Siapa Tsutomu Ogura?
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 1 Februari telah mengumumkan Tsutomu Ogura sebagai pengarah baru Singapura bagi pasukan nasional ‘A’ dan pasukan Bawah-22 Tahun (U22).
Berikut adalah enam perkara mengenai latar belakang karyawan asal Jepun itu:
[ο] Lahir di Osaka, Jepun, pada 18 Julai 1966, Tsutomu Ogura, 57 tahun, bermain bola sepak pada zaman belia dan pernah mewakili pasukan Sekolah Tinggi Settsu dan Universiti Tenri.
[ο] Ogura boleh bertutur dalam bahasa Jepun, Inggeris dan Jerman. Beliau pernah mengajar bola sepak kepada kanak-kanak di sebuah sekolah Jerman.
[ο] Ogura mempunyai pengalaman antarabangsa. Beliau merupakan bekas penolong jurulatih pasukan nasional Jepun selama empat tahun, di bawah Ivica Osim (2006-2007) dan Takeshi Okada (2008-2010). Jepun layak ke pusingan kalah mati dalam Piala Dunia 2010. Selepas Piala Dunia, beliau menggalas jawatan sama untuk pasukan Bawah-23 Tahun Jepun, kendalian Takashi Sekizuka, yang bertanding dalam Sukan Olimpik 2012. Jepun mara ke separuh akhir di edisi temasya sukan London itu.
[ο] Satu-satunya peranan Ogura sebagai ketua jurulatih adalah ketika mengetuai Omiya Ardija pada 2013. Namun pasukannya tewas 10 kali dan menang hanya tiga kali dalam 13 perlawanan.
[ο] Ogura pernah bertugas di beberapa kelab Jepun, termasuk menggalas peranan pengarah sukan di Yokohama F. Marinos (2018-2022), dengan ketua jurulatih semasa Tottenham, Ange Postecoglou membimbing kelab itu menjulang gelaran Liga 1 pertama mereka dalam 15 tahun pada 2019.
[ο] Ogura mempunyai empat anak lelaki berusia 17 hingga 30 tahun, dan seorang cucu perempuan berusia sembilan bulan. Tiga anak pertamanya bergiat dalam bola sepak, manakala yang bongsu bermain bola keranjang.

