Topik diikuti
Pergi ke BHkuSinga enggan tunduk sebelum ‘mengaum’ berdepan gergasi Brazil
Tiada hasrat ubah prinsip permainan, cara persiapan jelang perlawanan dengan juara Piala Dunia 5 kali
Singa enggan tunduk sebelum ‘mengaum’ berdepan gergasi Brazil
Skuad Singa tidak berhasrat mahu mengubah prinsip permainan mereka semata-mata kerana bakal berdepan gergasi bola sepak dunia, Brazil, di Stadium Negara pada 17 November.
Ketua jurulatih Singapura, Gavin Lee, menegaskan bahawa barisan pemainnya akan turun ke padang dengan tujuan untuk menang, sambil mengekalkan pendekatan persiapan sama seperti yang dilakukan ketika menentang Paraguay dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.
Beliau menambah walaupun mengakui Brazil memiliki pemain yang jauh lebih bermutu, status dan reputasi pihak lawan tidak seharusnya mengubah cara Singapura membuat persiapan atau menghadapi perlawanan tersebut.
“Kami selalu turun padang dengan niat untuk menang.
“Tidak pernah ada perlawanan yang kami sertai tanpa mahu menang,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Stadium Negara pada 16 November.
Namun, Lee mengakui bahawa apabila berdepan pasukan sekuat Brazil, ada kalanya Singapura terpaksa bermain lebih dekat dengan gawang sendiri.
“Semampunya, kami sentiasa cuba bermain sejauh mungkin daripada gawang sendiri kerana itu perkara paling logik untuk dilakukan.
“Jika ada detik dalam perlawanan kami terpaksa bermain lebih dekat dengan gawang sendiri, kami perlu melakukannya dengan baik.
“Namun, kami tidak akan membenarkan status Brazil menakutkan kami,” katanya.
Sementara itu, penyerang Singa, Ilhan Fandi, berkata pasukan negara tidak akan mengetepikan identiti permainan mereka walaupun menyedari cabaran besar yang menanti.
“Kami mahu mengulangi apa yang kami lakukan dengan baik pada separuh masa pertama menentang Paraguay dan mengekalkannya lebih lama apabila berdepan Brazil nanti,” kata penyerang berusia 24 tahun itu.
Ilhan turut mengakui beliau mahu menebus kegagalan menyudahkan peluang ketika menentang Paraguay, sambil berharap dapat membantu pasukan dari segi serangan dan pertahanan.
Lee, bagaimanapun, memuji sumbangan penyerang itu dari segi pertahanan dalam perlawanan tersebut, dan menyifatkannya sebagai persembahan pertahanan individu dan berpasukan terbaik yang pernah dilihatnya daripada Ilhan.
Di kem Brazil pula, pengurus mereka, Carlo Ancelotti, berpendapat bahawa pasukannya tidak sepatutnya kalah kepada Jepun berdasarkan persembahan Brazil dalam perlawanan tersebut.
Beliau berkata kekalahan itu tidak menggugat keyakinannya terhadap hala tuju pasukan, yang masih dalam proses pembaharuan dan menguji pemain baharu menjelang Copa America dan Piala Dunia.
“Keutamaan kami adalah bermain dengan baik terlebih dahulu, kemudian mendapatkan keputusan yang baik, sambil sentiasa menghormati pasukan lawan,” katanya.
Ancelotti turut mengakui Brazil perlu membaiki aspek pertahanan selepas kalah kepada Jepun, meskipun beliau berpuas hati dengan pergerakan dan mutu serangan pasukannya dalam perlawanan itu.
Menurutnya, Brazil berjaya mencipta peluang dan menggerakkan bola dengan baik, tetapi perlu lebih tajam ketika berada di kawasan akhir serangan.
Walaupun Raphinha digantung selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Jepun, Ancelotti mengesahkan Brazil akan tetap menurunkan barisan serangan yang dibarisi Vinicius Junior, Estevao dan Endrick.
Ancelotti juga mengesahkan pemain Arsenal, Bruno Guimaraes, akan menggalas tanggungjawab sebagai kapten bagi perlawanan menentang Singa.
Meskipun mengakui jurang kedudukan dunia antara Brazil dengan Singapura, Ancelotti menegaskan pasukannya tetap perlu menghormati pasukan lawan dan membuat persiapan sewajarnya.
“Jepun merupakan antara pasukan terbaik di dunia.
“Prestasi permainan mereka sudah banyak meningkat, manakala Singapura sedikit ketinggalan.
“Namun, kami perlu menghormati pasukan lawan seperti biasa,” katanya.
Lee pula enggan membuat andaian sama ada kekalahan Brazil kepada Jepun akan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk bangkit menentang Singapura.
“Versi Brazil yang akan tiba, kami tidak tahu. Tetapi apa yang kami tahu ialah versi Singapura yang kami mahu tampilkan esok,” katanya.