Topik diikuti
Pergi ke BHkuSinga bersemangat jelang hadapi skuad Thai yang gagah
Anak didik Gavin Lee perlukan keputusan positif dalam pertarungan pertama separuh akhir sebagai bekal bagi perlawanan kedua di padang lawan
Rentetan perlawanan tanpa kalah di peringkat kumpulan telah mengubah tanggapan terhadap skuad Singapura, sekali gus menyemarakkan semula keyakinan penyokong selain meningkatkan kepercayaan diri dalam kalangan pemain.
Selepas menewaskan Kemboja dan Timor-Leste sebelum mengikat juara bertahan Vietnam serta Indonesia, Singa kini berdepan cabaran terbesar dalam kempen Piala Asean Hyundai apabila mereka menjadi tuan rumah kepada Thailand pada aksi pertama separuh akhir di Stadium Jalan Besar pada 15 Ogos.
Pasukan Singa mara ke separuh akhir buat kali ketiga dalam empat edisi terakhir.
Namun Thailand adalah juara tujuh kali dan satu-satunya pasukan yang masih belum dibolosi gawang mereka di peringkat kumpulan.
Mereka mengumpul 12 mata penuh daripada empat perlawanan, selain menjaringkan 10 gol tanpa balas.
Namun begitu, bagi ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, rekod dan pengalaman luas Thailand tidak seharusnya mengubah pendekatan Singa terhadap perlawanan tersebut.
Lebih penting lagi, beliau percaya kepada keyakinan yang telah dibina pasukannya sepanjang kejohanan ini dan berharap mereka dapat mengekalkan prestasi sama ketika berdepan mana-mana pasukan, termasuk Thailand.
Kepercayaan itu ditekankan oleh penyerang bintang Singa, Ilhan Fandi.
“Kita perlu percaya kepada diri sendiri, dan itulah yang kami lakukan sejak hari pertama,” kata Ilhan semasa sidang media praperlawanan di Stadium Jalan Besar pada 14 Ogos.
“Kami belum mencapai apa-apa setakat ini, tetapi pemain masih ‘lapar’ dan sentiasa bermotivasi untuk melakukan lebih baik lagi.”
Singapura tewas dalam 10 pertemuan terakhir dengan Thailand, tetapi Lee tidak mahu sejarah hambar itu menjadi beban bagi pemainnya.
“Angka itu hanya memberi kita konteks, ia memberitahu kita tentang cabaran yang boleh kita jangkakan, tetapi ia tidak menjejas kami,” katanya.
“Kami menghormati mereka (Thailand) sebagai lawan, tetapi kami lebih menghormati diri sendiri dengan kumpulan pemain yang kami ada.”
Tetapi Thailand tidak datang ke Singapura tanpa harapan tinggi.
Ketua jurulatih Anthony Hudson menegaskan pasukannya tidak akan mengambil mudah cabaran yang menanti, walaupun mereka mempunyai rekod sempurna dalam peringkat kumpulan.
“Tiada rasa selesa atau leka daripada kami. Sama sekali tidak,” katanya.
Hudson mengakui Singapura yang bakal mereka hadapi kini bukan pasukan yang sama seperti sebelum ini.
“Kami sangat menghormati Singapura. Saya rasa mereka telah banyak meningkat sejak kebelakangan ini, khususnya dalam kempen kelayakan Piala Asia,” tambahnya.
Malah, Hudson memberi amaran bahawa Thailand perlu berada pada tahap terbaik untuk mencatatkan kemenangan.
Dengan sokongan gemuruh daripada peminat setempat, Lee bagaimanapun berharap pasukannya dapat membalas sokongan itu dengan satu lagi persembahan yang hebat – dan mendapatkan keputusan positif untuk dijadikan bekalan bagi pertarungan kedua di padang pasukan lawan.
Pada masa sama, beliau sedar akan isu tiket yang dijual semula pada harga tinggi dan berharap tiket tersebut akhirnya dapat menjadi milik peminat yang benar-benar mahu hadir menyokong pasukan.
“Kekuatan pasukan ini ialah pasukan itu sendiri. Tetapi peminat adalah sebahagian besar daripada kekuatan pasukan ini,” ujarnya.
