pingat emas di Sukan SEA di Thailand pada Disember 2025, atlet wushu Singapura, Zeanne Law, mengambil cuti setahun daripada pengajiannya untuk memberi tumpuan penuh kepada persiapannya.
Apabila menyambung pengajian pada 2026, beliau akan disokong Sport Singapore, lapor The Starits Times (ST).
Zeanne, 19 tahun, antara 12 atlet dalam kumpulan pertama yang menerima Biasiswa Sarjana Muda spexEducation daripada agensi sukan kebangsaan itu pada majlis Pelantikan Atlet Biasiswa Kecemerlangan Sukan (spex) di Sekolah Sukan Singapura (SSP) pada 15 April.
Biasiswa itu bertujuan menyokong atlet yang sedang menuntut di universiti sambil menjalani latihan dan bertanding, serta mereka yang ingin mendapatkan tajaan untuk pengajian selepas menamatkan kerjaya sukan mereka.
Tujuh atlet baru, termasuk pemain golf Shannon Tan, turut dilantik dalam program spexScholarship, yang menyokong kecemerlangan atlet pada peringkat Asia dan dunia.
Seramai 26 atlet baru pula menyertai program spexPotential, yang memberi tumpuan kepada persiapan untuk berjaya pada peringkat Sukan SEA sebelum melangkah ke pentas lebih besar.
Zeanne, yang memperoleh diploma International Baccalaureate daripada SSP, berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang terapi pertuturan dan bahasa di Institut Teknologi Singapura (SIT).
Atlet yang telah memenangi pelbagai pingat itu turut menerima spexScholarship pada 2024 selepas muncul sebagai juara dunia kategori taijiquan wanita di Kejohanan Wushu Dunia 2023.
“Saya merancang memulakan pengajian di universiti tahun depan dengan biasiswa ini dan saya rasa ia dapat membantu saya dalam bidang akademik dan sukan.
“Tahun lalu, apabila saya menerima spexScholarship, keutamaan saya lebih kepada sukan dan kadangkala guru-guru saya perlu mengadakan konsultasi tambahan untuk saya.
“Tetapi dengan Biasiswa Sarjana Muda spexEducation ini, saya harap saya dapat buat perancangan lebih baik untuk imbangi pelajaran dan sukan serta meringankan beban kewangan keluarga saya,” kata Zeanne.
Biasiswa spexEducation kali pertama diumumkan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong sempena ulang tahun ke-20 SSP pada April 2024.
Penerima biasiswa juga perlu merupakan penerima spexScholarship atau spexPotential, dan mendapat sokongan daripada persatuan sukan kebangsaan masing-masing semasa membuat permohonan.
Antara penerima lain biasiswa baru itu ialah bekas bintang badminton Jessica Tan, perenang Teong Tzen Wei, pesilat Sheik Farhan Sheik Alau’ddin, dan atlet menembak Fernel Tan.
Dalam majlis itu, yang dihadiri Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, SSP menandatangani satu memorandum persefahaman dengan enam universiti tempatan bagi melaksanakan amalan mesra atlet.
Ia termasuk kemasukan berdasarkan kebolehan, serta sokongan untuk menukar kumpulan kelas demi memenuhi jadual latihan dan pertandingan mereka.
Enam universiti itu ialah SIT, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg