PARIS: Penyertaan ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, di Sukan Olimpik Paris berakhir pada 5 Ogos, apabila beliau mencatat masa 23.45 saat dalam acara saringan semula atau ‘repechage’ 200 meter wanita di Stade de France dan gagal mara ke separuh akhir.
Menentang enam pesaing lain, beliau menamatkan saingan pada tempat terakhir dalam persaingan yang disertainya. Beliau akhirnya menduduki tempat ke-18 daripada 24 peserta.
Repechage ialah format Olimpik baru yang diperkenalkan oleh Olahraga Dunia untuk atlet yang tidak layak terus ke separuh akhir menerusi saringan dalam acara 100 meter /110 meter lari berpagar, 200 meter, 400 meter, 400 meter lari berpagar, 800 meter dan 1,500 meter.
Pemenang empat repechage dan dua yang terpantas seterusnya layak ke separuh akhir yang akan diadakan kemudian hari.
Pereira, 27 tahun, mara ke larian ulangan 200 meter selepas itu mencatatkan 23.21 saat dalam Pusingan 1 untuk menduduki tempat terakhir dalam saringan lima – dan tempat ke-31 daripada 45 pelari – pada 4 Ogos.
Ia merupakan penyertaan Olimpiknya yang kedua dan dianggap sukar bagi warga Singapura itu, yang menjuarai kejohanan Asia dan Sukan Asia pada 2023, tetapi mengalami kecederaan tekanan pada kaki kanannya pada April.
Pada 2 Ogos, Pereira juga tidak mara ke separuh akhir acara 100 meter, kerana masa yang beliau catat (11.63) menempatkannya di kedudukan ke-55 daripada 72 pelari.
Pereira membuat penampilan sulung Olimpik di Tokyo 2020, menduduki tempat keenam dalam saringan 200 meter dengan catatan terbaik 23.96 saat untuk berada di tempat ke-39 daripada 41 peserta secara keseluruhan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg