Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, berasa bangga dan berpuas hati selepas meraih pingat perak dalam acara 100 meter akhir wanita pada Kejohanan Olahraga Asia pada 28 Mei, lapor The Straits Times (ST).
Di Stadium Sivik Gumi di Korea Selatan, pelari pecut berusia 28 tahun itu mencatat masa 11.41 saat, di belakang pemenang pingat emas Liang Xiaojing (11.37 saat) dari China.
Tran Thi Nhi Yen dari Vietnam meraih gangsa dengan masa 11.54 saat.
Juara bertahan Pereira berada di tempat kedua terpantas dalam kelayakan, mencatatkan 11.40 saat terbaik semusim dalam saringan kumpulan 21 pelari pecut.
Liang mengungguli kumpulan dengan 11.22 saat, manakala Aiha Yamagata dari Jepun (11.53 saat) jatuh di tempat ketiga.
Seperti yang dijangkakan oleh Pereira, beliau bermula dengan lebih perlahan tetapi merasakan perlumbaan semakin kuat secara keseluruhannya, dengan dirinya hanya menamatkan perlumbaan 0.04 saat di belakang Liang – yang merupakan finalis kejohanan tertutup dunia 60 meter (m) pada Mac.
Pereira menambah: “Saya bangga dengan satu lagi pencapaian dalam keupayaan saya untuk bersaing di peringkat tertinggi Asia, memberikan persembahan baik dalam pertandingan utama.
“Saya juga puas hati kerana dapat terus memberi inspirasi kepada penggiat sukan Singapura dan mengangkat profil Singapura dalam olahraga Asia.”
Meskipun terlepas menggenggam pingat emas, jurulatih Luis Cunha menyatakan bahawa Pereira beraksi dengan baik.
“Semua yang kami lakukan musim ini adalah untuk persediaan bagi pertandingan ini. Ini adalah pertandingan utama pertama kami, jadi semuanya baik. Dia sihat dan melakukan perlumbaan yang baik.
“Kali ini, tidak cukup untuk melepasi garisan penamat dahulu, tetapi semuanya mengikut perancangan dan kami tidak boleh meminta lebih daripada itu.”
Presiden Atletik Singapura, Lien Choong Luen, menambah: “Ia adalah perlumbaan yang sangat sengit dan Shanti menentang saingan yang sangat hebat, dengan beliau menutup perlumbaan dengan pecutan kuat pada penghujungnya.
“Musimnya berjalan lancar dengan latihan dan perlumbaan luar negara di New Zealand dan Jepun, serta larian hebatnya di Terbuka Singapura bulan lalu (April). Kami mengharapkan perlumbaan 200m yang akan datang berhasil,” jelas Lien.
Kejohanan Olahraga Asia sebelum ini menjadi lapangan memburu impian yang menggembirakan bagi Pereira, yang memenangi acara lari pecut 100m dan 200m bersejarah pada edisi 2023 di Thailand selepas mencatat masa 11.20 saat dan 22.70 saat.
Beliau seterusnya merangkul emas dan perak (200m, 100m) di Sukan Asia dua bulan kemudian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg