Topik diikuti
Pergi ke BHkuVietnam dianggap ujian sebenar, tapi Irfan tidak gentar bukti kemampuan Singa
Vietnam dianggap ujian sebenar, tapi Irfan tidak gentar bukti kemampuan Singa
Tegas skuad tidak dihantui keputusan lalu
Vietnam dianggap ujian sebenar, tapi Irfan tidak gentar bukti kemampuan Singa
Dua kemenangan daripada dua perlawanan meletakkan Singapura di kedudukan baik dalam peringkat kumpulan Piala Asean Hyundai 2026.
Namun, ujian sebenar akhirnya tiba apabila skuad kendalian Gavin Lee bakal berdepan juara bertahan Vietnam, yang menduduki ranking 49 lebih tinggi dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Pertembungan itu bukan sahaja bakal menentukan siapa yang menguasai Kumpulan A, malah menjadi kayu pengukur sebenar kemampuan skuad Singa.
Singapura mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kemboja dan Timor-Leste, manakala Vietnam turut memulakan kempen dengan penuh bergaya apabila membelasah Timor-Leste 7-0 di hadapan penyokong sendiri.
Malah, rekod pertemuan terbaru juga jelas memihak Vietnam.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu, Singapura tewas 1-5 secara agregat pada separuh akhir kejohanan Asean 2024.
Namun, bagi pemain pertahanan Singapura, Irfan Fandi, sejarah itu tidak harus menjadi beban.
Sebaliknya, beliau melihat perlawanan menentang Vietnam sebagai peluang terbaik untuk menilai sejauh mana kemajuan skuad Singa sejak berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2027.
“Tenaga dan suasana bersama pasukan memang sangat baik. Semua pemain tidak sabar untuk beraksi, tetapi pada masa sama kami sedar cabaran yang menanti.
“Kami berlatih dengan baik dan sedang mencari cara terbaik untuk menundukkan Vietnam,” kata Irfan kepada Berita Harian (BH).
Pemain berusia 28 tahun itu turut menegaskan skuad Singa tidak dihantui keputusan lalu.
“Apa yang berlaku sebelum ini tidak menjadi tumpuan kami. Ini adalah pasukan baharu dengan idea yang baharu.
“Kami datang ke kejohanan ini dengan sasaran untuk bermain lapan perlawanan. Setiap aksi kami anggap seperti perlawanan akhir dan kami akan lakukan segala-galanya untuk berikan persembahan terbaik,” katanya.
Menurut Irfan juga, pengalaman mengharungi jadual padat sepanjang kempen ini turut banyak dibantu oleh latihan intensif yang dilalui skuad Singa ketika kem latihan di Okinawa, Jepun.
“Dalam kejohanan seperti ini, pemulihan adalah perkara paling penting. Kami sudah melalui situasi seperti ini di Okinawa, apabila bermain beberapa perlawanan menentang pasukan yang kuat dalam tempoh yang singkat,” tambahnya.
Walaupun Vietnam terkenal dengan kekuatan jentera serangan mereka, Irfan percaya disiplin serta kerjasama sepasukan akan menjadi kunci jika Singapura mahu membawa pulang keputusan positif.
“Kami mengakui mereka mempunyai beberapa pemain yang berkualiti dan sangat bahaya di bahagian serangan.
“Tetapi pertahanan bukan hanya tugas empat pemain di belakang. Seluruh pasukan perlu bertahan bersama-sama.
“Yang paling penting ialah kami kekal berdisiplin sepanjang 90 atau 95 minit dan berpegang kepada apa yang telah kami latih sepanjang sebulan lalu,” ujarnya.
Keyakinan Irfan itu turut selari dengan mesej yang dibawa Lee menjelang perlawanan.
Jurulatih Singapura itu menegaskan pasukannya akan turun dengan pendekatan yang sama seperti dua aksi terdahulu – memburu kemenangan tanpa mengira lawan.
“Setiap kali kami turun beraksi, sasaran kami adalah untuk menang. Cara terbaik untuk mencapainya adalah dengan memberi tumpuan kepada prestasi sendiri dan menjadi versi terbaik pasukan ini,” kata Lee.
Menurutnya lagi, perlawanan menentang Vietnam juga merupakan peluang terbaik untuk mengukur sejauh mana perkembangan Singapura dalam persiapan menuju Piala Asia 2027.
“Vietnam akan menjadi ujian yang sangat baik untuk melihat di mana tahap kami ketika ini dan apa lagi yang perlu diperbaiki. Ia satu cabaran yang kami nantikan kerana saya tahu pemain saya juga sukakan cabaran,” rumusnya.
“
“Apa yang berlaku sebelum ini tidak menjadi tumpuan kami. Ini adalah pasukan baharu dengan idea yang baharu. Kami datang ke kejohanan ini dengan sasaran untuk bermain lapan perlawanan. Setiap aksi kami anggap seperti perlawanan akhir dan kami akan lakukan segala-galanya untuk berikan persembahan terbaik.”