Majlis Anugerah Sukan Singapura (SSA) pada 3 Jun sememangnya menjadi malam cukup istimewa bagi atlet di sini, dengan ratu pecut negara, Shanti Pereira, dinobat sebagai Olahragawati Terbaik, dan jurulatihnya, Luis Cunha, dinamakan Jurulatih Terbaik bagi pencapaian cemerlang mereka pada 2023.
Pereira, yang memenangi anugerah tersebut buat kali pertama, juga menjadi atlet balapan dan padang pertama menerima pengiktirafan tertinggi pada majlis tahunan itu, sejak atlet lempar cakera, James Wong, dinobat sebagai Olahragawan Terbaik pada 2004.
Atlet balapan dan padang terakhir yang memenangi anugerah Olahragawati Terbaik ialah pelari jarak sederhana, Kandasamy Jayamani, yang meraih anugerah itu pada 1981 dan 1977, lapor The Straits Times (ST).
Pereira, yang tidak dapat menghadiri majlis di Hotel Orchard itu kerana berada di Eropah dan membuat persiapan bagi Sukan Olimpik, muncul sebagai pemenang mengatasi atlet kayak, Stephenie Chen; atlet wushu, Kimberly Ong; ratu terjun udara tertutup, Kyra Poh; perenang, Letitia Sim; dan pemain boling, Cherie Tan.
Atlet berusia 27 tahun itu berkata: “Ia satu penghormatan besar untuk dinobat sebagai Olahragawati Terbaik. Ini kali pertama saya dicalonkan, apatah lagi menang.
“Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih saya. Beliau sangat layak menerima anugerah Jurulatih Terbaik. Saya amat gembira beliau diiktiraf atas usahanya (membantu) perjalanan saya, serta kerana kesan usahanya kepada atlet Singapura secara umumnya dan seluruh sistem sokongan saya yang membantu saya mencapai (kejayaan) ini.”
Pereira memulakan 2023 dengan memenangi kededua acara 100 meter dan 200 meter di Sukan SEA Kemboja pada Mei 2023.
Beliau kemudian mengulangi kejayaan itu pada Kejohanan Olahraga Asia dua bulan kemudian.
Pereira turut mencipta sejarah sebagai pelari warga Singapura pertama yang mara ke separuh akhir semasa kejohanan dunia di Budapest, sekali gus menempah tempatnya ke Sukan Olimpik di Paris.
Di Sukan Asia di Hangzhou, beliau begitu cemerlang memenangi emas bagi acara lari 200 meter wanita dan perak bagi acara lari 100 meter wanita.
Beliau telah enam kali mencatat semula rekod kebangsaan 100 meter dan mengatasi masa 200 meternya empat kali.
Mengimbas kembali mengenai musim lalu, Pereira berkata:
“Pada 2023 saya memasuki era baru dalam kerjaya saya. Saya beruntung kerana dapat melakukan sukan yang saya suka setiap hari dan saya berharap dapat terus meraikan diri saya dan membanggakan jurulatih saya, sistem sokongan saya dan negara saya, selagi ada kekuatan.”
Anugerah Olahragawan Terbaik pula dimenangi atlet boling negara, Darren Ong, yang turut meraih anugerah tersebut buat kali pertama.
Ong juga merupakan pemain boling pertama yang meraih anugerah itu sejak Remy Ong memenanginya pada 2007.
Calon lain untuk anugerah tersebut ialah Peter Gilchrist (sukan kiu), Ryan Lo (sukan layar) dan Jowen Lim (wushu).
Kejayaan Ong sepanjang 2023 memuncak apabila beliau merangkul gelaran juara perseorangan lelaki pada kejohanan dunia Persekutuan Boling Antarabangsa di Kuwait pada Oktober 2023.
Ong turut memenangi dua pingat gangsa di kejohanan dunia itu – dalam beregu lelaki bersama Jaris Goh dan dalam acara berpasukan lain.
Senarai pemenang Anugerah Sukan Singapura 2024
– Olahragawan Terbaik: Darren Ong (boling)
– Olahragawati Terbaik: Shanti Pereira (lari pecut)
– Olahragawan Muda Terbaik: Maximilian Maeder (kapal layar)
– Olahragawati Muda Terbaik: Zeanne Law (wushu)
– Jurulatih Terbaik: Luis Cunha (lari pecut)
– Pasukan Terbaik (sukan berpasukan): Pasukan bola lantai wanita
– Pasukan Terbaik (acara): Pasukan boling wanita (Kejohanan Boling Dunia 2023) – Charmaine Chang, Colleen Pee, New Hui Fen, Shayna Ng, Cherie Tan, Daphne Tan
“
“Pada 2023 saya memasuki era baru dalam kerjaya saya. Saya beruntung kerana dapat melakukan sukan yang saya suka setiap hari dan saya berharap dapat terus meraikan diri saya dan membanggakan jurulatih saya, sistem sokongan saya dan negara saya, selagi ada kekuatan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg