Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:28
Maghrib
7:19
Isyak
8:29
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA JUARA-JUARA EROPAH

Siapa lagi kalau bukan RONALDO selamatkan Man U

Anak didik Solskjaer bangkit dari ketinggalan dua gol untuk catat kemenangan ke atas kelab Italy; Chelsea dan Barca turut catat kemenangan
Oct 22, 2021 | 05:30 AM



MANCHESTER: Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi wira Manchester United apabila beliau menjaringkan gol ketiga dan kemenangan bagi pasukannya yang sebelum itu ketinggalan 0-2 kepada Atalanta dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Old Trafford kelmarin.



United ketinggalan dua gol selepas hanya 30 minit permainan dengan Harry Maguire dan rakan sepasukannya diherdik penyokong sendiri semasa keluar padang pada waktu rehat.



Gol-gol jaringan Mario Pasalic pada minit ke-15 dan Merih Demiral pada minit ke-28 membayangkan pasukan dari Serie A Italy itu akan pulang kegembiraan dengan tiga mata penuh.



Namun, cemuhan peminat berubah menjadi sorakan gembira apabila United bangkit dalam separuh masa kedua untuk mengubah haluan pertarungan dan mencatatkan kemenangan penting.



Marcus Rashford membuka tirai jaringan bagi United tujuh minit selepas babak kedua bermula, sebelum Maguire menyamakan kedudukan pada minit ke-75.



Dua gol itu membuka laluan bagi Ronaldo menjaringkan gol ketiga dan meraih kemenangan bagi United, sebagaimana yang dilakukannya tiga minggu lalu dalam perlawanan dengan Villareal.



Kali ini, beliau meloncat paling tinggi untuk menanduk masuk bola hasil hantaran Luke Shaw yang masuk ke penjuru bawah gawang.



Kemenangan itu membantu United melompat ke tangga teratas Kumpulan F dengan enam mata selepas tiga perlawanan.



Lebih daripada itu, kemenangan itu memberi sedikit kelegaan kepada pengurus Ole Gunnar Solskjaer yang sebelum perlawanan itu mengalami tekanan kerana prestasi pasukan yang mengecewakan di Eropah dan pertandingan domestik.



Namun, Solskjaer, yang dianggap sebagai legenda United selepas beliau menjaringkan gol yang memenangi trofi Liga Juara-Juara sulung bagi United pada 1999, mengakhiri perlawanan dengan namanya dilaung-laungkan oleh penyokong di Old Trafford.



Bercakap kepada media selepas perlawanan itu, Solskjaer berkata pasukannya layak mengutip semua tiga mata kerana tidak berhenti berjuang sehingga wisel penamat.



"Saya tidak boleh minta apa-apa lagi daripada pemain saya. Kesemuanya telah berlari dan berhempas-pulas menunjukkan semangat tidak mengaku kalah," ujar beliau.



Dalam pada itu, juara bertahan Liga Juara-Juara Chelsea menang besar di Stamford Bridge apabila ia menewaskan Malmo 4-0.



Namun kegembiraan kemenangan itu mungkin terjejas selepas dua bintang penyerangnya - Romelu Lukaku dan Timo Werner - mengalami kecederaan.



Di Nou Camp pula, Barcelona mencatatkan kemenangan pertama dalam tiga perlawanan sekali gus menghidupkan semula saingannya dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Dynamo Kiev.



Kemenangan itu mengakhiri rangkaian dua kekalahan berturut-turut bagi Barcelona yang beraksi tanpa bintang azimat Lionel Messi - yang telah menyertai Paris Saint-Germain.



Kelab gergasi Jerman, Bayern Munich, pula terus menunjukkan kegagahannya musim ini, membelasah Benfica 4-0 di padang lawan.



Namun ia terpaksa menanti sehingga minit ke-70 untuk membuka tirai jaringan, dengan Leroy Sane (dua gol) dan Robert Lewandowski menemui sasaran. Satu gol lagi adalah gol sendiri yang dijaringkan oleh Sousa Soares. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >