NAGOYA: Dengan penuh semangat, Shanti Pereira menepuk bendera Singapura di dadanya sambil menjerit kegembiraan selepas melepasi garisan penamat sebagai juara di Stadium Paloma Mizuho pada 27 September. 

Kegembiraan yang dirasainya ketika itu memang tidak dapat dinafikan apabila pelari berusia 30 tahun itu menjadi wanita pertama untuk memenangi pingat emas 200 meter berturut-turut di dua edisi Sukan Asia.

Namun pada pagi 27 September, perasaannya tidak sebegitu – mungkin kerana srikandi pecut nasional itu masih merasakan kesan perlumbaan-perlumbaan sebelumnya, iaitu peringkat kelayakan, separuh akhir dan final 100 meter, serta peringkat kelayakan 200 meter.

Walaupun hujan turun dengan lebat sebelum perlumbaan akhir 200 meter itu, keyakinannya tidak tergugat dalam perlumbaan terbaik dalam hidupnya, apabila Pereira meluru ke garisan kemenangan dengan catatan terbaik musimnya – 22.78 saat.

Pelari pecut China, Chen Yujie, yang paling pantas meninggalkan blok permulaan dalam 0.15 saat, tetapi pelari Singapura itu memecut mendahului pesaing remajanya itu pada penghujung selekoh perlumbaan untuk menamatkan saingan di tempat pertama.

Chen, yang mengalahkannya untuk meraih pingat emas 100 meter pada 25 September dengan rekod baru Sukan Asia, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatatkan masa 22.93 saat, manakala Harita Bhadra dari India meraih gangsa dengan catatan masa 23.20 saat.

Mengambil masa beberapa saat untuk menenangkan diri, Pereira yang penuh emosi berkata: “Saya tahu sebelum ini bahawa ini adalah hari saya, dan tiada apa di dunia ini yang dapat menghalang saya daripada memperolehnya.

“Saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk (perlumbaan) ini, saya benar-benar percaya. Saya memang rasakan kepenatan selepas semua perlumbaan saya dan sejujurnya saya tidak tidur dengan baik, mungkin akibat kebimbangan dan gemuruh.

“Tetapi saya tahu minda adalah sesuatu yang berkuasa, dan jika saya percaya dan membiarkan badan saya bergerak mengikut rentak, saya boleh membawanya (pingat emas) pulang ke Singapura.”

Beliau begitu yakin sehingga memberitahu jurulatihnya, Luis Cunha, yang biasanya menonton perlumbaannya daripada trek pemanasan badan, supaya menyaksikan final itu di dalam stadium, sambil berkata kepadanya: “Saya mahu anda menyaksikan sesuatu yang istimewa.”

Pada edisi 2023 di Hangzhou, beliau meraih pingat perak dalam acara 100 meter dan pingat emas dalam acara 200 meter, sekali gus menamatkan kemarau 49 tahun bagi Singapura di pentas terbesar Asia itu.

Pada 27 September, beliau tahu beliau berpeluang melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pelari pecut wanita lain, namun ia bukan satu perkara yang mudah.

Banyak perkara boleh berubah dalam bidang sukan antaranya kemunculan pesaing baharu, rentak prestasi yang turun naik serta kecederaan – semuanya perkara yang sudah biasa dihadapi Pereira.

Selepas 2023 yang cemerlang, kecederaan tekanan pada fibula kanannya menjadikan tahun berikutnya mencabar, sebelum beliau berusaha kembali ke puncak.

Menjelang final, beliau mendapat inspirasi daripada kata-kata perenang Singapura, Gan Ching Hwee.

Selepas memenangi pingat perak 400 meter gaya bebas pada 22 September, Gan berkata: “Jika saya ada lorong, saya ada peluang.”

Pereira berkata: “Di sukan ini, begitu ramai juara bertahan tidak berpeluang mempertahankan gelaran mereka, tetapi di sini saya dapat peluang itu.”

Ia juga merupakan sambutan hari lahir yang tertangguh dan sempurna bagi Pereira, yang mencecah usia 30 tahun pada 20 September lalu.