Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiapa lagi kalau bukan Messi
Siapa lagi kalau bukan Messi
Pimpin Argentina ke final kedua berturut-turut; rintis dua gol ranapkan England
Siapa lagi kalau bukan Messi
Piala Dunia 2022 seolah-olah menjadi penutup gemilang bagi kisah luar biasa Lionel Messi.
Ketika itu, pada usia 35 tahun, pemain veteran Argentina itu akhirnya memenangi Piala Dunia, dalam apa yang dikatakan sebagai pertandingan terakhirnya dalam kejohanan tersebut.
Aksi beliau sepanjang kempen itu – bergantung kepada pandangan individu – mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.
Semasa Piala Dunia 2018, ketika Messi berusia 31 tahun, ramai menjangka – termasuk mereka yang paling rapat dengannya – beliau akan menamatkan kerjayanya tanpa menjulang piala itu.
Kini, pada usia 39 tahun, Messi berjaya memadamkan segala keraguan itu dengan satu lagi aksi yang sukar dilupakan.
Beliau telah memimpin skuad ‘Albicelestes’ (gelaran bagi Argentina) itu untuk menyingkirkan England, sekali gus membawa pasukannya ke peringkat final buat kali kedua berturut-turut.
Messi mencetus kebangkitan itu menerusi dua bantuan gol, sekali gus membantu gergasi Amerika Selatan itu menewaskan England 2-1.
Aksi itu bermakna Messi berjaya mencatatkan empat bantuan gol, di samping lapan gol sepanjang kempen Piala Dunia 2026.
Menjelang 20 Julai (waktu Singapura), Argentina perlu bersiap sedia untuk bersua dengan juara Eropah, Sepanyol, di depan lebih 80,000 peminat di Stadium New York New Jersey.
Secara kebetulan, fasa utama kerjaya Messi berlaku di Sepanyol bersama kelab gergasi bola sepak, Barcelona.
Namun, berjuta-juta lagi penonton pasti teruja untuk menyaksikan sama ada Argentina mampu melakar sejarah sebagai pasukan ketiga yang berjaya mempertahankan gelaran Piala Dunia berturut-turut – satu pencapaian yang belum pernah disaksikan sejak Brazil memenanginya pada 1958 dan 1962.
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, hanya memuji prestasi Messi.
“Beliau merupakan pemain terbaik sepanjang zaman, saya tak tahu apa lagi yang beliau perlu pamerkan untuk membuktikan kehebatannya. Ramai peminat Sepanyol juga amat menggemarinya.”
Bekas penyerang Paris St-Germain itu ternyata menjadi duri dalam daging buat benteng England sepanjang perlawanan itu.
Messi memukau lawannya dengan gelecek pantas dalam babak pertama, walaupun aksi Argentina keseluruhannya kurang memberangsangkan.
Namun, semangat Argentina dikejutkan sejurus selepas jaringan Anthony Gordon pada minit ke-55, yang memberi England kelebihan.
Walaupun ketua jurulatih England, Thomas Tuchel, memperkenalkan lebih ramai pemain pertahanan, Argentina tetap mengawal rentak permainan dengan mencatatkan sebanyak 88 peratus penguasaan bola pada 37 minit seterusnya.
Tidak hairanlah, Messi yang mengatur serangan bertubi-tubi, kali ini dari posisi sayap kanan pula.
Beliau berjaya menyempurnakan sembilan gelecek. Sebagai perbandingan, gabungan seluruh skuad England hanya mampu menghasilkan tujuh gelecek sepanjang aksi di Stadium Atlanta itu.
Penguasaan Messi terbukti lagi apabila beliau mencatat tujuh sentuhan di dalam kotak penalti lawan, menyamai rekod gabungan keseluruhan pemain England.
Bintang dunia itu turut menghasilkan sembilan hantaran lintang, iaitu yang tertinggi dalam perlawanan itu.
Namun, paling penting ialah Messi menjadi arkitek di sebalik kedua-dua gol Argentina.
Gol pertama Argentina berpunca daripada rutin sepakan sudut apabila Messi menghantar bola ke arah Enzo Fernandez, yang kemudian mengatasi Jordan Pickford dengan rembatan hebat dari luar kotak penalti untuk gol penyamaan pada minit ke-85.
Messi sekali lagi meruntuhkan benteng England, apabila hantaran lintangnya ditanduk masuk oleh Lautaro Martinez pada minit ke-92 untuk mengesahkan gol kemenangan.
Aksi pemain veteran itu menerima penghormatan oleh kapten England, Harry Kane, meskipun beliau kecewa dengan keputusan perlawanan.
“Kami berjaya menyekat pengaruh Messi bagi sebahagian besar babak perlawanan. Namun, sebagai antara pemain paling berbahaya di dunia, Messi akan mencari jalan keluar.
“Sebab itulah beliau merupakan antara pemain terbaik di dunia,” ujar Kane. – Agensi berita.
