GLASGOW: Hasrat ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, untuk melangkah ke acara larian final Sukan Komanwel Glasgow semakin cerah, selepas atlet berusia 29 tahun itu menjuarai saringan 100 meter (m) pada 27 Julai bagi mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

Beraksi di Stadium Scotstoun dalam saringan keempat, Pereira menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan masa terbaik musim ini, iaitu 11.24 saat.

Catatan masa itu hanya kurang 0.04 saat di belakang rekod kebangsaan miliknya (11.20 saat), yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Asia 2023.

Beyonce Defreitas dari Kepulauan Virgin British menduduki tempat kedua dalam saringan tersebut dengan catatan masa 11.33 saat.

Ini diikuti oleh Edna Ng’andula dari Zambia pada tempat ketiga dengan catatan masa 11.48 saat.

Secara keseluruhannya, Pereira menduduki tangga ketiga daripada 53 pelari dan bakal bersaing dalam separuh akhir ketiga pada 28 Julai (29 Julai, 2.36 pagi waktu Singapura).

Pelari England, Imani Lansiquot – pemenang pingat perak dan gangsa acara lari berganti-ganti 4x100m pada Sukan Olimpik 2024 dan 2020 – muncul pelari terpantas pusingan saringan dengan masa 11.04 saat.

Tempat kedua pula diduduki pemegang rekod kebangsaan Australia (11.08 saat), Torrie Lewis, dengan masa 11.15 saat.

Namun, peraturan baharu Sukan Komanwel – yang menerima kritikan daripada beberapa pelari – menetapkan bahawa lapan pelari teratas sejak awal musim pertandingan layak ke separuh akhir secara automatik, tanpa perlu beraksi di peringkat saringan.

Justeru itu, 17 pelari terbaik daripada pusingan saringan bakal disertai oleh lapan pelari teratas berkenaan dalam tiga pusingan separuh akhir.

Pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, Pereira layak ke peringkat separuh akhir acara 100m dan 200m – dengan mencatat rekod kebangsaan baharu dalam kedua-dua acara – selain turut beraksi dalam pusingan saringan acara lari berganti-ganti 4x100m wanita.

Beliau bakal bersaing dalam ketiga-tiga acara berkenaan di Glasgow.

Ratu pecut itu telah menguasai arena balapan di peringkat Asia Tenggara dan Asia, dengan meraih kejuaraan berganda iaitu 100m dan 200m pada Sukan SEA 2023 dan 2025.

Ini selain merangkul pingat emas berganda bersejarah pada Kejohanan Asia 2023, sebelum merangkul emas dalam acara 200m dan perak dalam acara 100m pada Sukan Asia Hangzhou 2023.

Dalam satu temu bual sebelum ini, Pereira berkata sasaran bagi musim ini adalah “...di Sukan Komanwel dan berharap dapat melangkah ke peringkat akhir bagi acara yang disertai, dan bagi Sukan Asia pula, dapat berada di atas podium sekali lagi”.

Dalam pusingan saringan 100m lelaki, pelari Singapura, Marc Louis, mencatat masa terbaik musim ini iaitu 10.38 saat untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan ke-10.

Pelari Singapura, Marc Louis (kanan), beraksi dalam pusingan saringan acara 100m lelaki di Sukan Komanwel.
Pelari Singapura, Marc Louis (kanan), beraksi dalam pusingan saringan acara 100m lelaki di Sukan Komanwel. - Foto COMMONWEALTH GAMES SINGAPORE

Pemegang rekod kebangsaan acara 100m dan 200m itu bagaimanapun gagal melangkah ke peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat ke-25 daripada 73 pelari.

Dalam acara lain, atlet Singapura, Kampton Kam, menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 17 peserta pada pusingan akhir acara lompat tinggi lelaki selepas mencatat lompatan setinggi 2.05m di Stadium Scotstoun.

Atlet Jamaica, Romaine Beckford, merangkul pingat emas selepas membuat lompatan setinggi 2.25m, manakala Sarvesh Anil Kushare dari India meraih pingat perak (2.25m) dan Kimani Jack dari England meraih pingat gangsa dengan lompatan 2.20m.