Topik diikuti
Pergi ke BHkuTaktik bertahan Tuchel makan diri, sekat impian England ke final
Taktik bertahan Tuchel makan diri, sekat impian England ke final
Impian England untuk menamatkan penantian 60 tahun memasuki final Piala Dunia lebur selepas keputusan Thomas Tuchel pilih pendekatan bertahan pada separuh masa kedua, dihukum kebangkitan dua gol lewat Argentina.
Taktik bertahan Tuchel makan diri, sekat impian England ke final
England hampir melakar sejarah dengan mara ke final Piala Dunia lelaki buat kali pertama sejak 1966.
Mereka mendahului juara bertahan Argentina 1-0 sehingga minit ke-84 di Stadium Atlanta. Namun, kelebihan itu lenyap dalam sekelip mata.
Enzo Fernandez menyamakan kedudukan pada minit ke-85 menerusi rembatan padu, sebelum Lautaro Martinez menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-92.
Kedua-dua jaringan itu berpunca daripada hantaran Lionel Messi.
Dalam beberapa minit sahaja, impian England untuk ke final musnah.
England sebelum itu bekerja keras untuk mendahului menerusi gol Anthony Gordon pada minit ke-55. Namun selepas memperoleh kelebihan, mereka memilih untuk bertahan dan akhirnya dihukum.
Keputusan pengurus England, Thomas Tuchel, untuk bermain defensif ternyata memakan diri.
Sebaliknya, Argentina yang berjaya mengesahkan tempat ke final dan bakal berdepan Sepanyol di Stadium New York New Jersey pada 20 Julai.
Selepas mendahului 1-0, ramai rasakan bahawa England sepatutnya terus memburu gol kedua untuk mengesahkan kemenangan.
Sebaliknya, mereka terlalu banyak bertahan sehingga hanya menguasai sekitar 12 peratus penguasaan bola dari saat mendahului sehinggalah dibolosi gol kedua.
Tuchel pula hanya memasukkan penyerang Marcus Rashford dan Ivan Toney ketika masa kecederaan, sedangkan selepas gol pembukaan beliau lebih banyak membuat pertukaran melibatkan pemain pertahanan seperti Ezri Konsa, Dan Burn dan Nico O’Reilly.
Bekas kapten England, Wayne Rooney, menganggap pendekatan itu menjadi punca utama kekalahan.
“Kami benar-benar hilang arah. Semuanya bermula daripada keputusan pengurus. Pendekatan terlalu pasif,” kata Rooney.
“Menentang juara dunia seperti Argentina, anda tidak boleh hanya bertahan. Ini ujian terbesar kami dan kami gagal.”
England sebelum ini menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit menewaskan DR Congo di pusingan 32 terakhir dan Norway pada suku akhir.
Namun menurut Alan Shearer, situasi kali ini jauh berbeza.
“Norway atau Mexico tidak memiliki kualiti seperti Argentina. Mereka tidak mempunyai pemain yang mampu menghukum kesilapan seperti yang dimiliki Argentina,” katanya.
“Tuchel membuat pertukaran terlalu awal dan akhirnya ia memakan diri.
”Selepas Gordon meletakkan England di depan, penyokong mereka meraikan jaringan tersebut dengan penuh harapan.
Namun tidak lama kemudian, England mula berundur ke kawasan sendiri dan menyerahkan penguasaan permainan kepada Argentina.
Perkara itu membuat ramai berpendapat England sendiri menjadi punca kegagalan.
Bekas penjaga gol Joe Hart berkata Argentina langsung tidak panik walaupun ketinggalan.
“Saya tidak nampak sedikit pun rasa cemas daripada pemain Argentina,” kata Hart.
“Mereka terus percaya dengan kemampuan sendiri dan akhirnya berjaya membebaskan Messi untuk mengawal permainan.”
Beliau turut mengaitkan situasi itu dengan era Gareth Southgate.
“Southgate sering dikritik kerana terlalu bertahan apabila England mendahului dalam perlawanan besar.”
“Namun saya tidak nampak apa-apa perubahan kali ini.”
Apabila Tuchel ditanya sama ada beliau membuat keputusan yang salah, Tuchel enggan menyalahkan taktiknya.
“Saya tidak menyesal. Apabila kalah, memang kritikan akan datang,” kata jurulatih England itu.
“Pasukan memberikan segala-galanya dan kami hanya selangkah untuk mara.”
“Saya rasa ini antara persembahan terbaik kami dalam kejohanan ini.”
Beliau turut memuji semangat juang anak buahnya sepanjang kejohanan.
Bagaimanapun, beliau menganggap sekarang bukan masa yang sesuai untuk membuat penilaian menyeluruh mengenai kempen England. – Agensi berita.
